B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


TNB komited sokong usaha kerajaan bina semula ekonomi

TNB komited sokong usaha kerajaan bina semula ekonomi

10 Mei 2021

Tenaga Nasional Bhd (TNB) kekal teguh dalam usahanya meneruskan pelaburan terhadap peralihan tenaga bagi menyokong usaha kerajaan membina semula ekonomi yang terkesan akibat COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata langkah yang dilaksanakan kerajaan serta pelancaran program vaksinasi telah memberi satu petanda optimis bahawa ekonomi negara akan kembali rancak berbanding tahun lalu, seterusnya meningkatkan permintaan terhadap bekalan elektrik.

“TNB juga menyasarkan untuk mempertingkatkan kecekapan industri dan menambah baik pengalaman pelanggan. Dalam masa yang sama mempromosikan penggunaan tenaga mampan untuk mengimbangi kemampuan dan keselamatan sistem grid,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-31 TNB di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din

AGM ke-31 TNB dianjurkan secara dalam talian bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pemegang saham terjamin berikutan COVID-19.

Mahdzir berkata, 2020 menjadi antara tahun paling mencabar sejak krisis ekonomi pada 2008.

Beliau berkata, sejajar dengan penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK), permintaan dan jualan elektrik di Semenanjung Malaysia turut menyusut tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, prestasi kumpulan kekal kukuh untuk memenuhi polisi pembayaran dividen antara 30 peratus hingga 60 peratus berdasarkan Pelarasan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI).

“TNB telah membuktikan kecekalannya yang bertunjangkan etos perkhidmatan dan khidmat kepada negara. Dalam tempoh yang mencabar dan luar biasa ini, keutamaan kami bertumpu kepada memberikan khidmat kepada negara dan rakyat, di samping menjaga keselamatan dan kesejahteraan warga kerja kami.

Selain pemberian dividen 22 sen sesaham, Lembaga Pengarah juga meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 18 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 40 sen sesaham.

Ini menjadikan jumlah dividen sebanyak 80 sen sesaham, dengan jumlah bayaran RM4.56 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Baharin berkata, meskipun berdepan dengan cabaran getir pada tahun 2020, TNB terus menyampaikan perkhidmatan terbaik, memberi pulangan kepada pemegang saham dan berkhidmat kepada negara.

“Meskipun berdepan dengan cabaran, prestasi kami boleh dibanggakan. Ia didukung strategi tangkas yang kritikal ketika pandemik bagi membolehkan kami menyediakan bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap, dengan cara yang lestari untuk persekitaran dan pada kos yang berpatutan kepada semua pemegang taruh. Ini akan menjadi fokus kami selepas ini.

“Prestasi kami tahun ini adalah yang terbaik setakat ini. Untuk mencapainya ketika pendemik melanda mencerminkan komitmen dan dedikasi warga kerja kami,” katanya.

Beliau berkata, sebagai syarikat yang mengutamakan kepentingan pemegang taruh, amat kritikal bagi TNB untuk kekal berdaya tahan dari segi kewangan dan teknikal berdasarkan percaturan strategi yang mantap.

“Tahun 2020 adalah titik pertengahan perjalanan strategik Reimagining TNB (2016-2025). Dengan pertumbuhan pesat peralihan tenaga global, kami mengkaji bagaimana TNB mampu memperkukuh kedudukannya dalam lapangan tenaga masa hadapan dan seterusnya mengatur semula strategi kami.

“Sejajar dengan aspirasi yang diperbaharui ini, pencapaian kami setakat ini membuktikan komitmen kami untuk menjadi pembekal terunggul penyelesaian tenaga mampan,” katanya.

TNB menutup tahun kewangan 2020 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.6 bilion berbanding RM4.45 bilion tahun sebelumnya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon