B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia terbukti berdaya tahan hadapi cabaran Covid-19 – Bank Dunia

Malaysia terbukti berdaya tahan hadapi cabaran Covid-19 – Bank Dunia

03 Ogo 2023

Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai daya tahan ketara serta berpotensi untuk pulih biarpun dalam persekitaran mencabar akibat pandemik Covid-19, kata Bank Dunia.

Dalam laporan bertajuk ‘Building Malaysia’s Resilience: Lessons from Covid-19’s Economic Impacts and Policy Responses’ (Membina Daya Tahan Malaysia : Iktibar Impak Ekonomi dan Tindak Balas Dasar Akibat Covid-19), Bank Dunia juga menyifatkan Malaysia sebagai peneraju dalam kaji selidik yang turut melibatkan Kemboja, Indonesia, Mongolia, Filipina dan Vietnam.

Kaji selidik tersebut meneliti kesan ekonomi dan tindak balas kerajaan terhadap pandemik di enam negara berkenaan.

Kesemua enam negara terbabit mengharungi krisis tersebut secara berbeza dan telah bertindak melaksanakan pelbagai pendekatan bagi mengekang penularan virus selain mengurangkan impak ekonomi dengan pelbagai peringkat kejayaan, kata bank itu.

Pengurus Bank Dunia bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda berkata kejutan akibat Covid-19 telah mengurangkan jumlah pekerjaan dan pendapatan isi rumah, namun laporan itu sebaliknya menunjukkan Malaysia berupaya mencatat prestasi baik berbanding lima negara itu di peringkat makro.

“Kejutan jualan di Malaysia lebih terkawal manakala keperluan menghentikan kerja/kegiatan pula adalah sederhana. Bagaimanapun, impak pandemik itu adalah tidak sekata.

“Di Malaysia, syarikat-syarikat lebih kecil, golongan miskin dan isi rumah yang rentan lebih mudah terjejas dan kurang mendapat akses bagi bantuan kerajaan. Masalahnya adalah aspek jurang digital,” katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan Ririn Salwa Purnamasari ketika membentangkan laporannya, mengetengahkan keadaan ekonomi Malaysia yang stabil dan berkembang sebelum pandemik dengan mencatat pertumbuhan tahunan pada lima peratus.

Ini menjadikannya sebagai antara paling mewah dalam kalangan enam negara yang ditinjau serta paras hutang kerajaan yang rendah dan membolehkan pelaksanaan pendekatan berkesan bagi mengurangkan impak pandemik selain memastikan kemampanan hutang jangka panjang.

“Di sebalik kemajuan itu, Malaysia masih berdepan cabaran bagi mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan dengan indeks Gini secara relatifnya kekal tinggi untuk sebuah negara yang berhasrat menjadi mencapai status berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau juga menyifatkan pengalaman pandemik Covid-19 memberi pengajaran bermakna dari segi membina daya tahan serta pengurusan krisis di masa depan.

“Kerajaan perlu mengutamakan pemulihan secara saksama, memanfaatkan kemajuan teknologi dan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk melindungi kumpulan rentan.

“Pada masa sama, ia juga harus melakukan penelitian berterusan dan menambah baik dasar serta pelaburan dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan data. Ini penting dalam usaha mengemudi cabaran di masa depan secara berkesan selain memastikan pasaran tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan inklusif,” katanya.

Ketika tempoh pandemik itu, Malaysia telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dengan liputan meluas serta melibatkan gabungan mekanisme atau instrumen bagi syarikat-syarikat serta isi rumah.

Beliau berkata, berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, Malaysia banyak bergantung kepada sokongan dalam membantu syarikat dari segi mudah tunai, kredit dan pinjaman dan secara relatifnya rendah dalam memberi sokongan langsung kepada isi rumah.

Malaysia melaksanakan pemberian gabungan bantuan kerajaan yang besar namun lebih wajar jika lebih bersasar serta diselaras.

Ini kerana, sokongan kepada firma atau perniagaan dilihat sebagai “berat sebelah”dengan disasarkan kepada perniagaan lebih produktif dan besar manakala sokongan untuk isi rumah adalah promiskin namun tidak responsif terhadap kejutan, kata Ririn.

“Penangguhan pembayaran bersasar (bagi cukai atau bayaran balik pinjaman) adalah lebih berkesan berbanding sokongan pendapatan dan mudah tunai dalam menangani krisis modal kerja.

“Subsidi upah misalnya membantu pekerja daripada kesan penuh krisis ekonomi itu serta memelihara hubungan antara majikan dan pekerja manakala bantuan sosial mengurangkan bebanan terhadap isi rumah ketika krisis…namun tahap manfaat itu secara amnya tidak mencukupi,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata berdasarkan ruang fiskal yang ketat dan ketidakpuasan berterusan, aspek yang diperlukan adalah sasaran yang lebih baik atau wajar serta penyatuan mekanisme sokongan berkaitan.

“Program pasaran tenaga kerja yang aktif, termasuk latihan semula atau meningkatkan kemahiran pekerja juga perlu agar membolehkan mereka lebih aktif dalam pekerjaan dan pasaran.

“Ini lebih mampan kerana menjadikan pekerja mempunyai lebih banyak kuasa atau keupayaan untuk melakukan tugas sendiri dan terbabit dalam aktiviti ekonomi yang boleh memberi manfaat bagi tempoh lebih panjang,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh aspek pemindahan tunai, Matsuda berkata ini mencabar untuk Malaysia kerana walaupun kerajaan mampu menampung sebahagian besar penduduk, jumlahnya masih agak kecil berbanding yang diterima di negara lain.

Berikutan itu, beliau menyifatkan kesan pemindahan tunai di Malaysia sebagai terhad.

“Ada yang tidak menerimanya manakala di pihak lain pula menerima jumlah tidak mencukupi yang dapat memberi kesan yang benar-benar ketara,” katanya sambil menegaskan setiap liputan dan jangkauan adalah penting.

Menurutnya, krisis akibat pandemik itu terbukti meningkatkan aspek penerimagunaan teknologi digital dan membangkitkan potensinya bagi memacu produktiviti serta inovasi.

“Kerajaan dan perniagaan perlu melabur dalam infrastruktur digital dan keupayaan bekerja secara jarak jauh bagi meningkatkan daya tahan dan kecekapan ketika krisis di masa akan datang,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon