B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


IPP Malaysia lonjak 9.3 peratus pada Mac 2021, tertinggi bagi tempoh sejak Julai 2013

IPP Malaysia lonjak 9.3 peratus pada Mac 2021, tertinggi bagi tempoh sejak Julai 2013

06 Mei 2021

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021 berbanding angka pada bulan yang sama 2020 dan ia merupakan angka tertinggi yang dicatatkan bagi tempoh sejak Julai 2013, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan IPP pada Mac 2021 dipacu oleh indeks pembuatan dan elektrik yang masing-masing meningkat 12.7 peratus dan 10.3 peratus.

“Bagaimanapun indeks perlombongan menguncup 1.9 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis bagi mengulas laporan IPP Malaysia, Mac 2021 yang dikeluarkan DOSM.

Menurut jabatan itu, IPP bagi suku pertama 2021 berkembang 3.9 peratus berbanding angka pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan ini didorong peningkatan 6.8 peratus dalam indeks pembuatan namun sektor perlombongan dan elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 4.1 peratus dan 0.1 peratus, jelasnya.

DOSM melaporkan subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Mac 2021 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (20.9 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (14.1 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik (13.8 peratus).

Ia menambah, industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 12.4 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 13.4 peratus.

Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutama dalam subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dan IPP bagi beberapa rakan dagang utama Malaysia, tambah jabatan itu.

Output sektor perlombongan menguncup 1.9 peratus pada Mac 2021 berbanding tempoh yang sama 2020 disebabkan oleh penurunan indeks minyak mentah dan kondensat (-9.4 peratus).

Pada masa yang sama, indeks gas asli berkembang 4.3 peratus, menurut DOSM.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X