B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


17,053 syarikat libatkan 1.3 juta pekerja berdaftar dengan PIKAS

17,053 syarikat libatkan 1.3 juta pekerja berdaftar dengan PIKAS

25 Jul 2021

Sebanyak 17,053 syarikat melibatkan kira-kira 1.3 juta pekerja di seluruh negara telah berdaftar di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sehingga semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata daripada jumlah itu, seramai 298,306 pekerja telah menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 manakala 28,596 pekerja telah lengkap menerima dos kedua sehingga semalam.

“Vaksinasi adalah elemen yang sangat penting dalam pemulihan ekonomi negara dan kami berharap inisiatif pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) PIKAS dapat membantu mencapai sasaran vaksinasi penuh di seluruh negara menjelang Oktober.

“Kita juga berharap lebih banyak PPV PIKAS akan dibuka dalam masa terdekat agar proses pemberian vaksin kepada pekerja sektor industri dapat dipercepatkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Common PPV PIKAS di Pusat Konvensyen Bayou di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai lawatan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam. Turut sama dalam lawatan itu Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Lim berkata setakat ini sebanyak 12 Common PPV PIKAS dan 22 ‘on-site’ PPV sedang dan telah tamat menjalankan proses vaksinasi melibatkan warga industri di seluruh negara.

Beliau berkata Common PPV PIKAS berperanan mengendalikan pemberian vaksin melibatkan lebih daripada satu syarikat manakala ‘on-site’ PPV dibuka khas untuk kilang yang mempunyai pekerja lebih daripada 1,000 orang.

“’On-site’ dibuka di kilang berkenaan untuk mengurangkan pergerakan pekerja yang ramai dari satu tempat ke tempat yang lain seperti ke Common PPV dan pembukaan PPV ini akan dipertimbangkan mengikut keperluan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Common PPV PIKAS di Pusat Konvensyen Bayou yang akan dibuka esok ialah yang pertama dibuka bagi kategori itu di Melaka dan PPV berkenaan berupaya menampung kapasiti penerima vaksin sebanyak 1,500 orang sehari.

Katanya jumlah vaksin yang telah diluluskan oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk PPV berkenaan adalah sebanyak 15,000 dos dan pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk penambahan vaksin sebanyak 35,000 dos lagi kepada 50,000 dos vaksin.

“Kita juga mengemukakan satu permohonan pembukaan ‘on-site’ PPV serta dua Common PPV di Melaka dan sedang menunggu tarikh operasi daripada CITF,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon