B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Aurelius Hospital Alor Setar, kemudahan perubatan swasta terbesar di Kedah

Aurelius Hospital Alor Setar, kemudahan perubatan swasta terbesar di Kedah

14 Jun 2022

Aurelius Healthcare Group telah memuktamadkan kerjasama dengan Intan Medical Centre Sdn Bhd untuk menjadi pemegang saham majoriti dan pengendali sebuah hospital swasta di Alor Setar yang akan dinamakan sebagai Aurelius Hospital Alor Setar.

Ketua Pegawai Eksekutif  Aurelius Hospital Alor Setar TJ Randhawa berkata hospital swasta enam tingkat yang terletak di Mergong itu, akan menjadi kemudahan perubatan swasta terbesar di Kedah.

Ia kini sedang dalam pembinaan dan dijangka beroperasi menjelang suku keempat 2023.

“Kami berbangga dapat mengadakan kemudahan penjagaan kesihatan yang komprehensif, yang akan menyediakan pesakit dengan prosedur diagnostik dan perubatan, dan berharap ia akan menarik pakar terkemuka dalam bidang endokrinologi, nefrologi, urologi, gastroenterologi dan kepakaran lain.

“Kami juga berusaha untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan tahap tertinggi kepada pesakit, pakar perubatan, pekerja dan rakan kongsi kami dalam menyediakan kemudahan yang selesa kepada masyarakat termasuk Pulau Pinang, Perlis dan negeri-negeri sekitar yang lain,” kata Randhawa dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pengerusi kumpulan Aurelius Healthcare Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata ini adalah penerokaan kedua Aurelius di Malaysia, dan ia memperlihatkan objektif syarikat untuk mengubah penyampaian penjagaan kesihatan dan meluaskan akses perubatan kepada semua rakyat Malaysia.

Beliau menjelaskan penerokaan pertama, Aurelius Hospital Nilai telah diperoleh pada September 2021, dan dengan Aurelius Alor Setar, ia berada di landasan untuk mengubah lagi industri penjagaan kesihatan swasta.

Aurelius Healthcare diwujudkan di Malaysia oleh sekumpulan profesional industri dengan kepakaran pengurusan penjagaan kesihatan yang meluas di seluruh dunia, untuk memodenkan dan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses di seluruh negara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon