B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia tempatkan ladang solar terbesar Intel di luar AS

Malaysia tempatkan ladang solar terbesar Intel di luar AS

22 Apr 2021

Operasi Intel di Malaysia kini memanfaatkan tenaga solar untuk membantu menjana tenaga bagi enam bangunannya di Kulim, Kedah dan Pulau Pinang susulan penyiapan pemasangan solar 3.2 megawatt (MW) baharu pada Januari tahun ini.

Dalam kenyataan pada Khamis, ia menjelaskan, projek itu merupakan ladang solar terbesar Intel di luar Amerika Syarikat (AS).

Pemasangan yang mencapai kapasiti terpasang keseluruhan 4.1 MW itu dilaksanakan oleh NEFIN, pemaju tenaga boleh baharu.

Penyiapan projek tersebut menyumbang kira-kira 15 peratus kepada kapasiti tenaga elektrik solar fotovoltaik global Intel selain akan mengurangkan pelepasan karbon dioksida kira-kira 3,800 tan.

Naib Presiden Korporat dan Pengurus Besar Pembuatan Ujian Pemasangan Intel Malaysia, Robin Martin berkata, pelaburan berterusan dalam tenaga alternatif merupakan teras utama komitmen Intel untuk mengoperasikan kemudahan pembuatannya pada tahap kesan paling rendah terhadap alam sekitar.

“Penggunaan tenaga boleh baharu yang dijanakan dalam kawasan yang sama di Intel Malaysia adalah sebahagian usaha penting Intel sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk melakukan inisiatif yang lebih baik demi bumi kita.

“Ia juga sebagai sebahagian matlamat RISE 2030 kami untuk mencapai 100 peratus tenaga boleh baharu,” katanya yang juga Pengarah Urusan Intel Malaysia.

RISE 2030 berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan pada 2015 oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan disasarkan dicapai pada 2030.

Ia bertujuan menggalakkan dan mencapai keadilan, kesaksamaan, kemampanan dan keamanan.

Panel ladang solar baharu di Intel Malaysia meliputi kawasan seluas kira-kira 900 ruang tempat letak kenderaan dan tambahan 50,208 kaki persegi di bahagian bumbung bangunan, menjana kira-kira 6,000 MWh elektrik setiap tahun.

Permintaan elektrik bangunan di kawasan itu pada waktu puncak sebahagiannya digantikan dengan sumber solar.

Bekalan tenaga daripada sumber solar juga membantu mempelbagaikan dan memperkenalkan gabungan tenaga boleh baharu bagi gabungan bekalan tenaga kawasan itu yang lebih banyak dijanakan oleh sumber gas asli dan arang batu.

Sejajar dengan tema Hari Bumi Sedunia ‘Restore Our Earth’, Intel menekankan komitmennya untuk menjimatkan tenaga dan memperluas projek tenaga boleh baharu dan teknologi cekap tenaga bagi reka bentuk dan operasi teknologi, dalam usaha menangani perubahan iklim.

Ia telah menggunakan beberapa sistem terma solar untuk penyediaan air panas domestik ke semua kawasannya di Malaysia bagi usaha mengakhiri kebergantungannya kepada sumber bahan api konvensional dan akan meneruskan langkah perluasan penggunaan sumber tenaga bersih dan hijau.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon