B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


SAP 2021 tumpu lima teras untuk pulih ekonomi Selangor

SAP 2021 tumpu lima teras untuk pulih ekonomi Selangor

27 Jul 2021

Program Pemecut Selangor (SAP) 2021 iaitu inisiatif untuk syarikat pemula niaga yang dibiayai oleh kerajaan negeri, menumpukan lima teras utama bagi tahun ini dalam usaha memulihkan ekonomi Selangor susulan impak pandemik COVID-19.

Lima teras itu adalah agriteknologi, teknologi kewangan (fintech), teknologi hijau, e-dagang dan penyelesaian bandar pintar merangkumi teknologi hartanah, mudah alih dan logistik.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil & Sederhana (IKS) Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata program SAP itu dikendalikan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).

Menurutnya, syarikat-syarikat yang masih menjalankan perniagaan dalam kaedah lama terbukti terjejas akibat sekatan pergerakan susulan pandemik itu berbanding syarikat yang menumpukan lima teras tersebut.

“Penyelesaian e-dagang, fintech dan bandar pintar misalnya amat relevan dengan persekitaran pandemik ketika ini dalam usaha memastikan perniagaan dapat terus beroperasi sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Selangor sememangnya memberi tumpuan terhadap usaha pemulihan eokonomi menerusi pendigitalan, penerimagunaan teknologi dalam operasi perniagaan dan memastikan keselamatan makanan. Atas alasan itu, SAP tahun ini menumpukan  lima aspek terbabit,”  katanya ketika berucap pada majlis perasmian SAP 2021 secara dalam talian di sini, pada Selasa.

Teng berkata, sebanyak 30 syarikat pemula niaga telah dipilih daripada 165 permohonan program SAP bagi tahun ini.

Menurutnya, daripada 30 syarikat itu hanya 10 akan mendapat ganjaran tambahan manakala lima syarikat di kedudukan teratas akan meraih hadiah wang tunai bernilai RM50,000 dan habuan lain.

“Mereka juga berpeluang mendapat pelaburan daripada RHL Ventures, Agrobank dan The Hive,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri Selangor akan terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi inisiatif usaha geran padanan pendigitalan PKS Selangor bagi membantu lebih banyak PKS memulakan langkah digital dalam perniagaan.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 1,000 PKS Selangor dengan geran permulaan bernilai RM5 juta. PKS boleh mula membuat permohonan bagi kumpulan kedua pada 1 Ogos, 2021 hingga 31 Oktober, 2021.

“Bagi kumpulan pertama, kita berjaya menyalurkan sejumlah RM1.2 juta kepada 280 PKS daripada 492 permohonan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon