B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sentimen perniagaan syarikat Jepun di Malaysia diunjur bertambah baik pada separuh pertama 2022

Sentimen perniagaan syarikat Jepun di Malaysia diunjur bertambah baik pada separuh pertama 2022

04 Nov 2021

Sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Jepun di Malaysia diunjur bertambah baik dalam separuh pertama 2022, demikian menurut dapatan kaji selidik oleh Dewan Perniagaan dan Industri Jepun-Malaysia (JACTIM).

Menurut kaji selidik yang dijalankan dua kali setahun itu, indeks penyebaran sentimen perniagaan diunjur meningkat kepada 3.1 mata pada separuh pertama 2022, selepas mencatatkan bacaan negatif sejak separuh kedua 2018.

Ketua Penasihat JACTIM yang juga merupakan Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) bagi Kuala Lumpur Mai Onozawa berkata banyak syarikat Jepun yakin dengan prospek masa depan Malaysia berlandaskan kepada pemulihan global dan merancang untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka di Malaysia.

Kaji selidik JACTIM mengenai trend perniagaan di Malaysia pada separuh kedua 2021 itu dijalankan pada September, melibatkan 552 syarikat ahli JACTIM, termasuk 120 syarikat daripada sektor pembuatan dan 71 syarikat daripada sektor bukan pembuatan.

“Dalam kaji selidik itu banyak responden menyatakan aktiviti pengeluaran mereka disambung semula secara berperingkat susulan kelongggaran sekatan oleh kerajaan Malaysia ke atas aktiviti sosial dan ekonomi, sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasi,” kata Onozawa kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Lanjutan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan bagi pembelian kereta baharu sehingga Jun 2022 turut menyokong industri automotif, katanya.

“Mengenai sektor perkhidmatan, terutamanya perkhidmatan berkaitan pembuatan, langkah kerajaan untuk melonggarkan sekatan dengan peralihan kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara telah mendorong syarikat pembuatan untuk meningkatkan aktiviti pengeluaran mereka.

“Ini membawa kepada peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan seperti import/eksport, jualan dan pengangkutan produk berkaitan,” katanya.

Onozawa berkata sentimen perniagaan rendah pada suku pertama 2021 kerana kegawatan ekonomi dan kadar operasi rendah ekoran sekatan pergerakan yang berpanjangan.

Menurutnya, kekurangan buruh telah menjadi satu isu mendesak malahan sebelum pandemik COVID-19 lagi apabila industri pembuatan berskala besar mendapati sukar untuk mendapatkan jumlah pekerja yang mencukupi.

“Dengan penggantungan pengambilan pekerja asing baharu bermula Jun 2020, selain langkah-langkah yang diambil bagi membendung penularan COVID-19, banyak syarikat berkata bilangan pekerja am yang dapat diambil bekerja oleh syarikat berkurangan dengan ketara.

“Syarikat Jepun giat melakukan pengambilan pekerja Malaysia, tetapi kadar pusing ganti adalah sangat tinggi terutamanya bagi syarikat yang terletak di kawasan padat perniagaan seperti Selangor dan Johor,” katanya.

Untuk meneruskan aktiviti ekonomi mereka di Malaysia syarikat Jepun juga memerlukan sumber manusia berkemahiran tinggi seperti jurutera dan pengurus pengeluaran, namun, bilangan tenaga kerja tidak mencukupi dan syarikat berdepan kesukaran untuk mengambil mereka bekerja.

Menurut Onozawa, banyak syarikat Jepun berkata pengeluaran tidak mencukupi untuk menampung permintaan disebabkan kekurangan buruh.

“Selain itu, beberapa syarikat mendapati sukar untuk mendapatkan bahagian-bahagian dan bahan daripada sumber tempatan dan luar negara disebabkan oleh masalah seperti gangguan dalam pengangkutan marin.

“Oleh kerana isu-isu ini tidak boleh diselesaikan segera, syarikat-syarikat menjangkakan situasi lebihan permintaan akan berterusan buat masa ini,” katanya.

Memandangkan situasi semasa, JACTIM menggesa kerajaan mewujudkan persekitaran perniagaan yang akan membolehkan syarikat asing meneruskan aktiviti ekonomi mereka di Malaysia bagi tempoh jangka panjang dalam situasi sama-sama menang.

Onozawa berkata banyak syarikat Jepun yang sedang beroperasi di Malaysia ketika ini telah menjalankan perniagaan mereka lebih daripada 30-40 tahun di negara ini dan kesemua mereka melahirkan minat untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka di Malaysia.

Beliau juga memuji langkah kerajaan melanjutkan Elaun Pelaburan Semula Tambahan dengan menyatakan ia akan memberi manfaat kepada syarikat asing dan juga Malaysia untuk menarik pelaburan baharu.

Onozawa juga menegaskan kepentingan mewujudkan dasar karbon-neutral yang jelas.

“Daripada perspektif mencapai pelepasan karbon sifar dan memastikan bekalan tenaga stabil untuk mencapai sasaran tersebut, penting untuk terus menyokong sistem penjanaan kuasa konvensional semasa yang menggunakan bahan api fosil sedia ada mengunakan pembiayaan peralihan.

“Pada masa yang sama, dasar yang jelas dan segera untuk menyokong matlamat itu seperti langkah-langkah subsidi dan keutamaan bagi alternatif bebas karbon, juga diperlukan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon