B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia berperanan penting dalam rantaian bekalan semikonduktor – onsemi

Malaysia berperanan penting dalam rantaian bekalan semikonduktor – onsemi

18 Nov 2021

Syarikat semikonduktor Amerika Syarikat (AS), onsemi telah meningkatkan strategi  untuk memacu inovasi pengubah yang menyumbang terhadap ekosistem mampan  penjanaan tenaga kenderaan, keselamatan canggih, tenaga alternatif dan automasi kilang.

Naib Presiden Global onsemi, Jose Hernandez berkata AS juga berminat untuk bekerjasama dengan negara-negara seperti Malaysia yang berperanan penting dalam rantaian bekalan terbabit.

“Masalah kekurangan semikonduktor adalah kritikal di segenap dunia sejak beberapa bulan lepas dan ini memberi impak ketara dari segi ketersediaan produk harian di AS.

“Satu delegasi AS melakukan kunjungan ke sini pada hari ini dan mereka dalam misi komersial untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia. Mereka juga amat berminat dengan rantaian bekalan sektor semikonduktor,” katanya kepada pemberita di kilang onsemi di Senawang Industrial Estate di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Perdagangan AS Gina M. Raimondo yang dalam rangka lawatan empat hari ke Asia, melakukan lawatan ke kilang tersebut.

Mengulas selanjutnya, Hernandez berkata syarikat itu berada di Malaysia  sejak 1979 dan menyifatkan negara ini antara lokasi paling strategik untuk menangani kekurangan cip global pada masa ini.

“Prospek perniagaan di Malaysia amat baik. Kami tidak hanya terbabit dalam pembuatan tetapi turut meliputi reka bentuk dan pembangunan teknologi canggih untuk benda-benda baharu.

“Paling terbaharu, usaha kami banyak menumpukan aspek kemampanan. Sebagai contoh, kami membuat reka bentuk dan pembangunan modul tenaga kenderaan elektrik yang dapat membantu menjadikan keadaan dunia yang lebih baik (dari segi alam sekitar),” katanya.

Syarikat terbabit turut menyelami aspek  dinamik rantaian bekalan terutama ketika krisis COVID-19, termasuk  perubahan model perniagaan dari segi libat urus dengan para pelanggan, katanya.

Hernandez berkata sebelum pandemik, penglibatan itu lebih bercirikan urus niaga namun sekarang berubah kepada kerjasama jangka panjang dengan pelanggan utama terlibat dalam perjanjian bekalan jangka panjang dengan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Raimondo pula berkata AS melihat Malaysia sebagai rakan penting dalam industri semikonduktor selepas jalinan hubungan 50 tahun dengan syarikatsyarikat berkaitan di negara ini.

“Malaysia telah menjalankan banyak pembungkusan, pemasangan, pengujian dan kualiti yang cemerlang.

“Rantaian bekalan ini amat rumit dan kami melihat hubungan di Malaysia sebagai amat penting. Malah, kami berharap untuk meningkatkan lagi usaha itu dan mahu bekerjasama lebih erat dengan kerajaan Malaysia untuk memantau rantaian bekalan,” katanya. Menurutnya, AS akan turut melabur berbilion-bilion dolar bagi insentif mewujudkan lebih banyak kemudahan semikonduktor di AS serta di negara-negara sekutu seperti Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon