B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA giat usaha hasilkan bakat tempatan

MIDA giat usaha hasilkan bakat tempatan

22 Ogo 2023

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini sedang mempergiatkan inisiatifnya untuk meningkatkan pembangunan bakat tempatan bagi menyokong keperluan industri, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, berkata susulan hasrat negara untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dalam dekad akan datang, adalah penting untuk mempunyai kumpulan bakat yang sihat dan tersedia, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa dan peranti perubatan.

Beliau berkata, MIDA sebagai agensi penggalakan pelaburan utama kerajaan Malaysia, juga giat terbabit dengan beberapa pihak berkepentingan untuk memudahkan pembangunan bakat melalui pelbagai inisiatif seperti kerjasama industri akademik, program pemudahcara amali, program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, program outreach bakat global dan pameran kerjaya.

“Memandangkan kemunculan pesat industri yang berkembang maju ini, pelbagai peluang menarik kumpulan bakat kita untuk membabitkan diri dalam sektor yang bukan sahaja menjanjikan daya maju ekonomi, tetapi juga memperjuangkan kesedaran alam sekitar dan sosial, memupuk peribadi serta pertumbuhan kerjaya selaras dengan nilai-nilai yang mampan.

“Perkembangan dinamik ini menawarkan peluang kepada bakat tempatan kita untuk memperoleh kepakaran dalam teknologi tercanggih, memperkasakan mereka untuk memainkan peranan aktif dalam memacu revolusi digital ke hadapan,” katanya kepada Bernama.

MIDA baru-baru ini menganjurkan dua pameran kerjaya yang dikenali sebagai ‘Eksplorasi Kerjaya MIDA’, bertepatan dengan Hari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) 2023 pada 31 Julai dan 5 Ogos, yang masing-masing diadakan di Pulau Pinang dan Selangor.

Arham berkata, objektif utama pameran kerjaya ini adalah untuk menyediakan graduan dan pencari kerja peluang berharga untuk meneroka pelbagai pilihan kerjaya yang ditawarkan oleh kedua-dua syarikat tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, program yang menarik hampir 4,000 peserta berdaftar, sebahagian besarnya adalah graduan, bertujuan memperkasa pencari kerja membuat keputusan termaklum dan menjalin hubungan dengan bakal majikan dengan memudahkan pertukaran maklumat, rangkaian dan pendedahan kepada laluan kerjaya yang berpotensi.

“Pada hari acara itu diadakan, hampir 1,000 calon menjalani proses temu duga. Daripada kumpulan ini, hampir 500 calon disenarai pendek untuk temu duga pusingan kedua.

“Hari berkenaan mencatatkan kejayaan besar dengan 30 calon mendapat tawaran pekerjaan dalam bidang teknikal,” katanya.

Sebanyak 36 syarikat terkemuka menyertai acara itu yang secara kolektif menyediakan hampir 3,000 peluang pekerjaan kepada pencari kerja dan graduan.

Antara syarikat multinasional terkenal yang mengambil bahagian termasuk Jabil, AT&S, Mattel, Fraser & Neave, Novugen, Playstation, Samsung, ams Osram dan Stellantis.

Arham menambah, barisan peserta yang pelbagai ini memberikan pencari kerja dengan pilihan kerjaya yang meluas dan menarik untuk diterokai.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon