B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Artroniq pasang basikal elektrik Reevo

Artroniq pasang basikal elektrik Reevo

12 Jan 2023

Artroniq Bhd (Artroniq) dan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Beno Inc memeterai perjanjian memorandum (MoA) bagi memasang rangkaian basikal elektrik (e-basikal) di Malaysia.

MoA yang dimeterai dua entiti itu membabitkan nilai melebihi RM100 juta menjelang 2025 dan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia.

Artroniq juga akan bekerjasama dengan firma AS itu membabitkan pengkongsian teknologi dan kepakaran untuk meneroka sektor EV menyeluruh bermula dengan e-basikal.

Dalam skop perjanjian itu, lebih 95 peratus e-basikal yang dipasang akan dieksport ke AS dan Eropah.

Beno Inc yang juga syarikat yang berkembang pesat dalam bidang kenderaan elektrik, memberi tumpuan kepada kenderaan dua roda yang inovatif.

Syarikat itu terkenal sebagai pencipta Reevo, e-basikal tanpa hub pertama di dunia dengan jangkauan pasaran yang semakin meningkat di AS dan Eropah.

MOA berkenaan menandakan permulaan perkongsian yang akan memberi manfaat kepada Artroniq dan Beno Inc.

Di bawah syarat perjanjian Beno Inc akan memberikan hak pemasangan penuh bagi rangkaian produk Reevo sedia ada dan akan dilancarkan kepada Artroniq untuk tempoh dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Artroniq, Ken Liaw Way Gian berkata, syarikatnya akan memasang dan melengkapkan komponen produk Beno Inc dari China sebanyak 2,000 unit e-basikal sebulan bermula Mac ini.

“Untuk peringkat pertama, kami akan mengambil alih kilang pengeluaran sedia ada untuk memasang e-basikal ini.

“Dalam perbincangan, lokasinya mungkin di Batu Kawan, Pulau Pinang membabitkan pelaburan RM5 juta.

“Peringkat kedua pula adalah untuk menjadi pengedar e-basikal di negara ASEAN memandangkan ini ia hanya dieksport ke AS dan Eropah. Peringkat ketiga adalah kerjasama dengan Beno Inc dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi e-motosikal yang akan dimulakan separuh kedua tahun ini,” katanya pada sidang media selepas pemeteraian MoA di sini, hari ini.

Pemeteraian MoA itu disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir, Pengerusi Artroniq, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Beno Inc, Thomas White.

Artroniq mendedahkan terdapat peluang besar dalam pasaran e-basikal, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 10.5 peratus dalam tempoh tujuh tahun akan datang, dan akan mencecah AS$40 bilion (RM174.79 bilion) menjelang 2030.

“Kami percaya perkongsian ini bukan sahaja akan memberi manfaat bersama tetapi juga akan menawarkan nilai yang signifikan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon