B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nokia komited bantu syarikat Malaysia transformasi digital

Nokia komited bantu syarikat Malaysia transformasi digital

10 Mac 2023

Nokia, peneraju teknologi merentasi rangkaian mudah alih, tetap dan awan kekal komited untuk menyokong perusahaan di Malaysia dalam perjalanan transformasi digital mereka dan memajukan pelan hala tuju Industri 4.0 negara sepanjang 2023.

Pengarah Urusan Nokia Malaysia, Sri Lanka dan Maldives, Datuk Mohd Rauf Nasir, berkata Malaysia adalah pasaran yang sangat penting kepada Nokia, dan kumpulan itu akan terus menumpukan usaha untuk membantu penyedia perkhidmatan komunikasi (CSP) dan perusahaan sepanjang perjalanan transformasi 5G dan Industri 4.0.

Beliau menekankan bahawa Wawasan Teknologi Nokia 2030 telah menggariskan peluang dalam industri telekomunikasi rantau ini, berpusat di sekitar pengguna, perusahaan dan ‘metaverse’ dalam industri.

“Walaupun visi ini untuk masa hadapan, kami percaya bahawa dunia kita akan berubah secara drastik dengan garis antara dunia digital dan fizikal tidak banyak perbezaan, serta kecerdasan akan terselit dalam semua aspek kehidupan.

“Kami akan terus menyokong pelanggan perusahaan kami dengan menghubungkan mereka kepada jalur lebar, aplikasi dan penyelesaian misi penting diperlukan untuk membawa ketersambungan atas permintaan, komunikasi dan perkhidmatan awan ke mana-mana tapak perusahaan,” katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif, baru-baru ini.

Menurut Mohd Rauf, Nokia juga akan menggunakan strategi yang sama di seluruh Asia Tenggara kerana ia bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan perusahaan di rantau ini.

Beliau berkata, terdapat banyak peluang menarik untuk pendigitalan di Asia Tenggara, khususnya dalam industri seperti kilang masa depan, tenaga, pelabuhan, dan pembuatan pintar.

“Memanfaatkan kedudukan kukuh kami dalam 5G, rangkaian wayarles persendirian gred industri, infrastruktur rangkaian dan penyelesaian teknologi perusahaan, Nokia akan terus bekerjasama dengan CSP, rakan kongsi dan pelanggan perusahaan untuk membina ekosistem yang menyokong penggunaan industri 5G dan Industri 4.0,” katanya.

Baru-baru ini, Nokia melancarkan logo baharunya yang bertujuan untuk mencipta pendekatan yang lebih dinamik kepada jenama itu, dan untuk menandakan anjakan dalam strategi dan fokus.

Melangkah ke hadapan, Mohd Rauf menyatakan bahawa Nokia mempunyai komitmen yang berterusan terhadap inovasi dan penyelesaiannya telah membolehkan pelanggan menggunakan teknologi transformatif dan inovatif yang membuka jalan ke era 6G dan ‘metaverse’.

“Dekad seterusnya akan menyaksikan evolusi ke arah 5G-Termaju dan 6G untuk mengupayakan jalur lebar yang jauh lebih tinggi dan kelajuan data yang sangat pantas, serta kependaman yang sangat rendah, membina platform untuk realiti yang benar-benar mengasyikkan yang dijanjikan oleh ‘metaverse’.

“5G-Termaju juga akan membuka peluang untuk pertumbuhan bahagian pasaran yang didorong oleh pemodenan, peluang baharu dan pertumbuhan perusahaan,” katanya.

Memandangkan dunia juga semakin terhubung dan peranan rangkaian dalam menyelesaikan cabaran global semakin berkembang, Nokia juga berhasrat untuk menjadi peneraju dalam penyelesaian kecekapan tenaga.

“Kami mempunyai sasaran iklim jangka panjang, dibahagikan kepada pelepasan Skop 1, 2, dan 3, dan telah mencipta pelan hala tuju penyahkarbonan keseluruhan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan kuasa,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon