MalayEnglishDeutsch日本語简体中文한국어
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


FAQ General Accordion

Umum

Bagaimana MIDA membantu pelabur?

MIDA menawarkan bantuan-bantuan berikut kepada para pelabur:

  1. Perundingan dan kerjasama langsung dengan agensi-agensi yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri dalam hal-hal seperti:
    • Menjamin kemudahan infrastruktur, termasuk tanah, lokasi kilang, bekalan elektrik dan air, telekomunikasi dan lain-lain,
    • Mempercepat kelulusan yang berkaitan dengan Pelan Bangunan, Sijil Kelayakan dan Lesen Perniagaan
  2. Untuk memberi panduan dan membantu pelabur dalam mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan untuk projek sehingga ia beroperasi
  3. Untuk memberikan sokongan kepada syarikat yang sedia ada dalam merancang pembesaran, pelbagaian dan pelaburan semula projek mereka yang lain
  4. Untuk memudahkan lawatan dan penilaian lokasi serta infrastruktur rantaian bekalan.

Wakil-wakil kanan daripada agensi kerajaan utama ditempatkan di Ibu Pejabat MIDA di Kuala Lumpur untuk memberikan nasihat kepada pelabur mengenai dasar dan prosedur kerajaan. Wakil-wakil ini termasuk pegawai daripada Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia dan Telekom Malaysia Berhad. MIDA juga bekerjasama rapat dengan pegawai daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Alam Sekitar dan Tenaga Nasional Berhad.

Apakah jenis permohonan yang dinilai oleh MIDA?

MIDA menilai permohonan-permohonan berikut:

  • Lesen Pengilang di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian, 1975
  • Insentif-insentif
  • Pengecualian Duti-duti Kastam

  • Jawatan-jawatan pegawai dagang
  • Status bagi pertubuhan serantau
  • Status bagi syarikat R&D
  • Geran Padanan

Syarikat boleh menyerahkan permohonan mereka dan menjejaki status secara dalam talian di investmalaysia.mida.gov.my

Apakah keperluan ekuiti bagi projek-projek baharu, pembesaran atau pelbagaian?

Mulai 17 Jun 2003, pelabur asing kini dibenarkan memegang 100% ekuiti untuk semua pelaburan dalam projek baru, serta projek pembesaran atau pelbagaian oleh syarikat yang ada dalam sektor perkilangan, tanpa mengira paras eksportnya.

Bagaimana MIDA bertindak sebagai pusat sehenti dalam memudahcara dan membantu pelabur?

Sejak MIDA mula beroperasi pada 1967, MIDA terus memainkan peranan strategik dalam menarik dan memudah cara pelabur dengan usaha niaga mereka di Malaysia. MIDA tersedia di luar negara dan di seluruh Malaysia melalui pejabat global dan serantau sambil bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi utama untuk membantu keperluan pelabur. Wakil-wakil turut ditempatkan di ibu pejabat MIDA di Kuala Lumpur untuk memberikan nasihat kepada pelabur mengenai dasar dan prosedur kerajaan. Wakil-wakil ini termasuk pegawai daripada Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia dan Telekom Malaysia Berhad. MIDA juga bekerjasama rapat dengan pegawai daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Alam Sekitar dan Tenaga Nasional Berhad.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan perniagaan yang disediakan oleh MIDA, sila klik di sini.

Apakah itu Portal InvestMalaysia?

Portal ini merupakan portal permohonan dalam talian dimana syarikat boleh menyerahkan permohonan mereka di sini dan menyemak status permohonan tersebut di Portal InvestMalaysia.

Apakah jenis permohonan yang boleh saya serahkan di Portal InvestMalaysia?

Modul yang tersedia termasuk permohonan lesen pengilang (e-ML), surat pengecualian daripada ML, insentif (e-Insentif), jawatan ekspatriat dan status Pejabat Perwakilan/Pejabat Serantau (RE/RO), Pengecualian Duti Import/Cukai Jualan (JPC) dan Surat Pengesahan MIDA (SPM) serta Jualan Domestik.

Lesen Pengilang

Apakah kriteria untuk memohon lesen pengilang?

Syarikat-syarikat perkilangan dengan dana pemegang-pemegang saham RM2.5 juta ke atas ATAU menggaji 75 atau lebih pekerja-pekerja sepenuh masa boleh memohon Lesen Pengilang.

Berapa lamakah masa diambil untuk meluluskan lesen pengilang?

Berdasarkan Piagam Pelanggan MIDA, Lesen Pengilang akan diluluskan dalam masa tujuh hari (trek pantas) atau empat minggu (trek biasa) mulai tarikh maklumat lengkap diterima.

Bagaimanakah cara untuk menyemak status permohonan syarikat saya?

Semua permohonan yang diterima akan dikeluarkan surat perakuan yang akan menyatakan nama Pegawai / Timbalan Pengarah / Pengarah Bahagian Industri yang berkenaan. Pemohon dinasihatkan untuk menghubungi pegawai masing-masing mengenai status permohonan.

Status permohonan dalam talian juga boleh disemak melalui Portal InvestMalaysia .

Sekiranya syarikat saya dikecualikan dari Lesen Pengilang, apakah dokumen lain yang boleh saya perolehi dari MIDA?

Pemohon boleh mendapatkan ‘Surat Pengesahan untuk Pengecualian daripada Lesen Pengilang’ dengan mengemukakan permohonan melalui http://investmalaysia.mida.gov.my/ dan harus menyerahkan salinan dokumen berikut: –

  • Memorandum dan Artikel Penubuhan/ Profil korporat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
  • Lesen Perniagaan daripadapada PBT (jika ada)
  • Carta Aliran Proses Pengilangan

Bolehkah saya mengemukakan permohonan lesen pengilang secara dalam talian?

Pemohon boleh menyerahkan permohonan mereka melalui Portal InvestMalaysia di http://investmalaysia.mida.gov.my/

Bolehkah saya menyerahkan permohonan saya dalam salinan bercetak?

Semua permohonan untuk Lesen Pengilang dan ICA10 dalam bentuk salinan bercetak tidak lagi diterima kerana permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal InvestMalaysia dihttp://investmalaysia.mida.gov.my/

Insentif Pelaburan

Untuk maklumat terperinci, sila lawati bahagian Memulakan Perniagaan’.

 

Apakah insentif utama bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan?

Terdapat 2 insentif cukai utama bagi sektor-sektor perkilangan dan perkhidmatan:

  • Taraf Perintis (PS) – Pengecualian cukai sebanyak 70% – 100% pendapatan berkanun selama 5 hingga 10 tahun. Elaun-elaun modal yang tidak diserap dan kerugian terkumpul yang ditanggung sepanjang tempoh perintis boleh dibawa ke hadapan dan ditolak daripada pasca taraf perintis syarikat.
  • Elaun Cukai Pelaburan (ITA) – Satu elaun sebanyak 60% – 100% ke atas perbelanjaan modal layak (kilang, loji, jentera atau kelengkapan lain yang digunakan untuk projek diluluskan) yang dilakukan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun dari tarikh pertama perbelanjaan modal layak dilakukan.

Apakah perbezaan antara Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan?

Sebuah syarikat yang diluluskan sijil Taraf Perintis boleh menikmati pengecualian cukai di antara 70% – 100% daripada pendapatan berkanun selama 5 hingga 10 tahun, manakala bagi Elaun Cukai Pelaburan, sebuah syarikat itu boleh menerima elaun-elaun di antara 60% – 100% ke atas perbelanjaan modal layak yang dilakukan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.

Projek-projek yang mengambil masa lama untuk membuat keuntungan dan melibatkan perbelanjaan modal yang besar, lebih bermanfaat memilih Elaun Cukai Pelaburan. Syarikat-syarikat harus meneliti pilihan ini sebelum memohon sama ada Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan.

Bagaimanakah sesebuah syarikat memohon Taraf Perintis/Elaun Cukai Pelaburan?

Pemohon boleh menyerahkan permohonan mereka melalui http://investmalaysia.mida.gov.my/.

Bolehkah saya menyerahkan permohonan saya dalam salinan bercetak?

Penyerahan permohonan dalam bentuk salinan bercetak tidak lagi diterima kecuali untuk permohonan insentif yang berikut:

  • Insentif Cukai Khas di bawah PENJANA
  • Insentif untuk Pengilang Produk Farmaseutikal Termasuk Vaksin
  • Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 50% untuk Penyelidikan dan Pembangunan Dalaman
  • • Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 50% daripada Pelaburan Semula untuk Penyelidikan & Pembangunan Dalaman

Borang boleh dimuat turun di sini .

Sekiranya syarikat saya tidak memiliki Lesen Pengilang, bolehkah saya memohon Taraf Perntis/Elaun Cukai Pelaburan?

Syarikat yang dikecualikan Lesen Pengilang layak memohon Taraf Perintis/Elaun Cukai Pelaburan sekiranya produk/aktiviti byang dijalankan adalah digalakkan dan projek memenuhi kriteria lain yang berkaitan.

Bagaimanakah saya boleh mengesahkan yang produk-produk/aktiviti-aktiviti saya layak memohon insentif-insentif ini?

Anda boleh menyemak senarai aktiviti & produk digalakkan yang boleh didapati (di sini ) atau mengetahui lebih lanjut di bahagian Borang dan Garis Panduan di laman web ini. Anda juga boleh merujuk kepada penerbitan yang berkaitan di sini .

Berapa lamakah masa yang diambil untuk proses permohonan insentif tersebut?

Permohonan insentif akan diproses dan keputusan akan dibuat dalam masa 6 minggu mulai tarikh maklumat lengkap diterima.

Bagaimanakah saya boleh mengetahui status permohonan insentif syarikat saya?

Semua permohonan yang diterima akan mendapat surat perakuan yang menyatakan nama Pegawai/Timbalan Pengarah/Pengarah bagi Bahagian Industri yang berkenaan. Pemohon diminta untuk menghubungi pegawai masing-masing mengenai status permohonan.

 

Status permohonan dalam talian juga boleh disemak melalui Portal InvestMalaysia.

Jawatan Pegawai Dagang

Apakah perbezaannya antara jawatan utama dan jawatan bertempoh?

Jawatan utama ialah jawatan yang boleh dipegang selama-lamanya oleh warganegara asing berdasarkan hak milikan syarikat asing. Itu juga bergantung pada jumlah modal berbayar syarikat dan jenis produk/industri yang terlibat. Kelulusan tertakluk pada jumlah minimum modal berbayar syarikat..


Jawatan bertempoh ialah jawatan yang diluluskan sehingga 3-5 tahun untuk jawatan eksekutif yang memerlukan kelayakan profesional dan pengalaman praktikal, dan 2 tahun untuk jawatan bukan eksekutif yang memerlukan kemahiran dan pengalaman teknikal. Ini tertakluk kepada ketiadaan rakyat Malaysia untuk mengisi jawatan tersebut.


Untuk membolehkan syarikat layak untuk memohon jawatan ini, rakyat Malaysia mesti dilatih untuk akhirnya mengambil alih jawatan tersebut.

Apakah yang harus saya sediakan sebelum menyerahkan permohonan untuk jawatan ekspatriat kepada MIDA?

Berkuat kuasa 1 Januari 2021, mana-mana syarikat yang berhasrat untuk menggaji pegawai ekspatriat dikehendaki mengiklankan kekosongan jawatan sekurang-kurangnya 30 hari di portal MYFutureJobs sebelum menyerahkan permohonan jawatan ekspatriat kepada MIDA. Syarikat tersebut akan diminta untuk menjalankan proses temu duga untuk mencari bakat tempatan. Syarikat itu juga mesti mematuhi garis panduan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

 

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan portal MYFutureJobs sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-22-8000 / 03- 8091 5300 atau e-mel [email protected]

Adakah terdapat sebarang pengecualian pengiklanan jawatan kosong sebelum menyerahkan permohonan jawatan ekspatriat kepada MIDA?

Ya, pengecualian pengiklanan jawatan kosong diberikan kepada kategori berikut:

 

    1. Jawatan penting (“C-Suite” & Jawatan Utama)
    2. Pegawai Dagang dengan pendapatan bulanan RM15,000 dan ke atas
    3. 3. Pejabat Perwakilan / Pejabat Serantau (RE/RO)
      • Ini merujuk pada Pejabat Perwakilan/Pejabat Serantau bagi organisasi/syarikat luar negara dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang ditubuhkan di Malaysia untuk menjalankan aktiviti bagi ibu pejabat syarikat/organisasi. RE/RO tidak terlibat dalam sebarang aktiviti komersial. Untuk pejabat operasi perwakilan/serantau, majikan tidak perlu mendaftar di bawah Akta Syarikat 1965.
      • Surat kelulusan/pengesahan daripada MIDA diperlukan untuk syarikat mengambil ekspatriat bekerja di bawah kategori ini.
    4. Pelabur/Pemegang Saham/Pemilik
      • Ini merujuk kepada pelabur iaitu individu yang melabur dana di Malaysia untuk mencapai pulangan pelaburan dan terlibat secara langsung dalam operasi syarikat.
      • Sementara itu, pemegang saham merujuk kepada individu yang memegang sekurang-kurangnya 30% ekuiti dalam syarikat dan dilantik sebagai Pengarah syarikat dan/atau memegang jawatan berkepentingan dalam syarikat.
    5. Pemindahan Korporat / Penempatan / Perjanjian Perdagangan
      • Ini merujuk kepada ekspatriat yang ditugaskan oleh syarikat induk untuk bekerja di syarikat cawangan di Malaysia atau sekumpulan syarikat bagi tujuan latihan atau perkongsian pengetahuan/pengalaman antara syarikat, dan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja syarikat.

     

    Jawatan mahir khusus tidak secara automatik dikecualikan daripada mengiklankan kekosongan dalam portal MYFutureJobs. Jawatan mahir khusus termasuk kemahiran khusus dan/atau unik serta kecekapan strategik untuk menjalankan tugas yang ditetapkan oleh syarikat.

Apakah proses permohonan pengecualian pengiklanan jawatan kosong?

Syarikat boleh memohon pengecualian pengiklanan dalam portal MYFutureJobs daripada PERKESO dengan melengkapkan Borang PDKK (Pegawai Dagang Mahir Khusus) melalui ( http://bit.ly/PDKKPERKESO). Justifikasi terperinci sebab jawatan itu memerlukan pengecualian khas perlu ditunjukkan dalam borang.

 

Syarikat akan dikecualikan daripada pengiklanan dalam portal MYFutureJobs sekiranya jawatan tersebut diberikan pengecualian oleh PERKESO melalui e-mel: [email protected]. Kemudian, syarikat tersebut boleh terus memohon jawatan dagang kepada Agensi Melulus.

 

Sekiranya jawatan tersebut didapati tidak berada di bawah mahir khusus, syarikat itu akan diminta untuk mengiklankan kekosongan jawatan tersebut di portal MYFutureJobs untuk tempoh minimum 30 hari dan menjalankan proses temu duga untuk mencari bakat tempatan. Syarikat perlu menyerahkan Sijil Jawatankuasa Penggajian Pegawai Dagang (JPPD) daripada PERKESO semasa memohon jawatan ekspatriat kepada Agensi Melulus.

Bagaimanakah untuk memohon lanjutan atau jawatan pegawai dagang tambahan?

Semua permohonan jawatan ekspatriat daripada syarikat baharu dan sedia ada (termasuk syarikat yang tidak melibatkan pengembangan atau pempelbagaian) dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan terpilih* hendaklah dibuat secara dalam talian melalui portal InvestMalaysia https://investmalaysia.mida.gov.my.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk proses permohonan jawatan ekspatriat?

Permohonan jawatan ekspatriat akan diproses dan keputusan akan dibuat dalam masa tiga puluh (30) hari mulai tarikh maklumat lengkap diterima.

Pengecualian Duti

Bagaimana cara untuk syarikat memohon pengecualian duti import dan / atau cukai jualan?

Permohonan pengecualian duti import dan/atau cukai jualan perlu diserahkan secara dalam talian melalui Portal InvestMalaysia (https://investmalaysia.mida.gov.my).

Apakah jenis permohonan yang boleh diserahkan untuk pengecualian duti import dan/atau cukai jualan?

Permohonan pengecualian duti import dan/atau cukai jualan yang melibatkan perkara berikut perlu diserahkan secara dalam talian melalui https://investmalaysia.mida.gov.my:

  • Pengecualian duti import dan / atau cukai jualan pada mesin / peralatan untuk aktiviti terpilih dalam Sektor Pertanian
  • Pengecualian duti import dan / atau cukai jualan ke atas bahan mentah / komponen untuk Sektor Perkilangan
  • Pengecualian duti import dan / atau cukai jualan ke atas mesin, peralatan dan bahan untuk syarikat dalam sektor perkhidmatan terpilih seperti berikut;
    1. Penyelidikan & pembangunan (R&D) 
    2. Institusi pengajian tinggi swasta 
    3. Institusi latihan tinggi swasta (sains, teknikal atau vokasional)
    4. Projek pelancongan (tanpa penginapan)

Permohonan Surat Pengesahan MIDA (SPM) untuk menuntut pengecualian duti import dan / atau cukai jualan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia ke atas mesin / peralatan / alat ganti / alat ganti utama / treler kontena /alatan / komponen / bahan khusus / barangan guna habis khusus untuk perkara berikut::

  • Pengilang dalam Kawasan Utama Kastam (PCA)
  • Syarikat yang terlibat dalam Perniagaan Hotel
  • Pengendali pengangkutan
  • Syarikat Penyelenggaraan, Pembaikan & Baik pulih Aeroangkasa (MRO)

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk menerima keputusan mengenai permohonan pengecualian duti import dan / atau cukai jualan?

Keputusan akan dibuat dalam masa 4 minggu daripada tarikh maklumat lengkap diterima.

Apakah dokumen sokongan yang perlu dilampirkan dalam borang permohonan dalam talian?

Syarikat yang memohon pengecualian harus mengemukakan salinan dokumen berikut:

  • Lesen Pengilang yang dikeluarkan di bawah Akta Penyelarasan Industri 1975 atau Surat Pengesahan untuk syarikat yang dikecualikan daripada Lesen Pengilang di bawah Akta Penyelarasan Industri 1975
  • Kelulusan insentif cukai di bawah Akta Penggalakan Pelaburan, 1986 (PIA) atau Akta Cukai Pendapatan, 1967 (jika berkenaan)
  • Perakuan pendaftaran atau surat pengakuan sekiranya permohonan sijil pendaftaran sedang diproses oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) (jika ada)
  • Profil syarikat (cetakan terkini) yang dihasilkan daripada Perkhidmatan e-Info Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM))
  • Carta alir proses perkilangan
  • Pelan susun atur mesin dan peralatan di premis pengilang yang diluluskan dan untuk menunjukkan di mana mesin dan peralatan akan diletakkan

Apakah prosedur untuk memohon pengecualian duti import dan / atau cukai jualan?

Sila rujuk garis panduan dan prosedur untuk permohonan pengecualian duti import dan/atau cukai jualan di sini.

Bolehkan syarikat perkilangan dalam Kawasan Industri Bebas (FIZ) / Gudang Perkilangan Berlesen (LMW) mengemukakan permohonan bagi pengecualian duti?

Mulai 1 Januari 2011, semua permohonan pengecualian duti oleh syarikat perkilangan dalam Kawasan Perindustrian Bebas (FIZ) / Gudang Perkilangan Berlesen (LMW) untuk penjualan barangan siap mereka ke Kawasan Utama Kastam (PCA) harus diserahkan terus kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia / pejabat kastam terdekat.

Perkhidmatan

Apakah subsektor perkhidmatan yang layak untuk memohon status dan / atau insentif dan / atau permohonan ekspatriat melalui MIDA?

Syarikat yang menjalankan perkhidmatan atau aktiviti terpilih berikut boleh memohon status dan/atau insentif dan/atau ekspatriat:

  • Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan;
  • Hab Prinsipal;
  • Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS);
  • Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS);
  • Pejabat Perwakilan / Pejabat Serantau (RE/RO);
  • Institut Latihan Teknikal/Vokasional/Sains;
  • Projek Hotel/Pelancongan;
  • Mines Wellness City (MWC);
  • Teknologi Hijau;
  • Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta;
  • Kemudahan Rantaian Sejuk; dan
  • Aktiviti Perkhidmatan Lain yang Digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan, 1986 dan Akta Cukai Pendapatan, 1967

Syarikat yang menjalankan perkhidmatan atau aktiviti terpilih berikut boleh memohon produk tambahan dan/atau ekspatriat:

  • Ibu Pejabat Operasi (OHQ) / Pusat Perolehan Antarabangsa (IPC) / Pusat Pengedaran Serantau (RDC);

Untuk maklumat lebih terperinci, sila rujuk buku panduan ‘Malaysia: Pelaburan dalam Sektor Perkhidmatan’ di sini .

Apakah prosedur untuk memohon status dan / atau insentif dan / atau permohonan ekspatriat untuk subsektor perkhidmatan di atas?

Semua permohonan (tidak termasuk Permohonan Penggantian Jawatan Ekspatriat untuk RE/RO dan Borang Penilaian Pematuhan Tahunan untuk PH) harus dibuat secara dalam talian melalui Portal InvestMalaysia ( https://investmalaysia.mida.gov.my).

 

Permohonan Penggantian Jawatan Ekspatriat untuk RE/RO dan Borang Penilaian Pematuhan Tahunan untuk PH harus diserahkan secara manual dalam tiga (3) set menggunakan borang berkaitan kepada:

 

Ketua Pegawai Eksekutif

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

MIDA Sentral

No. 5, Jalan Stesen Sentral 5

Kuala Lumpur Sentral

50470 Kuala Lumpur

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk menerima keputusan permohonan?

Permohonan akan diproses, dan keputusan akan disampaikan kepada pemohon dalam waktu enam minggu daripada tarikh maklumat lengkap diterima.

Permohonan Pasca Insentif

Garis panduan juga boleh didapati di sini.

i. Permohonan Sijil Perintis

Bilakah perlu memohon Sijil Taraf Perintis?

Permohonan Sijil Perintis harus diserahkan kepada MIDA dalam tempoh 24 bulan mulai tarikh surat kelulusan insentif. Selepas menyerahkan permohonan, syarikat pemohon hendaklah memenuhi salah satu syarat berikut:

  • Mencapai sekurang-kurangnya 30% kapasiti pengeluaran terpasang dalam tempoh tiga (3) bulan berturut-turut (terpakai untuk syarikat berasaskan pengeluaran besar-besaran) atau
  • Memiliki invois jualan pertama bagi produk yang diluluskan (terpakai untuk syarikat berasaskan pesanan yang disesuaikan)

Bagaimana cara memohon Sijil Taraf Perintis?

Permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui https://investmalaysia.mida.gov.my

Bagaimanakah MIDA menentukan Tarikh Pengeluaran untuk Sijil Perintis?

Tarikh Pengeluaran untuk Sijil Perintis akan ditentukan berdasarkan perkara berikut:

  • Untuk syarikat berasaskan pengeluaran besar-besaran
    Berdasarkan tarikh pertama dalam bulan ketika syarikat mencapai minimum 30% kapasiti pengeluaran terpasang dalam tempoh tiga (3) bulan berturut-turut.
  • Untuk syarikat berasaskan pesanan yang disesuaikan
    Berdasarkan tarikh invois penjualan pertama syarikat.

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk memproses permohonan Sijil Perintis?

Permohonan Sijil Perantis akan diproses dalam masa 30 hari setelah penerimaan permohonan yang lengkap daripada syarikat.

Adakah syarikat dibenarkan untuk melanjutkan permohonan Sijil Perintis sekiranya mereka tidak dapat memenuhi syarat tersebut?

Syarikat boleh memohon untuk mendapatkan lanjutan bagi mendapatkan Sijil Perintis kepada MIDA dalam tempoh 24 bulan daripada tarikh surat kelulusan insentif, dengan memberikan justifikasi dan alasan yang kukuh. Permohonan pelanjutan akan dinilai berdasarkan merit setiap kes.

Bagaimana jika syarikat gagal mengemukakan permohonan Sijil Perintis dalam jangka waktu yang ditentukan dalam surat kelulusan insentif?

MIDA akan memulakan proses penarikan insentif. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Pematuhan Pelaburan (di sini).

ii. Permohonan Bagi Penentuan Tarikh Berkuatkuasa Elaun Cukai Pelaburan

Bilakah perlu untuk memohon Penentuan Tarikh Berkuatkuasa bagi Elaun Cukai Pelaburan?

Permohonan hendaklah diserahkan kepada MIDA dalam masa 24 bulan mulai tarikh surat kelulusan insentif melalui https://investmalaysia.mida.gov.my.

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk memproses permohonan Penentuan Tarikh Berkuatkuasa Elaun Cukai Pelaburan?

Permohonan akan diproses dalam masa 30 hari setelah penerimaan permohonan yang lengkap daripada syarikat.

iii. Permohonan Pengesahan Pematuhan Elaun Cukai Pelaburan

Bilakah saya perlu memohon ‘Pengesahan Pematuhan bagi Elaun Cukai Pelaburan’?

Permohonan hendaklah diserahkan kepada MIDA dalam tempoh insentif berkesan. Syarikat perlu mendapatkan kelulusan untuk Pengesahan Pematuhan kepada Elaun Cukai Pelaburan sebelum membuat tuntutan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui https://investmalaysia.mida.gov.my.

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk memproses permohonan Pengesahan Pematuhan bagi Elaun Cukai Pelaburan?

Permohonan akan diproses dalam masa 30 hari selepas penerimaan permohonan yang lengkap daripada syarikat.

Permohonan Pasca Perlesenan

Bagaimanakah cara untuk membuat pindaan atau perubahan pada Lesen Pengilang saya?

Syarikat yang perlu membuat sebarang pindaan/perubahan pada Lesen Pengilang mereka (seperti pertukaran nama syarikat, pindaan alamat kilang, pertukaran lokasi kilang, salinan dan penggabungan Lesen Pengilang dll.) boleh menyerahkan permohonan pasca pelesenan mereka melalui https://investmalaysia.mida.gov.my.

Bagaimanakah cara untuk mengemas kini atau mengecualikan syarat Lesen Pengilang saya?

Syarikat yang perlu mengemas kini syarat Lesen Pengilang / untuk mengecualikan beberapa syarat (seperti syarat ekuiti dan eksport) boleh menyerahkan permohonan mereka melalui https://investmalaysia.mida.gov.my.

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk memproses permohonan Pasca Perlesenan?

Permohonan akan diproses dalam masa 30 hari selepas penerimaan permohonan yang lengkap daripada syarikat.

Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC)

Invest Malaysia Facilitation Centre

Bilakah penubuhan IMFC?

1 Disember 2023.

Apakah IMFC?

Penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) adalah penambahbaikan kepada pusat khidmat nasihat sedia ada di MIDA, dengan objektif utama untuk mempercepatkan proses pelbagai kelulusan.

Apakah fungsi IMFC?

Fungsi utama IMFC adalah untuk menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan kepada komuniti perniagaan dan pelabur.

Who are the members of IMFC?

IMFC diwakili oleh

  • Kementerian Luar Negeri
  • Kementerian Pengangkutan
  • Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
  • Jabatan Imigresen Malaysia
  • Jabatan Kastam Diraja Malaysia
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Telekom Malaysia)
  • Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia
  • Tenaga Nasional Berhad
  • Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Bagaimanakah cara saya menetapkan temu janji dengan ahli IMFC?

Pejabat IMFC terletak di Tingkat 16, MIDA Sentral, KL Sentral. Wakil IMFC boleh dihubungi melalui senarai Wakil IMFC di MIDA.

Adakah IMFC dapat memudahkan urusan selain daripada perkara berkaitan perniagaan?

Peranan IMFC adalah untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan komuniti perniagaan dan perjalanan pelabur dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terpilih.

wpChatIcon