B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Iskandar Malaysia terima pelaburan RM7.33 bilion setakat April

Iskandar Malaysia terima pelaburan RM7.33 bilion setakat April

21 Jun 2021

Iskandar Malaysia telah menerima pelaburan membabitkan projek bernilai RM7.33 bilion dari Januari hingga April lalu, demikian menurut Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim, berkata jumlah pelaburan yang diterima itu membabitkan 20 peratus pelabur domestik dan baki 80 peratus lagi dari pelabur asing.

“Pelaburan yang direalisasi ini menjadi petanda positif bahawa Iskandar Malaysia masih mengekalkan kepercayaan pelabur.

“kami berharap keyakinan ini akan berterusan dan mendorong pelabur lain untuk meneroka wilayah ini sebagai platform ideal untuk melabur, membina semula atau mengembangkan perniagaan serta operasi, semasa atau dalam persiapan pasca COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Daripada pelaburan itu, tiga industri utamanya adalah peralatan pengangkutan, elektrik & elektrikal, serta jentera & peralatan.

Secara keseluruhan, Iskandar Malaysia merekodkan pelaburan terkumpul mencecah RM341.4 bilion sejak 2006 dengan 61 peratus daripadanya sudah dimuktamadkan.

Daripada jumlah pelaburan yang telah direalisasikan, sejumlah RM209.9 bilion diterajui sektor pembuatan, diikuti logistik, pelancongan, perkhidmatan kreatif dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, Iskandar Malaysia terus muncul sebagai destinasi pelaburan pilihan pelabur menerusi penawaran beberapa inisiatif yang membantu pelabur menanam minat melabur di wilayah ekonomi itu.

“Kami menghargai sokongan dan kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terhadap projek pembuatan di Iskandar Malaysia dan menantikan pelaksanaan projek terbabit tahun ini walaupun menghadapi banyak cabaran.

“Tahun lalu, projek yang telah diluluskan untuk dibangunkan di wilayah ini merangkumi pelabur dari China, Jepun dan Singapura,” katanya.

Beliau menjelaskan, awal tahun lalu, IRDA mengumumkan usahanya ke arah pertanian moden sebagai sektor ekonomi baharu untuk dipromosikan di wilayah itu.

Katanya, ia selaras dengan keperluan utama bagi meningkatkan aspek keselamatan makanan dan permintaan besar untuk bekalan makanan berterusan bagi Malaysia dan negara jiran, Singapura.

“Dengan banyak tanah di Johor dan hasrat negeri ini menjadi ‘Bank Makanan’ ditambah dengan teras bandar pintar Iskandar Malaysia, kami ingin mengalu-alukan pelabur dan rakan kongsi ke wilayah ini untuk bekerjasama dalam membangunkan, memacu serta memanfaatkan inisiatif pertanian moden,” katanya.

Ismail berkata, Iskandar Malaysia juga membangunkan beberapa program bagi membina dan mengukuhkan sumber modal insan di bawah inisiatif SECURE@IskandarMalaysia.

“Program khusus termasuk ‘Meningkatkan Kemahiran Perubatan IM’ yang disasarkan untuk memperkemaskan manfaat pekerja, selain program ‘Pembangunan Kapasiti Komuniti’ untuk membantu meningkatkan kemahiran dan kemampuan menyesuaikan diri individu dengan pelbagai peluang yang mungkin hadir daripada pelaburan yang masuk ke wilayah ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon