B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Terengganu rekod pelaburan RM2.3 bilion daripada 2017-Jun 2022 – MIDA

Terengganu rekod pelaburan RM2.3 bilion daripada 2017-Jun 2022 – MIDA

25 Ogo 2022

Terengganu merekodkan pelaburan berjumlah RM2.3 bilion dengan 29 projek pembuatan diluluskan dari 2017 hingga Jun 2022, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sivasuriyamoorthy Sundara Raja. 

Beliau berkata lebih separuh daripada pelaburan ini adalah daripada sumber asing, yang merekodkan sejumlah RM1.27 bilion. 

“Projek ini telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan lebih 1,727 peluang pekerjaan, terutamanya dalam segmen produk petroleum (termasuk petrokimia), kimia dan produk kimia, produk galian bulan logam, kayu dan produk kayu serta mesin dan peralatan. 

“Selain itu, dari Januari hingga Mac 2022, pelaburan bernilai RM7.2 juta diluluskan, dalam industri pembuatan makanan dan kayu dan produk kayu,” katanya dalam ucapan alu-aluan beliau pada majlis MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential – A Briefing by Invest Terengganu di sini, hari ini. 

Sivasuriyamoorthy berkata MIDA gembira melihat syarikat-syarikat utama memanfaatkan prasarana dan rangkaian perkhidmatan sokongan Terengganu yang mantap. 

Beliau berkata antara syarikat tersebut adalah JXR Manufacturing Sdn Bhd, CJ Bio Malaysia Sdn Bhd, Kemaman Bitumen Company Sdn Bhd, Arkema Thiochemicals Sdn Bhd, Encompass Industries Sdn Bhd dan Eastern Steel Sdn Bhd.

“Syarikat ini menjanjikan banyak peluang dan kerjasama bagi perniagaan tempatan kita. 

“MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat dan perniagaan untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi meningkatkan peluang pertumbuhan,” katanya.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa negeri Terengganu bagi perdagangan, industri, pembangunan wilayah dan kesejahteraan pentadbiran Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata Terengganu mencapai kemajuan yang besar baru-baru ini dengan pembukaan Taman BioPlimer Kerteh, hab bioekonomi bagi kimia khas yang terletak di kawasan seluas lebih 140 hektar dengan kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 telah diisi sepenuhnya. 

Beliau berkata fasa ketiga taman itu dibuka tahun lepas untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada pelabur. 

“Setakat ini, jumlah pelaburan terkumpul di Taman BioPolimer Kerteh meningkat kepada RM5.6 bllion, dengan lebih daripada 5,000 peluang pekerjaan diwujudkan bagi rakyat Terengganu.

“Terengganu komited untuk menambah baik pertumbuhan ekonomi dengan menambah lebih banyak taman perindustrian daripada 25 kawasan perindustrian ketika ini yang merangkumi sejumlah 4,158.26 hektar termasuk Taman Perindustrian Kerteh Terengganu, Taman Perindustrian Pulau Kerengga dan Terengganu Silica Valley,” katanya. 

Tengku Hassan berkata ini merupakan satu lagi langkah ke arah memastikan terdapat prospek yang baik bukan hanya untuk masa sekarang  tetapi juga pada masa depan di Terengganu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon