B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RMHTC bakal perkukuh kerjasama Rusia-Malaysia, jadi papan loncatan ke pasaran ASEAN

RMHTC bakal perkukuh kerjasama Rusia-Malaysia, jadi papan loncatan ke pasaran ASEAN

27 Dis 2020

Teknologi memainkan peranan penting dalam membangunkan negara dari segi ekonomi dan sosial. Ia berfungsi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kekuatan sosial dengan meningkatkan paras pendapatan. 

Menurut Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) industri teknologi tinggi Malaysia menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara menyumbang US$90.3 bilion daripada eksport pada 2018, terutamanya daripada eksport pembuatan yang berjumlah 52.8 peratus. 

Selain itu, Malaysia juga mencapai pertumbuhan dua angka dalam eksport teknologi tinggi sejak dua tahun lepas dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 17.2 peratus pada 2017 dan 22 peratus pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif ITRAMAS Corporation Sdn Bhd Lee Choo Boo berkata penggunaan teknologi tinggi merupakan suatu yang penting dan membuka peluang untuk membawa negara ke tahap seterusnya mencapai tahap negara berpendapatan tinggi serta memiliki pekerja berkemahiran dan berpengetahuan tinggi. 

“Kita melihat peluang untuk membawa Malaysia ke tahap seterusnya…kita perlu membezakan kita dari negara-negara lain di rantau ini dan saya fikir kita perlu mempercepat bukan sahaja penerimaan pakai teknologi kita tetapi juga mencipta teknologi dan produk baharu.

“Sebagai contoh, kita tidak boleh bergantung kepada sektor ekonomi konvensional atau asas. Sudah tentunya, kita berkembang menerusi pembangunan prasarana namun dunia kini telah mula melaksanakan revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0), teknologi hijau, 5G dan teknologi canggih lain, jadi saya rasa kini adalah masa yang sesuai bagi Malaysia untuk bergerak kehadapan dalam bidang teknologi tinggi,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini. 

ITRAMAS merupakan syarikat kejuruteraan utama di Malaysia dalam teknologi hijau dan kerja awam dan berpengalaman melaksanakan projek berskala besar dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, pembuatan elektronik dan penyelesaian bandar pintar.

Lee berkata dengan ancaman pandemik COVID-19 ketika ini, industri teknologi tinggi terutamanya teknologi digital menjadi semakin penting bagi menyokong dasar penjarakan sosial. 

“Bukan hanya untuk krisis, tetapi saya fikir teknologi tinggi adalah suatu yang kritikal dalam tempoh 10 tahun akan datang. Jadi sudah sampai masanya bagi kita untuk memulakan pembangunan dan proses.

“Sebagai contoh bekerjasama dengan Rusia, yang merupakan pemain teknologi tinggi sedang berkembang pesat untuk menubuhkan Pusat Teknologi Tinggi Rusia-Malaysia (RMHTC), akan membantu mempercepat penggunaan teknologi canggih di Malaysia dan mentransformasikan negara menjadi sebuah negara berteknologi tinggi,” katanya.

RMHTC, yang disasar menjadi hab teknologi tinggi Rusia di ASEAN akan menjadi pemecut bagi kerjasama Rusia-Malaysia dalam keusahawanan dan pendidikan dengan menggunakan Malaysia sebagai papan loncatan untuk meneroka pasaran lain di ASEAN.

Penubuhan RMHTC 

Pusat itu dilancarkan secara maya di Moscow, kira-kira sebulan lepas dengan permeteraian perjanjian secara rasmi antara tiga pemegang kepentingan iaitu ITRAMAS, penyedia teknologi maklumat (IT)  dan penyelesaian semikonduktor berpangkalan di Rusia Tronic JSJ dan pertubuhan bukan keuntungan teknologi tinggi utama Rusia, Technological Sovereignty Exports Association (ASSETS).

“Objektit pusat itu adalah untuk mempermudah usaha kerjasama antara institusi pendidikan Malaysia dan Rusia dan juga syarikat berteknologi tinggi kedua-dua negara bagi membangunkan produk menggunakan teknologi Rusia atau apa juga yang kita bangunkan selama bertahun-tahun ini serta produk yang akan digunakan di ASEAN dan untuk dieksport,” katanya.

Wakil Perdagangan Persekutuan Rusia di Malaysia Dr Nikita Ponomarenko berkata pihak berkuasa kerajaan sentiasa menyokong inisiatif yang akan memberi manfaat kepada negara itu dan syarikat Rusia. 

Beliau berkata keputusan untuk mewujudkan RMHTC di Cyberjaya, Malaysia itu dibuat pada Oktober tahun lepas semasa mesyuarat antara kerajaan bersama pertama Suruhanjaya Rusia-Malaysia mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya. 

“Ia berdasarkan kepada cadangan daripada ASSETS untuk mewujudkan pusat bagi meningkatkan kerjasama perniagaan kepada perniagaan (B2B) antara kedua-dua negara.

“Kami menyokong pembangunan pusat itu dengan menumpukan kepada teknologi canggih dan menjanjikan prospek yang baik dan pada masa ini sedang berusaha mendapatkan syarikat baharu (dalam sektor perindustrian) untuk menyertainya,” katanya. 

Ponomarenko berkata antara teknologi yang terlibat adalah pengeluaran digital canggih, Internet Pelbagai Benda (IoT) industri, robotik, analisis daya raya, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, sistem pendaftaran agihan dan realiti luasan maya (VAR).   

“Kami juga merancang menjalin perkongsian teknologi dalam bidang pencetakan 3D dan dron aerial yang dijangka mendapat permintaan tinggi pada masa depan. 

“Kami percaya program pembangunan strategik di Malaysia seperti Industri 4.0 dan program Rangka Kerja Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE) akan menyokong pusat itu ke arah menjadi hab teknologi di rantau ASEAN,” katanya.

RMHTC dibiayai secara persendirian oleh ITRAMAS dan Tronic dan disokong oleh Pejabat Wakil Perdagangan Rusia di Malaysia dan ASSETS.

Ponomarenko berkata antara ciri-ciri positif yang memberi prospek baik bagi Malaysia untuk menjadi hab teknologi di ASEAN adalah statusnya sebagai antara negara paling maju di rantau itu, lokasi geografi strategik, sokongan kerajaan dalam teknologi tinggi dan tenaga kerja mahir.

“Idea penubuhan pusat itu adalah untuk mencipta produk di sini bagi pasaran ASEAN, dan produk yang dikeluarkan di sini juga bukan hanya untuk pasaran Rusia tetapi juga seluruh dunia,”katanya.

Projek-Projek Utama

Lee berkata dua projek utama telah dikenal pasti iaitu teknologi solar dan perubatan. 

 “Kami akan menambah lebih banyak bidang kerjasama lagi kemudian nanti, mungkin akan mengambil masa dua hingga tahun tahun. Kami boleh menggunakan teknologi sedia ada dari Rusia dan menggabungkannya dengan apa juga yang kami ada bagi pengkomersialan dan pembangunan tahap seterusnya poduk,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi ITRAMAS International Sdn Bhd Datuk Loo Took Gee berkata kerjasama dengan Rusia merupakan suatu yang sangat dialu-alukan.

“Kerajaan Malaysia atau di tahap ASEAN, kita menjalin kerjasama dengan banyak blok di dunia, sebagai contoh dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat (AS), ASEAN-AS, ASEAN+3 dengan China, Jepun dan Korea dan ASEAN-Rusia. 

“Sebelum ini, saya menyedari bahawa tidak banyak kerjasama antara Malaysia dan Rusia. Salah satu sebab kemungkinan pemasaran atau masalah bahasa. Tetapi kami yakin kini dengan Dr Nikita menerajui agenda  ini kami akan dapat meningkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Rusia,” katanya. 

“Jadi, pada masa depan, kami akan mengenal pasti lebih banyak bidang kerjasama dengan Rusia. Kemungkinan, kami tidak hanya akan menumpu kepada hanya mengimport elemen asas dari Rusia seperti arang batu. Sudah tentunya, ini merupakan pasaran menarik bagi Rusia kerana kita mempunyai banyak loji berkuasa arang batu di Malaysia, tetapi dari segi teknologi, jadi kita boleh bergerak kehadapan dengan penubuhan RMHTC,” katanya.

Loo berharap pusat itu akan menjadi satu kisah kejayaan dalam sejarah kerjasama Malaysia-Rusia dalam perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam bidang teknologi tinggi. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon