B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


95 syarikat di Cyberjaya nikmati potongan sewa, moratorium

95 syarikat di Cyberjaya nikmati potongan sewa, moratorium

16 Jun 2021

Sebanyak 95 syarikat meraih manfaat daripada insentif bantuan sewa yang disediakan Cyberview Sdn Bhd, membabitkan RM1.5 juta dalam bentuk moratorium dan potongan sewa.

Pemaju hab teknologi Cyberjaya itu menjelaskan insentif itu yang diperkenalkan pada April 2020 menawarkan bantuan sewa sehingga enam bulan kepada perniagaan yang terjejas.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas ditawarkan penyelesaian yang sesuai mengikut keperluan mereka menerusi insentif ini,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Insentif bantuan sewa itu adalah antara insentif yang diwujudkan Cyberview bersama-sama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan TalentCorp untuk menyediakan bantuan segera dan berkesan kepada perniagaan di Cyberjaya sejak pandemik COVID-19 mula melanda.

Insentif lain termasuk perniagaan dan pelaburan serta insentif pembangunan bakat.

Mengenai Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa, Pengarah Urusan Cyberview, Najib Ibrahim berkata pelan itu sememangnya berdaya maju dan boleh capai namun setiap pihak perlu melaksanakan peranan mereka dalam beberapa bulan akan datang.

“Apabila pendapatan menjadi taruhan disebabkan kemelesetan ekonomi, amat penting untuk langkah kukuh dilakukan bagi mengekang pandemik COVID-19. Semua pihak perlu berusaha bersama-sama ketika kita semua mengharapkan keadaan kembali normal dalam tempoh tahun depan atau dua tahun.

“Kita perlu menyedari satu-satunya penyelesaian untuk mencapai pemulihan adalah dengan kita mencapai imuniti kelompok, oleh itu kita gembira menyaksikan program imunisasi kebangsaan semakin rancak hari demi hari,” katanya.

Mengenai insentif perniagaan dan pelaburan, Cyberview menambah, 11 insentif fiskal telah disediakan untuk perniagaan menerusi perkongsian dengan MIDA, termasuk penjimatan cukai.

“Syarikat penerima insentif ini berpotensi memacu pertumbuhan, dengan ia diterjemahkan kepada penciptaan lebih banyak pekerjaan dan peluang apabila kita menggerakkan semula ekonomi pada skala penuh,” katanya.

Berkaitan insentif pembangunan bakat, Najib berkata Program Latihan Industri Berstruktur (SIP) adalah antara inisiatif yang akan dijalankan, direalisasikan menerusi kerjasama Cyberview dengan TalentCorp, tersedia untuk syarikat yang berada di Cyberjaya.

Najib berkata mengikut SIP, syarikat yang layak akan meraih manfaat daripada insentif pengurangan cukai berganda.

“Selain itu, syarikat ini juga diberikan akses kepada pangkalan data bakat yang tersedia, membolehkan mereka mendapatkan calon latihan industri secara langsung melalui proses yang lebih pantas dan cekap,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon