B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kedah realisasikan hab e-dagang mod jalan darat pertama di Malaysia

Kedah realisasikan hab e-dagang mod jalan darat pertama di Malaysia

26 Mei 2022

Kedah berhasil merealisasikan hab e-dagang dan logistik melibatkan aktiviti import dan eksport barangan melalui jalan darat yang pertama di negara ini.

Fasa pertama pembangunan terminal e-dagang yang terletak di sebuah gudang berkeluasan 60,000 kaki persegi di kawasan perindustrian di sini telah siap pada Mac lepas dan akan mula beroperasi dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata hab e-dagang itu merupakan anugerah kepada rakyat Kedah khususnya dalam membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri serta peluang pekerjaan.

“Hari ini satu lagi sejarah dicatatkan di Kedah menerusi pelaburan oleh KT Express Logistics Sdn Bhd yang akan mencecah RM1 bilion, kita rasmikan dahulu untuk fasa satu di mana ia satu-satunya hab e-dagang mod jalan darat di Malaysia.

“Walaupun fasa dua dan tiga banyak menggunakan elektronik dan juga robotik, tetapi ada juga beberapa institusi pengajian tinggi yang akan bekerjasama rapat dengan syarikat ini untuk membekalkan tenaga kerja untuk operasi hab ini,” katanya di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan fasa satu projek hab e-dagang itu di sini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif KT Express Logistics, Datuk Affendi Mohamed Zain.

Pembangunan hab e-dagang yang dilaksanakan mengikut tiga fasa selama lima tahun itu dijangka menawarkan sehingga 2,500 peluang pekerjaan.

Pada 20 Jan 2022, KT Express Logistics menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Invest Kedah Bhd untuk membangunkan hab tersebut dan Affendi Mohamed Zain berkata pada permulaan, pihaknya menjangkakan dua hingga lima kontena menghantar barangan di hab ini dan setiap kontena dianggarkan mampu membawa 2,000 hingga 8,000 kotak barangan bergantung kepada saiz.

Beliau juga berkata hab melalui jalan darat ini dapat menjimatkan kos pembelian berbanding menggunakan jalan udara selain membantu pertumbuhan peniaga kecil yang mempunyai produk berkuantiti kecil di negara ini untuk mengeksport dan menghantar barangan tempatan terus kepada pelanggan melalui jalan darat.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata Kedah berjaya menarik pelaburan bernilai RM20 bilion bagi suku pertama serta suku kedua 2022 setakat ini, melepasi sasaran RM10 bilion setahun yang ditetapkan menerusi Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Jumlah itu bagi suku pertama dan suku kedua tahun ini. Suku kedua pun belum habis lagi, (tapi) kita peroleh RM20 bilion. Insya-Allah suku ketiga, suku keempat ada lagi (pelaburan).

“Banyak pelaburan membabitkan industri perkilangan, jadi kita buka seluas-luasnya, kita ada kawasan perindustrian di Bakar Arang, Sungai Petani dan Kuala Ketil, Baling yang sedang membesar,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah meminta kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf jalan-jalan di kawasan perindustrian di Kedah susulan peningkatan pelaburan.

Source: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon