ASEAN ketengah 3 langkah promosi pembangunan bandar pintar, mampan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ASEAN ketengah 3 langkah promosi pembangunan bandar pintar, mampan

ASEAN ketengah 3 langkah promosi pembangunan bandar pintar, mampan

04 Dis 2022

Mesyuarat keempat peringkat tinggi Rangkaian Bandar Pintar ASEAN-Jepun bermula di sini, hari ini, dengan ASEAN mengetengahkan tiga tindakan utama untuk mempromosikan pembangunan bandar pintar serta mampan di rantau ini.

Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi, dalam ucapan perasmian majlis itu menekankan pentingnya pelaburan dalam infrastruktur digital bagi pembangunan bandar pintar, dengan memanfaatkan data yang membantu pegawai membuat keputusan ke arah perkhidmatan lebih berkesan untuk rakyat.

“Infrastruktur digital pusat yang mantap dan bersepadu perlu untuk merealisasikan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam rakaman ucapan beliau pada majlis itu.

Jock Hoi berkata, Jepun menyokong ASEAN melalui Perkongsian Bersama Pintar Jepun-ASEAN yang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk membantu bandar menentukan infrastruktur digital yang sesuai.

Beliau berkata, ASEAN menekankan usaha meningkatkan modal insan yang penting bagi merebut peluang bandar pintar, terutama ketika mempertimbang pelbagai kapasiti bandar raya ASEAN dalam menguruskan projek bandar pintar.

Katanya, banyak bandar ASEAN terutama yang bersaiz kecil dan sederhana, memerlukan sokongan institusi yang boleh membantu kerajaan tempatan mereka bentuk serta melaksanakan inisiatif bandar pintar.

“Oleh itu, ASEAN dan Jepun boleh bekerjasama menyediakan sokongan strategik serta teknikal yang membantu lokaliti dalam melaksanakan rancangan bandar pintar,” katanya.

Seterusnya, Jock Hoi berkata, penyertaan komuniti inklusif penting untuk melaksanakan inisiatif bandar pintar dengan mendekati orang ramai dalam proses penyelesaian masalah, sekali gus membantu pemerintah tempatan memilih penyelesaian bersesuaian untuk pelbagai isu komuniti di kawasan masing-masing.

Katanya, ini akan membantu meningkatkan kualiti hidup mereka yang bekerja dan tinggal di bandar.

Beliau berkata, mengejar pembangunan bandar pintar dan mampan adalah penting dalam agenda ASEAN, memandangkan kumpulan serantau itu berusaha menangani cabaran serta memperkasa komuniti yang mudah terjejas di bandar.

“Dalam hal ini, saya memuji Kerajaan Jepun atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka ke arah merealisasikan inisiatif bandar pintar di ASEAN,” katanya.

Jock Hoi berkata, pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap setiap aspek kehidupan bandar.

Sebagai tindak balas, katanya, negara dan bandar anggota ASEAN terus melakukan transformasi secara digital serta mampan bagi menangani cabaran bandar serta memajukan usaha pemulihan.

“Oleh itu, saya yakin mesyuarat hari ini akan membuka peluang besar kepada ahli Rangkaian Bandar Pintar ASEAN untuk bertukar idea dan pengalaman dengan Jepun dalam menjadikan bandar kita lebih sesuai untuk didiami,” katanya.

Mesyuarat itu yang berakhir esok, dianjurkan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun dengan kerjasama ASEAN serta agensi kerajaan dan majlis perbandaran yang berkaitan.

Diadakan secara tahunan, mesyuarat antarabangsa itu telah menyumbang kepada pembinaan hubungan kerjasama dalam bidang bandar pintar antara ASEAN dengan Jepun sejak mesyuarat sulungnya pada 2019.

Berlangsung di University of Aizu di Aizuwakamatsu, Fukushima, mesyuarat itu dihadiri delegasi ASEAN, selain tiga anggota media dari Filipina, Kemboja dan Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon