B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


SilTerra labur RM645 juta tingkat kapasiti tahunan

SilTerra labur RM645 juta tingkat kapasiti tahunan

24 Jan 2022

SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra), syarikat semikonduktor Malaysia melabur RM645 juta dalam pelan pengembangan yang akan meningkatkan kapasiti tahunannya sebanyak 20 peratus.

Pelaburan yang dijana daripada suntikan modal oleh pemegang saham dan dana dalaman itu akan meningkatkan kapasiti tahunan SilTerra daripada 8.3 juta lapisan pelitup pada akhir Julai 2021 kepada 10 juta lapisan pelitup.

Kapasiti tambahan itu dijangka siap untuk pengeluaran seawal 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) yang juga Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata pelaburan itu adalah komitmen berterusan oleh pemegang saham untuk melengkapkan syarikat dengan keupayaan pembuatan terbaik dalam kelasnya dan mengembangkan kapasiti pengeluaran bagi mencapai skala ekonomi yang lebih baik, dengan kos pembuatan yang lebih rendah.

Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan setakat ini untuk mengubah SilTerra menjadi syarikat teknologi untung dan berdaya tahan telah membuahkan hasil memberangsangkan.

Katanya, dalam tempoh enam bulan yang lalu, proses penambahbaikan menghasilkan peningkatan produktiviti dan kecekapan.

“Hasilnya, SilTerra kini adalah entiti yang menguntungkan dan bersedia untuk berkembang lebih jauh memandangkan permintaan kukuh berterusan untuk semikonduktor dan kekangan kapasiti semasa dalam industri disebabkan oleh permintaan tinggi terhadap kenderaan elektrik, Internet Kebendaan (IOT), pusat data dan perdagangan elektronik.

“Permintaan ini amat relevan terutama untuk faundri khusus 200 milimeter yang mana SilTerra ada. Oleh itu, adalah bijak untuk kami meneruskan program pelaburan jangka panjang SilTerra bagi menampung permintaan yang meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Zainal Abidin berkata, sokongan daripada pelanggan SilTerra juga sangat kukuh.

Beliau berkata, perjanjian jangka panjang (LTA) yang ditandatangani baru-baru ini dengan ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd dan ILI Technology Corp yang berpangkalan di Taiwan akan menyediakan perniagaan yang stabil untuk SilTerra sekiranya kemerosotan pasaran berlaku.

Selain perniagaan yang akan dibawa oleh LTA itu, SilTerra komited untuk bekerjasama dengan pelanggannya untuk meningkatkan kerjasama teknologi ke arah yang lebih baik bagi mengukuhkan dan mengoptimumkan pelan hala tuju produk dan teknologi dalam kalangan rakan kongsi, katanya.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan pelan hala tuju perniagaan kami berkembang dengan baik. Di samping tinjauan positif berterusan industri semikonduktor dan pelaburan kami, kami percaya masih ada ruang yang cukup untuk SilTerra menyampaikan keputusan yang lebih utuh pada masa hadapan,” katanya.

SilTerra adalah pelaburan strategik DNeX dan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) atau CGP Fund.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon