B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia berada di kedudukan ke-39 Indeks Sekuriti Makanan Global 2021

Malaysia berada di kedudukan ke-39 Indeks Sekuriti Makanan Global 2021

22 Jan 2022

Malaysia berada di kedudukan ke-39 dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dalam laporan yang dikeluarkan oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU) bagi tahun 2021 daripada 113 negara seluruh dunia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata kedudukan Malaysia dalam kalangan negara Asia Pasifik adalah lapan terbaik manakala kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura.

“Namun begitu pengukuhan sekuriti makanan negara merupakan proses yang berterusan dan kita mestilah terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan kita dalam GFSI ini seiring dengan hasrat Kerajaan untuk terus memperkasa sektor agromakanan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2022 Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Beliau berkata justeru, Pelan Tindakan Dasar Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 yang bakal dilancar dalam masa terdekat adalah strategi yang akan mendokong pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Katanya fasa permulaan pelaksanaan DAN 2.0, dasar menyeluruh bagi memastikan sekuriti makanan negara berdaya saing serta mampan berlandaskan dasar-dasar utama kerajaan termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030, adalah antara pencapaian utama MAFI tahun lepas.

“Bagaimanapun, sebarang perancangan dasar tidak akan berjaya tanpa pelaksanaan yang efektif dan berkesan supaya memberi impak lebih besar dalam kesejahteraan Keluarga Malaysia. DAN 2.0 bukan hanya satu dokumen dasar semata-mata malah ia mesti dijadikan panduan dan rujukan dalam segala usaha serta inisiatif yang diambil oleh MAFI.

“Dalam hal ini, saya yakin MAFI akan melaksanakan kesemua strategi dan inisiatif yang telah digariskan di bawah DAN 2.0 serta Pelan Tindakan DSMN mengikut tempoh pelaksanaan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Ronald berkata DAN 2.0 telah meletakkan pemodenan dan pertanian pintar sebagai pencetus perubahan dan teras dasar utama yang akan diberi tumpuan bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan.

Katanya sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar dijangka meningkat kepada lima peratus menjelang 2030 iaitu tahun akhir pelaksanaan DAN 2.0 berbanding 2.3 peratus pada 2020.

Beliau turut memaklumkan Lembaga Ruminan Negara bakal ditubuh dan beroperasi secara berfasa bermula tahun ini untuk merancakkan pertumbuhan industri ruminan khususnya dalam memantapkan pengeluaran daging serta tenusu negara.

Ronald berkata MAFI telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara 2021-2025 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 bagi membangunkan industri ruminan negara.

“Melalui pelan-pelan ini, sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan akan dapat ditingkatkan untuk mencapai sasaran 50 peratus sasaran tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau juga berkata Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2021 yang sepatutnya diadakan dari 21 hingga 23 Dis 2021 terpaksa ditangguhkan berikutan bencana banjir dan tarikh baharu akan disesuaikan semula mengambil kira pelaksanaan MAHA 2022.

Katanya beliau berharap kedua-dua program dapat dilaksanakan tahun ini.

Source: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon