B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia Digital percepat pemulihan negara – Annuar Musa

Malaysia Digital percepat pemulihan negara – Annuar Musa

14 Jan 2022

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berserta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang juga agensi peneraju ekonomi digital negara, telah melancarkan Minggu Ekonomi Digital Malaysia pada acara Ekspo 2020 Dubai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata pengumuman mengenai Malaysia Digital pada Ekspo 2020 Dubai adalah bertepatan pada masanya serta relevan berikutan proses dan insentif yang dipertingkatkan itu amat penting bagi mempercepat pemulihan ekonomi negara daripada impak pandemik COVID-19.

“Sejajar dengan dengan Rancangan Malaysia Ke-12, Malaysia Digital yang dipertingkat ini akan menjadi asas kepada pencapaian matlamat yang telah ditetapkan di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) membabitkan sasaran pelaburan sebanyak RM70 bilion menjelang 2025,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu Ekonomi Digital yang berlangsung pada 9-15 Jan, 2022 di Pavilion Malaysia dalam acara ekspo dunia itu, dijangka menjana peluang perdagangan dan pelaburan bernilai RM300 juta selain mendapat 50 petunjuk perniagaan dari serata global.

Minggu Digital Ekonomi itu turut menandakan pelancaran awal Malaysia Digital iaitu program yang dipertingkat bagi menggantikan MSC Malaysia yang telah wujud selama 25 tahun.

Inisiatif baharu itu akan berperanan bagi mempercepatkan ekonomi digital Malaysia dan memberi limpahan ekonomi digital yang besar melalui akses saksama ke atas mekanisme digital, pengetahuan dan peluang pendapatan.

Malaysia Digital juga dijangka dapat meningkatkan nilai Malaysia bagi menarik pelaburan digital menerusi rangka kerja baharu yang berteraskan tiga komponen utama iaitu ketangkasan, fleksibiliti dan perkaitan atau relevan.

Selain itu, Malaysia Digital akan menawarkan ketangkasan yang lebih baik kepada syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa dengan menyediakan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti bagi syarikat untuk memilih daripada insentif fiskal dan/atau bukan fiskal yang kompetitif.

Malah, rangka kerja baharu Malaysia Digital akan menyaksikan aspek termasuk Rang Undang-Undang Jaminan dan insentif bukan berasaskan lokasi yang dipertingkat selain perluasan lokasi untuk MSC Malaysia mempromosikan aktiviti.

Sejajar dengan inisiatif Malaysia Digital, kerajaan dan MDEC akan memperkenalkan dua inisiatif utama yang akan memacu dan memangkin ekonomi digital iaitu DE Rantau dan Perdagangan Digital Malaysia.

DE Rantau disasarkan menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan digital dan mempromosikan mobiliti profesional digital serta pelancongan di seluruh negara.

Perdagangan Digital Malaysia pula diwujudkan sebagai antara inisiatif pemangkin di bawah Malaysia Digital untuk yang ditubuhkan untuk memanfaatkan peluang dalam pendigitalan yang dipercepat susulan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata projek-projek baharu akan dipacu oleh misi MDEC untuk melonjakkan ekonomi digital menerusi inisiatif pemangkin, berimpak tinggi serta pelaburan strategik, mampan dan dasar inklusif.

“Malaysia Digital akan memacu ekonomi digital ke tahap baharu selain menerapkan ekonomi digital yang progresif, saksama dan berteraskan inovasi seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata beliau.

Minggu Ekonomi Digital berkenaan adalah sebahagian daripada 26 program mingguan bertemakan perdagangan dan perniagaan anjuran Pavilion Malaysia bagi acara Ekspo 2020 Dubai.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X