B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


30 syarikat berminat melabur di Chuping

30 syarikat berminat melabur di Chuping

25 Ogo 2021

Sebanyak 30 syarikat berminat untuk melabur di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) sehingga Julai tahun ini, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata, daripada jumlah itu lima syarikat yang komited telah mendapat kelulusan dasar melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi melaksanakan projek pelaburan di CVIA.

“Syarikat yang telah diluluskan oleh MMKN adalah Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dengan anggaran pelaburan sebanyak RM54 juta, Biotech Birdnest Processing Sdn Bhd dengan anggaran pelaburan RM13 juta, Next Generation Oil Sdn Bhd dengan anggaran pelaburan RM2 bilion.

“Selain itu Universiti Kuala Lumpur Asian Sustainable Transportation Institute (UniKLASTI) dengan anggaran pelaburan RM197 juta dan Perlis Inland Port dengan anggaran pelaburan RM1.8 bilion juga telah mendapat kelulusan yang sama daripada MMKN,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN Perlis, hari ini.

Azlan berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang ingin tahu jumlah pelabur yang menyatakan minat untuk melabur di CVIA dan jumlah pelaburan terbesar yang boleh meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perlis.

Katanya, baki pelabur yang berminat untuk melabur di CVIA adalah syarikat yang terbabit dengan solar hab atau ladang solar di atas tanah kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan berpendapat pelaburan ladang solar ini tidak mendatangkan kesan ataupun impak yang tinggi kepada kerajaan negeri dan ia menggunakan tanah yang luas.

“Kerajaan negeri bagaimanapun secara dasar telah meluluskan untuk projek janakuasa tenaga berhampiran CVIA di kawasan Padang Besar yang bakal menjana 1,000 hingga 1,500 megawatt dengan nilai pelaburan antara RM4 bilion hingga RM6 billion,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon