B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ta Win muktamadkan pengambilalihan kepentingan 32.5 peratus dalam Royce Pharma

Ta Win muktamadkan pengambilalihan kepentingan 32.5 peratus dalam Royce Pharma

24 Dis 2020

Subsidiari penjagaan kesihatan milik syarikat pembuat produk tembaga, Ta Win Holdings Bhd iaitu Ta Win Copper Biohealth Sdn Bhd (TWCB), telah menyempurnakan pengambilalihan kepentingan ekuiti sebanyak 32.5 peratus dalam Royce Pharma Manufacturing Sdn Bhd sebanyak pada harga RM20.85 juta. 

Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win, Datuk Seri Ngu Tieng Ung dalam satu kenyataan berkata pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan berkenaan memanfaatkan keupayaan serta pengalaman farmaseutikal Royce Pharma yang mantap.

”Penerokaan ke dalam industri farmaseutikal ini, menjanjikan prospek yang luas, ini akan menempatkan syarikat dengan baik bagi memanfaatkan kepakaran dan rekod prestasi Royce Pharma yang kukuh dalam sektor ini. 

”Berdasarkan faktor-faktor tersebut, kami yakin ini akan menyumbang kepada prestasi kumpulan untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Ngu berkata berikutan pengambilalihan itu, kumpulan menyasarkan untuk memanfaatkan peluang yang berdaya maju termasuk pembangunan produk farmaseutikal yang memenuhi keperluan penjagaan kesihatan global yang berkembang, terutamanya semasa pandemik COVID-19. 

”Kami akan terus meneliti aplikasi hiliran biokimia dan kimia tembaga serta protein tembaga untuk mengukuhkan lagi prospek kami dalam jangka masa panjang,” katanya lagi. 

Pengambilalihan ini dimuktamadkan selaras dengan terma dan syarat Perjanjian Penjualan Saham (SSA) dan Perjanjian Langganan. 

Perjanjian Jaminan Keuntungan serta Perjanjian Pemegang Saham juga telah berkuatkuasa tanpa syarat hari ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon