B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hap Seng rancang bina lima hotel baharu

Hap Seng rancang bina lima hotel baharu

12 Jan 2022

Hap Seng Land Sdn Bhd (HSL), anak syarikat milik penuh Hap Seng Condolidated Bhd merancang untuk membangunkan lima hotel dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasi HSL, David Khor, berkata tiga daripadanya akan dibangunkan di Kuala Lumpur termasuk di Jalan Kia Peng, KL Metropolis dan bangunan Wisma KFC yang baru dibeli akhir tahun lalu manakala dua lagi akan dibangunkan di Sabah.

“Hotel ini kemudiannya akan diuruskan oleh dua jenama syarikat perhotelan antarabangsa iaitu Hyatt yang akan mengendalikan empat hotel kami dan satu oleh Marriott.

“Ini adalah kali pertama kumpulan meneroka perniagaan hotel dan ia akan membawa pendapatan berulang kepada kami setiap tahun,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sijil Malaysia Book of Records bagi rekod Dinding Hijau Dalaman Tertinggi di Menara Hap Seng 3 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Hap Seng, Thomas Karl Rapp dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Edward Lee.

Menara Hap Seng 3 yang direka oleh syarikat arkitek antarabangsa beribu pejabat di Chicago iaitu Skidmore, Owings & Merrill, menampilkan dinding hijau dalaman setinggi 91.55 meter merentasi 20 tingkat ruang pejabatnya.

Mengulas lanjut, Khor berkata HSL turut merancang untuk membangunkan tiga projek hartanah kediaman pada tahun ini.

“Tiga projek ini akan dibangunkan masing-masing di Sabah dan Sungai Buloh, Selangor. Satu lagi saya masih tidak boleh dedahkan lokasinya, namun ia adalah di Malaysia Barat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata pemaju hartanah itu menyasar untuk terus melakukan aktiviti pengambilalihan sama ada tanah atau bangunan sedia ada tahun ini.

“Sekarang ini adalah masa dan peluang yang terbaik untuk melakukan pengambilalihan kerana keadaan pasaran yang tidak berapa baik,” katanya.

Sementara itu, Karl Rapp berkata Hap Seng menjangkakan 2022 kekal mencabar dengan situasi pandemik COVID-19.

“Namun, kami optimis kumpulan akan terus mengembangkan pendapatan dan keuntungan tahun ini dengan pembukaan semula sektor ekonomi yang penuh,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon