B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Airbus, BHIC teroka MRO pesawat tentera Malaysia

Airbus, BHIC teroka MRO pesawat tentera Malaysia

08 Jun 2021

Airbus dan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) akan membangunkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat tentera di Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab serantau.

Ketua Asia Pasifik Airbus Defence and Space, Johan Pelissier, berkata kedua-dua pihak akan melihat cara untuk memanfaatkan kepakaran masing-masing bagi memajukan kemampuan MRO tempatan melalui platform pesawat tentera bersayap kekal, dalam usaha menyokong operasi pengendali armada pelanggan.

“Kerjasama Airbus dengan BHIC melalui program latihan juruterbang dan MRO helikopter tentera sebelum ini menunjukkan kejayaan, lantaran itu kami teruja untuk mengukuhkan lagi hubungan ini.

“Airbus akan mengukuhkan kehadiran dalam industri tempatan melalui penyampaian penyelesaian yang merangkumi MRO bagi pesawat tentera berkipas dan pesawat tentera bersayap kekal, sekali gus memberi kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan.

“Kami juga berhasrat untuk menyumbang kepada kejayaan rancangan transformasi Malaysia dalam pelan Pembangunan Keupayaan 2055 yang akan memperkenalkan platform baru bagi pesawat tentera bersayap kekal bagi tujuan misi rondaan maritim di masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BHIC.

Pelissier berkata, Malaysia adalah pasaran utama kumpulan selain menjadi pusat pembekalan terbesar Airbus di Asia Tenggara.

Beliau berkata, kerjasama yang terjalin itu adalah bukti komitmen Airbus untuk menyumbangkan kepada usaha negara membangunkan rangkaian nilai aeroangkasa yang mampan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf, berkata sektor aeroangkasa ketika ini menjadi segmen pertumbuhan utama kumpulan di masa hadapan.

Beliau berkata, BHIC akan memperluaskan jaringannya dalam sektor ini dengan memperkukuhkan lagi jangkauan pasaran serta memanfaatkan kemudahan dan kepakaran MRO sedia ada.

“Airbus dan BHIC sudah lama menjadi rakan kerjasama yang menyokong pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia.

“Melalui usahasama MRO helikopter, BHIC Aerospace Services membekalkan perkhidmatan penyelengaraan bagi pengendali helikopter tentera.

“Manakala, kerjasama Airbus Helicopters Malaysia Simulation Centre yang berpangkalan di Subang pula menempatkan satu-satunya simulator latihan bagi helikopter H225 dan H225M di rantau ini, serta simulator kedua bagi latihan helikopter AS365 Dauphin,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon