Pelaburan asing: Putar belit atau pengkritik kurang faham kayu ukur? - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan asing: Putar belit atau pengkritik kurang faham kayu ukur?

Pelaburan asing: Putar belit atau pengkritik kurang faham kayu ukur?

23 Ogo 2025

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, setiap kali angka Pelaburan Langsung Asing (FDI) diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ada pihak tertentu yang membandingkan angka FDI dengan data Pelaburan Asing (FI) yang diterbitkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Selalunya, tuduhan berkisar mengenai angka MIDA yang tidak selari dengan angka FDI DOSM. Sebenarnya, sejak dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), saya telah menerbitkan sekurang-kurangnya dua video penjelasan (dan beberapa lagi mengenai topik berkaitan) yang menjelaskan perbezaan teknikal antara kedua-dua angka ini. MITI juga secara konsisten telah menerbitkan Kad Laporan suku tahunannya sejak Suku Pertama 2024 (S12024) untuk memaklumkan kemajuan pelbagai projek utama, termasuk pelaksanaan potensi pelaburan yang dicapai melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan MITI atau melalui cara lain.

Apakah perbezaan antara angka ‘FI yang diluluskan’ oleh MIDA dengan data ‘FDI bersih’ yang diterbitkan oleh DOSM? Izinkan saya menjelaskan hal ini dan menjawab beberapa soalan berkaitan.

Pada asasnya, kedua-dua set data ini mengukur perkara berbeza. Angka FI yang diluluskan oleh MIDA untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan mewakili cadangan projek pelaburan dengan penyertaan ekuiti asing yang telah mendapat lesen, insentif, permit, geran, pinjaman mudah dan sebagainya oleh kementerian dan agensi berkaitan. Ia diukur berdasarkan perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan operasi (OPEX) seperti tanah, bangunan dan sumber. Angka Pelaburan Domestik (DI) yang diluluskan juga mengukur data yang serupa, tetapi oleh pelabur domestik.

Angka DOSM secara amnya mengukur aliran masuk dan aliran keluar pelaburan asing. Ia mewakili urus niaga kewangan, termasuk untuk sektor ekuiti seperti saham dan pendapatan yang dilaburkan semula. Angka DOSM ini merujuk kepada pelaburan asing melalui urus niaga instrumen kewangan termasuk ekuiti, pendapatan yang dilaburkan semula dan instrumen hutang (seperti pinjaman antara anak-anak syarikat, kredit perdagangan dan sebagainya).

Sebagai contoh, jika pelabur asing membeli saham syarikat Malaysia, ia akan dicerminkan melalui angka DOSM, bukan data MIDA. Perangkaan FDI Malaysia diambil kira sebagai sebahagian daripada imbangan pembayaran, berdasarkan garis panduan BPM6 Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kedua-duanya penting, tetapi kerana angka MIDA dan DOSM mempunyai tujuan yang berbeza, maka ia mengukur perkara yang berbeza. Jadi bagaimana kita boleh simpulkan bahawa FDI DOSM dan FI MIDA adalah serupa? Hal ini seperti membandingkan epal dan oren – tidak hairanlah mengapa ramai yang keliru dalam bab ini!

Satu lagi isu ialah apabila pihak tertentu memutar belit perbezaan antara angka MIDA dan DOSM untuk mendakwa bahawa kerajaan tidak telus mengenai prestasi pelaburan Malaysia.

TARIK PELABUR

Mereka memetik data DOSM mengenai aliran masuk bersih FDI Malaysia sebanyak RM1.6 bilion untuk Suku Kedua 2025 (S22025), yang menurun berbanding RM15.6 bilion pada Suku Pertama 2025. Ada yang bertanya – bagaimana Malaysia masih mampu menarik minat pelabur jika angka FDI Suku Kedua 2025 menurun dengan mendadak?

Menurut DOSM, antara punca perubahan tersebut ialah “…penyaluran pendapatan dan dividen yang lebih tinggi kepada syarikat induk di luar negara.” Ini adalah fenomena yang biasa berlaku dalam ekonomi seperti Malaysia yang terbuka kepada syarikat asing. Penyaluran ini tentunya menurunkan aliran masuk bersih walaupun pelabur asing tersebut sedang meluaskan operasi mereka di Malaysia. Kedua-dua peristiwa ini boleh berlaku dalam masa yang sama. Penyaluran dana sedemikian adalah tanda ekonomi matang, di mana syarikat multinasional mampu menjana pulangan yang signifikan untuk dihantar pulang.

Penganalisis dan ahli ekonomi memahami bahawa aliran suku tahunan bukanlah kayu ukur yang tepat untuk menilai daya tarikan pelaburan sesebuah negara. Statistik suku tahunan, bila dianalisa dalam satu tempoh yang lama akan menunjukkan trend turun naik ketara. Contohnya, satu suntikan ekuiti atau pinjaman dalaman intra-syarikat yang besar sudah cukup untuk mengubah angka suku tahunan secara drastik.

Kita sepatutnya menganalisa prestasi FDI tahunan. FDI Malaysia pada tahun 2024 adalah RM51.5 bilion, meningkat daripada RM38.6 bilion pada tahun sebelumnya. Adakah fakta ini menunjukkan kemerosotan ekonomi Malaysia?

EKONOMI NEGARA

Seterusnya, apakah nilainya angka pelaburan MIDA, jika persoalan yang lebih penting adalah kadar pelaksanaannya? Apakah limpahan ekonomi yang dicipta oleh pelaburan ini? Soalan-soalan ini sering timbul, terutamanya apabila orang ramai membahaskan tentang prestasi ekonomi negara.

Hakikatnya, angka FI menggambarkan keyakinan pelabur dan kekuatan kita menarik pelaburan ke Malaysia. Ia juga menunjukkan perancangan oleh pelabur, terutamanya untuk sektor-sektor utama.

Sebagai contoh, baru semalam MIDA mengumumkan bahawa jumlah pelaburan yang diluluskan, baik asing (FI) mahupun domestik untuk Separuh Pertama 2025 meningkat 18.7 peratus tahun ke tahun, dengan FI menyumbang kira-kira 56 peratus daripada 3,011 projek yang diluluskan. Jumlah nilai projek-projek tersebut adalah RM190.3 bilion, yang dijangka akan mewujudkan 89,294 pekerjaan baharu.

Maklumat ini penting kerana ia membolehkan sektor awam dan swasta untuk mengukur sama ada Malaysia kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan berbanding negara serantau.

Perkongsian suku tahunan MIDA juga memaklumkan kepada pihak awam tentang sektor-sektor yang menarik pelaburan. Setiap projek dilabel oleh MIDA, dan ia perlu sepadan dengan sektor-sektor sasaran di bawah dasar-dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Nasional atau Strategi Pelaburan Hijau.

Memandangkan sektor pembuatan dan eksport adalah antara komponen utama KDNK, ternyata data pelaburan yang diluluskan MIDA amat penting untuk MITI, penganalisis, ahli ekonomi dan juga pelabur yang berminat untuk mengenal pasti hala tuju ekonomi Malaysia.

Jika tidak, bagaimana para pelabur boleh putuskan sama ada untuk ‘memecut’ atau ‘menunggu’, untuk ‘membelok atau memandu terus ke hadapan’? Tidak ada putar belit di sini – MITI sentiasa telus mengenai angka pelaburan yang diluluskan MIDA. Angka ini bantu kita menjejaki apa yang telah direalisasikan berbanding apa yang telah dijanjikan – tiada siapa yang mahukan janji-janji kosong.

Angka pelaburan yang diumumkan semalam juga mencerminkan perubahan dari segi jenis pelaburan asing yang ditarik ke Malaysia.

Banyak pelaburan baharu berasaskan teknologi yang masuk ke Malaysia dalam bentuk harta intelek, pajakan jangka panjang dan pembelian peralatan secara berperingkat.

Tempoh masa juga diperlukan dalam merealisasikan pelaburan asing. Projek pembuatan besar, tenaga, semikonduktor atau pusat data biasanya mengambil masa bertahun-tahun di antara kelulusan dan pelaksanaan sebelum aliran masuk muncul dalam bentuk imbangan pembayaran. Memang tidak munasabah untuk mengharapkan agar pelaburan yang diluluskan sebanyak RM378.5 bilion pada tahun 2024 dapat dilaksanakan dalam suku-suku tahunan terdekat.

Walaupun aktiviti pelaksanaan ini tidak dapat ‘dilihat’ dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia, ini tidak bermakna projek tidak berjalan. Lihat sahaja jumlah aktiviti pembinaan oleh pengilang tempatan dan asing yang telah bermula dalam tempoh Januari hingga Jun 2025. Kemudian lihat pula angka pengangguran kita, Alhamdulillah telah berkurangan secara beransur-ansur dari 3.6 peratus pada Januari 2023 kepada 3 peratus pada bulan Jun 2025.

Pengajaran berharga daripada episod ini adalah keperluan untuk kita meneliti kesemua data secara teliti, bukan sekadar membuat kesimpulan ringkas berdasarkan agenda tertentu. Cabaran sentiasa wujud, namun hakikatnya unjuran pertumbuhan jangka panjang Malaysia adalah lebih memberangsangkan berbanding apa yang digambarkan oleh sesetengah pihak. Tanggungjawab MITI adalah untuk memastikan angka pelaburan diluluskan oleh MIDA akan benar-benar mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi, industri yang berdaya saing dan komuniti yang lebih kukuh.

Bagi Malaysia, mesej penting yang tersirat di sebalik setiap pelaburan yang diluluskan, setiap ringgit yang direalisasikan adalah mengenai sebuah negara yang melakarkan perjalanannya dengan yakin, yang membina kemahiran pekerjanya untuk masa depan, yang memartabatkan komunitinya melalui peluang baharu untuk menempa nama Malaysia di persada antarabangsa.

*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri

Sumber: Sinar Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon