APEC tingkat usaha pulih perjalanan rentas sempadan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


APEC tingkat usaha pulih perjalanan rentas sempadan

APEC tingkat usaha pulih perjalanan rentas sempadan

16 Nov 2022

Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) sedang meningkatkan usaha menggiatkan semula perjalanan rentas sempadan dengan menangani ketidaktentuan yang dihadapi pelancong di saat pandemik COVID-19 memasuki tahun ketiga.

Melalui laporan, ‘COVID-19 and Cross-Border Mobility in the APEC Region: Addressing Uncertainties at the Border’, Pasukan Petugas Laluan Selamat APEC mengemukakan cadangan untuk memacu pergerakan pelancong di rantau ini, meneliti isu sempadan yang boleh ditangani demi memudahkan perjalanan dan pelancongan di rantau ini.

Laporan yang dibangunkan Unit Sokongan Dasar APEC mendedahkan bahawa pandemik COVID-19 telah memberi kesan besar terhadap perjalanan rentas sempadan di seluruh dunia.

“Rantau APEC melaksanakan beberapa sekatan perjalanan rentas sempadan yang paling ketat di dunia, dan kesan daripada langkah-langkah ini adalah besar dan berlarutan. Kajian Unit Sokongan Dasar APEC menganggarkan kerugian rentas sempadan mencecah AS$1.2 trilion pada 2020.

“Meskipun perjalanan antarabangsa mula pulih sejak 2020, setakat April 2022 jumlah ketibaan pelawat antarabangsa di APEC hanya satu pertiga daripada bilangan pelancong pada Januari 2020. Sekatan perjalanan rentas sempadan telah memberi kesan buruk terhadap perjalanan dan pelancongan di seluruh dunia, terutama di wilayah APEC.

“Ketibaan pelancong antarabangsa ke ekonomi APEC turun 79.1 peratus pada 2020 berbanding 2019, lebih tinggi berbanding penguncupan 69.8 peratus yang dicatatkan di seluruh dunia.

“Walaupun seluruh dunia menyaksikan peningkatan sebanyak 18.4 peratus membabitkan jumlah ketibaan pelancong pada 2020 dan 2021, ketibaan di rantau APEC terus menurun sebanyak 28.3 peratus dalam tempoh yang sama,” menurut laporan itu.

Meskipun terdapat peningkatan dalam jumlah ketibaan pelancong antarabangsa pada 2021 di seluruh dunia, laporan itu mencatatkan jumlah ketibaan 64.3 peratus lebih rendah daripada 2019 manakala di rantau APEC ialah 85 peratus lebih rendah pada 2021 berbanding 2019.

Laporan itu juga menekankan kepentingan menyediakan maklumat yang jelas kepada pelancong mengenai syarat kemasukan yang berkaitan dengan COVID-19. Maklumat perlu dikemas kini dan memudahkan akses kemasukan.

Thailand baru-baru ini melancarkan hab maklumat sehenti yang menyerlahkan ringkasan kesihatan dan langkah sempadan berkaitan COVID di seluruh APEC.

“Perjalanan serantau adalah isu rentas sektor dan membabitkan beberapa kementerian.

“Ia mengesyorkan ahli ekonomi untuk meneruskan penyelarasan dan kerjasama serta membangunkan mekanisme yang fleksibel, tersedia dan pantas serta melakukan tindakan segera bagi bertindak balas terhadap risiko masa depan terhadap rentas sempadan,” menurut laporan itu.

Sementara itu, Pegawai Kanan APEC Thailand dan pengerusi Pasukan Petugas Laluan Selamat APEC, Cherdchai Chaivaivid, berkata penyelarasan laluan selamat antara anggota APEC perlu diteruskan walaupun wabak itu telah menjadi endemik.

“Selain COVID-19, kita perlu bersatu dan membina daya tahan dalam menghadapi pandemik atau krisis masa depan yang mungkin menjejaskan perjalanan rentas sempadan.

“Perjalanan dan pelancongan menjadi kunci kepada pertumbuhan ekonomi wilayah kita, manakala memudahkan semula pergerakan rentas sempadan yang selamat akan menampilkan persekitaran pasca pandemik,” katanya.

Sejak penubuhannya awal tahun ini, pasukan petugas itu telah bertukar-tukar amalan terbaik mengenai perjalanan rentas sempadan yang selamat di peringkat domestik, subserantau dan serantau.

Pihaknya telah berusaha ke arah pendekatan yang lebih menyeluruh di seluruh APEC, contohnya melalui perbincangan dasar mengenai memudahkan perjalanan untuk kru udara dan maritim serta meningkatkan kesalingoperasian sijil vaksinasi yang dikeluarkan oleh APEC.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon