B. MelayuEnglishDeutsch日本語简体中文한국어
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tempat yang Hebat Untuk Bekerja dan Didiami

Tempat yang Hebat Untuk Bekerja dan Didiami

Walaupun perniagaan anda telah membawa anda ke Malaysia, kami memahami bahawa terdapat lebih banyak perkara lain untuk membuatkan anda berasa selesa di sini. Malaysia adalah titik pertemuan pelbagai budaya dan antara tempat yang paling ramah dan mesra di dunia untuk bekerja dan didiami. Kerjaya adalah sangat penting bagi suatu kehidupan yang baik. Tetapi kehidupan juga berkisar mengenai keluarga, rakan, pendidikan, kesihatan dan masa lapang.

Dalam tinjauan Expat Insider 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-4 sebagai destinasi terbaik untuk didiami dan bekerja oleh ekspatriat, serta memperoleh kedudukan melebihi purata global dalam setiap indeks seperti Ease of Settling In dan Indeks Kos Sara Hidup. Selain itu, dalam tinjauan Expat Explorer HSBC, kajian mengenai kehidupan ekspatriat yang terbesar dan terpanjang di dunia, Malaysia mendapat penarafan antara 20 negara terbaik di dunia untuk didiami dan berada di kedudukan ke-7 bagi kebudayaan, terbukaan dan keramahan komunitinya.

Salah satu ciri unik negara adalah ianya kaya dengan kepelbagaian budaya, warisan yang berasal daripada gabungan etniknya dari beberapa peradaban tertua di dunia. Kepelbagaian bangsa dan budaya ini membolehkan rakyat Malaysia bertutur sekurang-kurangnya dua, bahkan tiga bahasa – bahasa Melayu (bahasa kebangsaan), bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Tamil dan bahasa Asia yang lain. Hidup dalam persekitaran yang kosmopolitan, rakyat Malaysia sangat ramah dan mesra serta mudah menerima kehadiran warga asing dalam kalangan rakan mereka. Di Malaysia, selain terdapat banyak peluang perniagaan, anda juga boleh menikmati pengalaman yang unik, berwarna-warni dan persahabatan yang berkekalan.

Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan
Bertaraf Dunia di Malaysia

Malaysia kekal antara destinasi persaraan terbaik disebabkan oleh kos sara hidup yang secara relatif lebih rendah, cuaca sederhana dan penjagaan kesihatan dengan kos yang berpatutan di negara ini. Perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia kami dilengkapi sepenuhnya dengan infrastruktur yang moden dan canggih. Anda boleh membuat temu janji dengan pakar di sini dengan mudah. Proses untuk mendaftar di hospital dan menunggu giliran untuk berjumpa doktor pilihan anda juga adalah mudah.

 

Penjagaan kesihatan diperibadikan sedang berkembang dan semakin meningkat di Malaysia. Negara ini berada di tempat ke-8 dalam Indeks Penjagaan Kesihatan Diperibadikan untuk Asia Pasifik oleh Future Proofing Healthcare and Roche. Indeks ini mengukur kesediaan dan kebingkasan sistem kesihatan di rantau Asia Pasifik. Indeks itu turut menunjukkan yang Malaysia memperoleh kedudukan yang baik dalam kebolehsediaan pembiayaan, berada di tempat ketiga untuk jumlah sokongan kewangan ke arah meningkatkan penjagaan kesihatan diperibadikan.

 

Di Malaysia, penduduk tempatan dan pelancong dirawat oleh beberapa doktor dan profesional penjagaan kesihatan yang paling terlatih di rantau ini. Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) yang diiktiraf sebagai nama paling dipercayai di dunia dalam akreditasi telah mengiktiraf bakat yang tersedia di negara ini. Pada 2021, Datuk Dr. Jacob Thomas menjadi rakyat Malaysia pertama yang dilantik sebagai Pengerusi JCI.

 

 

Saya rasa tiada perkara lain yang lebih penting berbanding memastikan keselamatan pesakit hospital kami. Satu cara untuk memastikannya adalah menjaga keselamatan pesakit, kualiti penjagaan dan melihat hasilnya. Anda berjaya melakukannya selepas diakreditasi oleh satu daripada banyak badan akreditasi antarabangsa.

– Datuk Dr. Jacob Thomas, Pengerusi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI), 2021

Penjagaan Kesihatan Malaysia - Penjagaan Perubatan yang Berkualiti, Mudah Diakses & Berpatutan

Bertaraf Dunia

Teknologi canggih, kepakaran dan pengalaman perubatan disediakan di sini, lengkap dengan akreditasi antarabangsa dan diiktiraf.

Standard Berkualiti

Piawaian kualiti dan keselamatan yang ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)

Bakat Bertaraf

Pakar kesihatan terlatih yang berpengalaman daripada institusi ternama di Malaysia, UK, Australia dan Amerika Syarikat.

Pengiktirafan Global

Akreditasi nasional dan antarabangsa, seperti MSQH, JCI, ACHS.

Kemudahan Berkomunikasi

Kepelbagaian bahasa yang dituturkan di sini membuatkan anda berasa tidak berada di tempat yang asing. Hampir kesemua doktor fasih berbahasa Inggeris.

Akses yang Mudah

Waktu menunggu yang minimum dengan akses kepada perkhidmatan pakar dan pelbagai jenis rawatan.

Kemampuan yang Kompetitif

Kos rawatan dipantau oleh Kementerian Kesihatan.

Hab Halal Global

Memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna dan memenuhi keperluan beragama anda.

Malaysia ialah salah sebuah destinasi nilai perubatan terkemuka di dunia, tempat pesakit dapat memperoleh penjimatan sehingga 80% untuk pelbagai prosedur dan rawatan di hospital dan klinik kelas pertama.

– Pesakit Tanpa Sempadan (2020)

Sistem Pendidikan yang Berkualiti

Sistem pendidikan Malaysia memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat. Kami memiliki bilangan sekolah awam dan swasta yang besar, dengan kurikulum yang komprehensif yang dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan. Ekspatriat juga diberi pilihan untuk mendaftarkan anak-anak anda di sekolah-sekolah antarabangsa yang diiktiraf yang memenuhi metodologi pengajaran dan kurikulum negara asal mereka.

Ini termasuklah Universiti Heriot-Watt di Putrajaya, Universiti Curtin di Sarawak, Universiti Reading Malaysia dan Universiti Xiamen Malaysia.

 

Perumahan yang Selesa dan Mampu Milik

Terdapat pelbagai pilihan tempat tinggal yang selesa di Malaysia. Menurut tinjauan mengenai kos sara hidup ekspatriat oleh Dewan Perniagaan & Perindustrian Antarabangsa Malaysia, sewa bulanan untuk tempat tinggal adalah daripada serendah RM2,500 – 3,800 (USD590 – USD960) untuk sebuah kondominium 3 bilik tidur yang dilengkapi perabot di pinggir bandar Kuala Lumpur sehingga kira-kira RM15,000 (USD3,500) untuk sebuah banglo mewah di kawasan elit yang lebih dekat dengan bandar.

 

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah melancarkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia untuk menghadapi trend teknologi yang akan muncul pada masa hadapan serta Hala Tuju Bandar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia, sebuah rangka kerja untuk menyokong bandar dan wilayah dalam negara ke arah menjadi negara bandar yang lestari.

Sewa Bulanan

RM2,500 – 3,800/ USD590 – USD960

untuk sebuah kondominium 3 bilik yang dilengkapi perabot di pinggir bandar Kuala Lumpur

Sewa Bulanan

RM15,000/ USD3,500

untuk sebuah banglo mewah di kejiranan mewah yang lebih dekat dengan bandar

Gaya Hidup yang Tiada Tandingannya

Kehidupan di Malaysia adalah suatu pengembaraan. Iklim yang panas dan cerah sepanjang tahun menawarkan gaya hidup yang tiada tandingannya terutamanya bagi mereka yang gemarkan aktiviti luar. Keluarga boleh menikmati banyak hujung minggu yang menarik di taman-taman negara Malaysia yang mempunyai sungai dan gunung yang indah, terbang ke salah sebuah tempat percutian pulau untuk aktiviti snorkeling dan selam skuba, memandu untuk menikmati permainan golf di resort bukit yang bersuhu sejuk, berbelanja sepuas-puasnya di mana-mana kompleks beli-belah atau kedai barangan terus dari kilang yang sangat moden, atau menikmati pengalaman keseronokan dan pengembaraan yang sukar dilupakan di salah sebuah taman hiburan yang berkembang pesat di Malaysia.

Syurga Makanan

Masakan Malaysia adalah, seperti negara ini sendiri, kaya dengan budaya dan kepelbagaian. Hasil gabungan pelbagai makanan yang lazat, masakan Malaysia merangkumi pengaruh masakan Melayu, Cina dan India. Sama ada anda sukakan makanan jalanan yang dijual di bawah payung yang besar ataupun makanan bertaraf lima bintang, Malaysia pasti mempunyai sesuatu yang memenuhi setiap selera anda.

Alam Semula Jadi

Malaysia merupakan salah sebuah destinasi bagi aktiviti menyelam yang terkemuka di dunia, dengan salah satu persekitaran laut yang terkaya di Lembangan Indo-Pasifik. Kepelbagaian hidupan laut yang luar biasa, ditambah dengan perairan yang hangat, air yang jernih, pulau-pulau yang indah dan pantai yang menakjubkan hingga membuatkan para penyelam kembali lagi ke Malaysia.

Tempat-tempat menyelam di Malaysia merangkumi Pulau Tioman dan Pulau Aur di Johor, Pulau Kapas dan Pulau Perhentian di Terengganu dan Mantanani, Mataking, Mabul dan Sipadan di Sabah. Bayangkan pantai yang berpasir dan air laut kebiru-biruan yang kaya dengan pelbagai kehidupan laut. Malaysia merupakan hadiah sebenar kepada para pencinta laut.

Terdapat juga banyak kawasan simpanan semula jadi dan laluan mendaki untuk diterokai di seluruh Malaysia. Rehatkan diri daripada hiruk-pikuk aktiviti harian dengan mengembara melalui flora dan fauna yang mempesonakan di Malaysia, dan nikmati pemandangan puncak yang menakjubkan. Ini termasuk Taman Negara (National Park Malaysia), Taman Nasional Bako, Taman Eko Rimba KL, Bukit Broga, Bukit Pulau Pinang dan Gunung Kinabalu.

Berbelanja Sepuasnya

Malaysia ialah destinasi beli-belah bertaraf dunia. Dari pusat beli-belah gergasi dengan kedai pereka yang bergaya dan kedai barangan premium hinggalah gerai pasar malam dan pasar barangan antik, Malaysia merupakan syurga kepada para pembeli. Pusat Beli-belah One Utama ialah pusat membeli-belah terbesar di negara ini dan ruang niaga ketujuh terbesar di dunia. Malaysia mempunyai ratusan kedai bebas cukai di lapangan terbang dan di lokasi tarikan pelancong seperti pulau tropika di Langkawi dan Labuan. Dari Pulau Pinang di bahagian utara dan Johor di bahagian selatan atau Malaysia Timur di seberang lautan, negara ini menawarkan banyak pilihan untuk memenuhi minat membeli-belah anda.

Budaya dan Kesenian yang Istimewa

Budaya Malaysia dipengaruhi oleh kepelbagaian warganya di negara ini. Daripada pengaruh kebudayaan suku orang asli hinggalah pengaruh budaya Melayu, Cina dan India, ia telah menjadikan kami sebagai suatu titik pertemuan budaya Asia. Malaysia ialah salah satu pengeluar kostum tarian singa terbaik di dunia, yang mana keindahannya dapat dilihat semasa perayaan Tahun Baharu Cina. Batik Malaysia ialah salah satu seni tekstil tertua yang masih boleh didapati dan biasanya boleh dilihat pada pakaian rasmi dengan motif bunga. Kami mempunyai boneka bayangan unik kami yang disebut Wayang Kulit, yang digunakan dalam penceritaan sejak beberapa generasi yang lalu. Malaysia juga mempunyai lebih daripada 130 muzium untuk menyajikan pengunjung dengan maklumat dan pameran mengenai sejarah, budaya dan warisan negara. Antaranya termasuklah Muzium Negara, Muzium Kesenian Islam, Muzium Negeri Melaka dan Muzium Petrosains.

Alami Kehidupan Malam Tropika

Ibu negara Malaysia iaitu Kuala Lumpur ialah sebuah bandar yang meriah dan lengkap dengan aktiviti kehidupan malam yang menakjubkan. Pastinya terdapat tempat yang menarik untuk semua golongan dengan rangkaian restoran eksklusif, bar, kelab malam yang terkini dan tempat karaoke yang mengujakan. Terdapat banyak tempat hiburan malam yang terkini seperti TREC yang dapat menarik ribuan pengunjung pada hujung minggu dengan hipster speakeasies, kelab komedi, bar piano dan banyak lagi yang sesuai dengan sebarang jenis muzik kesukaan. The Roof 1 First Avenue, Mantra Bangsar dan Wet Deck di hotel W Kuala Lumpur yang penuh gaya adalah sebuah tempat yang hebat yang menawarkan pemandangan latar langit kota raya yang terbaik.

Acara Sukan yang Mendebarkan

Malaysia mempunyai kemudahan sukan bertaraf dunia dan menganjurkan banyak acara antarabangsa yang menarik.

 

Le Tour de Langkawi ialah perlumbaan tahunan yang dianjurkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Festival Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang menawarkan debaran tersendiri terutamanya ketika pasukan bertanding merebut kejuaraan. ATP Terbuka Malaysia menyediakan hiburan yang mempesonakan kepada peminat tenis.

Selain menyaksikan sukan, anda juga boleh mengasah kebolehan anda bermain golf di satu daripada 200 padang golf kami termasuk beberapa padang yang direka khusus oleh legenda seperti Jack Nicklaus, Arnold Palmer dan Ernie Els. Elakkan cuaca panas dengan bermain di malam hari di padang golf utama yang menyediakan lampu limpah tanpa silau.

Tingkatkan kemahiran permainan dan perniagaan anda di Malaysia.

wpChatIcon