B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Stellantis ambil alih sepenuhnya kilang Naza di Gurun, Kedah

Stellantis ambil alih sepenuhnya kilang Naza di Gurun, Kedah

01 Nov 2021

Pengeluar kereta Stellantis, yang membina jenama kereta seperti Peugeot, telah mengambil alih keseluruhan syarikat NAZA Automotive Manufacturing Sdn. Bhd. dan kilang pengeluarannya di Gurun, Kedah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Stellantis mengumumkan syarikat itu telah mengambil alih sepenuhnya kilang Naza pada 28 Oktober lalu, yang sebelum ini dilaksanakan secara usaha sama dengan Naza Corporation.

Tidak dinyatakan nilai kos pengambilalihan tersebut tetapi berdasarkan rekod, kos pembinaan kilang di Gurun, Kedah itu menelan belanja RM700 juta sebelum memulakan operasi pada 2004.

Menurut Stellantis, lebih 170 kakitangan kilang tersebut telah kembali bertugas (setelah ditutup ketika perintah kawalan pergerakan) dan syarikat tersebut berurusan dengan lebih 50 pembekal tempatan Ketika pengeluaran meningkat bagi suku terakhir tahun ini.

Penyempurnaan pengambilalihan itu juga menandakan pencapaian besar bagi Stellantis di Asia Tenggara, dengan rancangan untuk melabur dan menambah keluasannya sebagai sebahagian daripada strategi tempatannya yang pesat.

Naib Presiden Kanan, Pengedar Am & ASEAN di Stellantis, Christophe Musy berkata, syarikat itu cukup komited untuk meningkatkan kehadirannya di ASEAN dan pengambilalihan kilang di Gurun itu adalah langkah yang sangat penting ke arah meneguhkan operasi, output pengeluaran dan tenaga manusia di rantau ini.

“Kami ada strategi pertumbuhan yang akan membolehkan kami membina daripada output sedia ada kami di Gurun, selain meluaskan jenama dan model di dalam portfolio Stellanti yang dibina di ASEAN untuk ASEAN. Ini tentunya perancangan yang cukup menarik,” katanya.

Pengeluaran kilang di Gurun itu, kata Stellantis, bermula semula dengan pelancaran model disegarkan semula Peugeot 3008 dan 5008 yang diperkenalkan ke seluruh rantau ini, setelah meraih kejayaan di Eropah.

Di samping itu, model Peugeot 2008 juga akan mula dipasang bulan ini di Gurun, membawakan model SUV kompak mewah ke pasaran ASEAN.

Musy berkata, pihaknya adalah fokus di dalam misi untuk menjadi pengeluar berkelas dunia di Gurun bagi membina kenderaan berkualiti tinggi yang dibina di Malaysia untuk Asia Tenggara.

“Ini termasuk model yang menerima pengiktirafan antarabangsa, 3008 dan 5008 serta Peugeot 2008 baharu, dan ketiga-tiga model ini akan menjadi penawaran hebat jenama Peugeot di rantau ini,’’ kata beliau.

Kini ujar beliau, kilang itu bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi bagi meningkatkan kapasiti kilang ke paras hampir 40% bagi memenuhi permintaan, dan ini digabungkan dengan pelan produk kami yang kuat dan kesungguhan untuk mencapai piawaian tertinggi dari segi kualiti dan keselamatan telah menetapkan kami bagi kejayaan besar di Malaysia.

Sumber: DagangNews

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X