B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Contohi Kedah mudahkan urusan pelabur – KSN

Contohi Kedah mudahkan urusan pelabur – KSN

12 Jun 2022

Kejayaan Kedah menambah baik dan memudah cara urusan pelaburan perlu dijadikan contoh dan penanda aras bagi negeri lain dalam menarik lebih ramai pelabur asing.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata perkara itu penting bagi menggerakkan kembali sektor perniagaan dalam memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kedah berjaya menarik jumlah pelaburan antara yang tertinggi, ia boleh dijadikan teladan kepada negeri lain untuk tampil sama, sebenarnya benda ini memerlukan kepemimpinan sebab ia membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita sering dapat aduan daripada pelabur dan peniaga mengenai kelulusan dari segi permit, apabila ada permohonan itu, tidak perlu proses terlalu panjang, kalau kita masih menggunakan kaedah lama, masih menggunakan peraturan yang ketinggalan dan sebagainya, ia akan menyulitkan pelabur untuk datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan MyMudah Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Zuki, berkata usaha pembaharuan peraturan bagi menambah baik persekitaran perniagaan menjadi antara penyumbang utama kemajuan Kedah.

Katanya, projek E10 iaitu Permit Pembinaan Ekspress yang diterajui Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK) kini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri Kedah yang menjadi negeri pertama menubuhkan Unit MyMudah di peringkat PBT dan negeri.

“Tindakan proaktif kerajaan negeri dan PBT telah membuahkan hasil apabila usaha penambahbaikan ekosistem perniagaan telah berjaya meningkatkan profil negeri sebagai destinasi pilihan pelaburan berimpak tinggi.

“Malah saya yakin pelaksanaan inisiatif MyMudah yang meluas akan membantu industri dan perniagaan berkembang pesat, malah ia juga mampu meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam negeri yang berintegriti tinggi,” katanya.

Tahun lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan bahawa Kedah sebagai negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia antara Januari hingga September 2021 dengan nilai keseluruhan RM57.1 bilion.

Kedudukan itu meninggalkan Sarawak di kedudukan kedua dengan nilai pelaburan RM23.9 bilion, diikuti Kuala Lumpur RM22.5 bilion.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon