B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Tiada kompromi kilang tak patuh peraturan

Tiada kompromi kilang tak patuh peraturan

07 Jun 2021

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak akan berkompromi dengan mana-mana kilang yang membuat peraturan sendiri sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.

MITI berkata, kementerian berkenaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau dan membuat lawatan mengejut.

Hasil semakan Pasukan Petugas Khas COVID-19 MITI hari ini di Shah Alam mendapati ada sebuah kilang beroperasi ketika PKP 3.0 walaupun tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu.

“Kilang Suzuki Latex Industry Malaysia Sdn Bhd yang mengeluarkan `finger sleeve’ telah mengubah sub-sektornya kepada Elektrik & Elektronik, namun pihak MITI berjaya mengesan pemalsuan pendaftaran apabila tiba di tempat kejadian,” katanya apabila ditanya mengenai lawatan mengejut hari ini.

Akibatnya, kilang itu telah menerima tawaran kompaun RM50,000 dan diarahkan tutup selama 14 hari.

Lawatan hari ini diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang dibuat ke atas kilang di Klang dan Shah Alam berdasarkan aduan orang awam tentang ketidakpatuhan SOP.

“Tawaran kompaun maksimum dan notis penutupan premis serta-merta diberikan kepada kilang,” katanya.

Syarikat Barry Callebaut Malaysia Sdn Bhd pula dikenakan tawaran kompaun sebanyak RM10,000 selepas pekerjanya tidak menggunakan aplikasi MySejahtera ketika masuk bekerja.

“Tiga pengawal keselamatan dan seorang pembekal syarikat juga didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera. Tawaran kompaun itu telah diterima oleh wakil syarikat berkenaan,” katanya.

Syarikat Wistron Technology (M) Sdn Bhd di Klang, Selangor yang dibuka pada 3 Jun 2021 selepas diarahkan tutup sebelum ini berjaya mematuhi SOP sepenuhnya.  

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X