B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


JPDC sasar pelaburan baharu hampir RM5 bilion

JPDC sasar pelaburan baharu hampir RM5 bilion

15 Apr 2021

Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) menyasarkan untuk menarik pelaburan baharu bernilai hampir RM5 bilion dalam segmen hiliran minyak dan gas serta aktiviti sokongan yang berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed, berkata ia akan dilakukan dalam fasa kedua pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), iaitu untuk tempoh dari tahun lalu hingga 2025.

“JPDC menyasarkan pelaburan baharu di PIPC membabitkan pembangunan loji penghasilan produk petrokimia, pembukaan kawasan perindustrian baharu serta pengembangan aktiviti yang bermula pada fasa pertama, bermula 2012 dan siap pada 2019.

“Pada fasa kedua juga, JPDC merancang mendapatkan dana untuk penambahbaikan dan naik taraf prasarana dan kemudahan awam yang mampu menyokong pertumbuhan industri hiliran minyak dan gas di Pengerang.

“Pada fasa pertama, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan pembangunan RM2.48 bilion untuk 25 pakej kerja pembinaan lebuh raya dan jalan raya, naik taraf jalan Persekutuan, pembinaan jaringan saliran dan perparitan di dalam kawasan industri, serta pembinaan kemudahan awam termasuk balai bomba, balai polis, klinik kesihatan, kompleks perikanan dan sekolah di kawasan PIPC.

“Kerajaan Johor juga menyalurkan peruntukan kira-kira RM1 bilion untuk pembinaan penempatan baharu di Pengerang bagi membolehkan pembangunan industri berjalan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif JPDC, Mohd Yazid Ja’afar.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, pada fasa kedua PIPC, JPDC juga akan turut mempergiatkan program latihan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan agar mereka berpeluang diambil bekerja dalam operasi industri hiliran minyak dan gas di PIPC dan seluruh Malaysia.

“Sejak 2013 hingga Mac 2021, JPDC telah melaksanakan 58 program peningkatan kemahiran, membabitkan 4,097 tenaga kerja Malaysia yang menerima latihan di 12 institusi latihan teknikal awam Malaysia.

“Program peningkatan kemahiran berkenaan diselaraskan dengan keperluan dan permintaan industri dan berjaya menghasilkan kadar pengambilan pekerja setinggi 95 peratus.

“Pada fasa kedua juga, JPDC akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan pelabur industri di PIPC untuk meningkatkan tahap kemahiran dan persijilan teknikal kontraktor dan usahawan pembekal khidmat tempatan agar mereka berpeluang

melayakkan diri menjadi pembekal bertauliah untuk syarikat-syarikat minyak dan gas hiliran di PIPC dan Malaysia,” katanya.

Ini seterusnya akan membantu pengembangan kapasiti keupayaan kontraktor dan syarikat tempatan, serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Menerusi fasa pertama pembangunan PICC menyaksikan dua pelaburan pemangkin dalam industri hiliran minyak dan gasyang dibangunkan dengan jumlah nilai pelaburan RM121.78 bilion (AS$29.5 bilion).

Ia membabitkan Kompleks Bersepadu Pengerang oleh PETRONAS dan usahasama dengan Aramco membabitkan nilai pelaburan RM111.4 bilion (AS$27 bilion) dan Pengerang Deepwater Terminals oleh DIALOG Group Berhad dan rakan niaganya dengan nilai pelaburan RM10.3 bilion (AS$2.5 bilion).

Pada fasa pertama PIPC juga, Johor Corporation sudah memulakan kerja pembangunan Pengerang Industrial Park manakala Kumpulan Serba Dinamik memulakan aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulij loji di Pengerang eco-Industrial Park selain Benalec Holdings Berhad sudah mendapat kebenaran merancang untuk pembangunan Pengerang Maritime Industrial Park.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon