B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Peluang kerja industri digital kekal tinggi

Peluang kerja industri digital kekal tinggi

06 Okt 2021

Industri digital menawarkan 97,909 pekerjaan pada separuh pertama 2021 dan jumlah itu dijangka terus meningkat sehingga ke akhir tahun ini, demikian menurut Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (PIKOM).

Jangkaan itu dibuat ketika unjuran PIKOM mendapati pertumbuhan gaji dalam industri berkenaan hanya berkembang 0.1 peratus pada tahun ini.

PIKOM bagaimanapun mendedahkan, walaupun wujud beberapa impak pandemik, gaji dalam industri digital masih berdaya tahan disokong pertumbuhan dalam sektor seperti e-dagang.

Pengarah Urusan JobStreet, Vic Sithasanan, berkata platform pencarian kerja terkemuka itu menjangkakan peratusan keperluan pekerja yang memiliki kemahiran dan kepakaran digital meningkat ketara berikutan permintaan tinggi terhadap peralatan dan proses digital.

“Justeru, ada keperluan mendesak kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran mereka dengan pengetahuan teknologi digital bersama literasi digital dan pemindahan kemahiran,” katanya dalam Laporan Penyelidikan PIKOM bersama JobStreet bertajuk ‘Unjuran Pasaran Pekerjaan Ekonomi dan Digital’.

Menurut laporan penyelidikan PIKOM, jumlah pekerjaan yang diiklankan di platform JobStreet mencecah 135,451 tahun lalu.

Dari aspek gaji pula, berdasarkan data JobStreet dan analisis serta jangkaan PIKOM, pertumbuhan gaji menunjukkan trend menurun seawal 2019 hingga 2020.

Pertumbuhan gaji tahun lalu secara purata berada pada 2.2 peratus dan dijangka meningkat 0.1 peratus tahun ini serta dua peratus pada 2022.

Pertumbuhan sederhana gaji pekerja dalam ekonomi digital itu selaras kesan langsung daripada COVID-19 termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketidaktentuan ekonomi dan kehilangan pekerjaan.

Dari aspek perbandingan gaji di peringkat serantau dan global, kadar pertumbuhan di Malaysia dan Thailand terus merosot dengan gandaan 1.21 kali, Singapura 1.98 kali manakala Amerika Syarikat (AS) 2.1 kali.

Berdasarkan analisis, bakat digital pada peringkat pekerja kanan adalah yang paling terjejas tahun ini dari aspek kekosongan kerja dan gaji ditawarkan.

Namun, prospek lebih baik dalam pertumbuhan gaji pada jawatan permulaan hingga pengurus, manakala gaji bagi pengurus kanan tidak berubah pada tahun depan.

PIKOM turut mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah tahun ini iaitu dua hingga 2.5 peratus, sebelum meningkat kepada 4.5 peratus hingga lima peratus tahun depan.

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini bmenyemak turun unjuran KDNK negara antara tiga hingga empat peratus bagi keseluruhan tahun ini berbanding unjuran awal iaitu enam hingga 7.5 peratus.

Sementara itu, Pengerusi PIKOM, Danny Lee, berkata pandemik memacu pertumbuhan industri digital dan membentuk semula landskap e-dagang, perkhidmatan dalam talian, digitalisasi dan perhubungan.

Justeru, katanya ekonomi digital dijangka melepasi sasaran 20 peratus sumbangan kepada KDNK tahun lalu iaitu 21.7 peratus atau RM309.4 bilion.

“Bagi tahun ini, kami menjangkakan sumbangan ekonomi digital terus melonjak kepada RM331.1 bilion atau 22.4 peratus, manakala tahun depan pula dinjur meningkat kepada RM356.9 bilion atau 23.4 peratus.

“Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan pelaksanaan inisiatif 5G kerajaan akan menjadi satu lagi dorongan dalam memacu industri ini ke hadapan.

“Sektor e-dagang, perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembuatan ICT serta perdagangan ICT dan kandungan & media dijangka menjadi penyumbang utama industri digital,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon