B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ASEAN perlu percepat muktamadkan insiatif di bawah ACRF – Azmin

ASEAN perlu percepat muktamadkan insiatif di bawah ACRF – Azmin

14 Sep 2022

Badan-badan sektor ASEAN perlu terus bekerjasama untuk segera memuktamadkan baki inisiatif di bawah Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) memandangkan persekitaran ekonomi global yang semakin tidak menentu ketika ini.

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-54 dan Mesyuarat Berkaitan di Siem Reap, Kemboja, hari ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga melahirkan sokongan Malaysia terhadap cadangan mengkaji pengembangan skop ACRF.

Beliau berkata, pengajaran yang diperoleh semasa pelaksanaannya akan banyak membantu dalam merangka agenda Wawasan Pasca-2025 ASEAN.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin juga menegaskan kepentingan pembinaan kapasiti bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau juga menegaskan kepentingan inisiatif yang akan membawa manfaat sebenar dan terus kepada rakyat, terutamanya golongan belia, termasuk penciptaan pekerjaan dan tokokan nilai bagi perusahaan dan industri tempatan.

Menegaskan kepentingan untuk meningkatkan jaminan rantaian bekalan, beliau turut mencadangkan pengenalan inisiatif simpanan stok.

Melalui insiatif itu, katanya, setiap negara akan menyimpan simpanan stok nasional produk kritikal yang negara tertentu itu mempunyai kelebihan berbanding rakan dagangan lain.

“Saya percaya inisiatif ini akan berjaya dalam memastikan rantaian bekalan dan kesalinghubungan serantau kekal kukuh dalam menghadapi krisis pada masa depan,” katanya.

Memandangkan perlunya ada rantaian bekalan yang berdaya tahan, beliau berkata, sudah sampai masanya untuk mengkaji semula perjanjian ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA).

Mohamed Azmin berkata, usaha itu dapat membantu negara-negara bertahan daripada kejutan dan cabaran serta memenuhi keperluan perniagaan yang berubah-ubah.

“Cadangan semakan semula dan menaik taraf ATIGA harus berpandangan jauh, komprehensif dan lebih responsif kepada pembangunan global dan serantau untuk memasukkan cabaran baharu seperti teknologi hijau dan ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata, ATIGA yang ditambah baik perlu relevan dengan sektor swasta dan perniagaan supaya manfaat sebenar kemajuan itu dapat dinikmati rakyat, terutamanya PMKS dan belia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon