B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


AMCHAM: Misi perdagangan perkukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat

AMCHAM: Misi perdagangan perkukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat

27 Mei 2022

Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) menyambut baik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion yang diumumkan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Pelaburan itu adalah bukti keyakinan industri AS terhadap Malaysia dan juga komitmen kedua-dua negara untuk membangunkan ekosistem yang boleh memenuhi permintaan global dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Siobhan Das berkata beliau berbesar hati kerana menghadiri mesyuarat dengan Azmin di Washington DC.

“AMCHAM dan syarikat-syarikat dari AS yakin dengan Malaysia sebagai hab pembuatan yang stabil untuk menembusi pasaran global selepas 50 tahun berpangkalan di Malaysia.

“Saya teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan mahu meneruskan kerja kami dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kementerian lain bagi memastikan pelaburan ini direalisasikan menerusi penggunaan teknologi baharu, pemindahan pengetahuan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan demikian susulan daripada memorandum kerjasama mengenai ketahanan rantaian bekalan semikonduktor yang ditandatangani oleh Azmin dan Setiausaha Perdagangan AS Gina M Raimondo semasa misi perdagangan baru-baru ini.

AMCHAM gembira kerana Malaysia adalah sebahagian daripada Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) yang merupakan kumpulan 13 negara dan menawarkan peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dan AS.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon