B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Insulet labur RM876 juta bina kilang di Johor

Insulet labur RM876 juta bina kilang di Johor

02 Jun 2022

Insulet Corporation, syarikat peranti perubatan berpangkalan di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) melabur AS$200 juta (RM876.34 juta) bagi membangunkan kilang pengeluaran Sistem Pengurusan Insulin Omnipod di Gelang Patah, Johor.

Menjadi antara kilang pengeluaran baharu bagi peranti berkenaan, pengembangan perniagaan Insulet bakal mengembangkan kapasiti pengeluaran sedia ada di AS dan China.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan terbaharu itu adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menjadikan peranti perubatan sebagai antara industri utama yang memacu negara kepada trajektori teknologi tinggi.

Katanya, pelaburan Insulet itu juga adalah selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang memberi tumpuan untuk menarik pelaburan asing berkualiti ke Malaysia membabitkan teknologi baharu serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kerajaan mengiktiraf syarikat yang meletakkan nilai tinggi terhadap bakat. Oleh itu, kami menjangka limpahan positif daripada usaha Insulet, termasuk penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk bakat Malaysia dalam bidang berteknologi tinggi dan program pembangunan vendor tempatan yang strategik.

“Ia terutama membabitkan segmen industri sokongan kejuruteraan, kerjasama universiti serta latihan dan program peningkatan kemahiran untuk tenaga kerja tempatan.

“Kami akan terus memperkukuhkan infrastruktur yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘Pusat Bakat’ yang memacu perniagaan dan inovasi di Asia dan dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pecah tanah pembangunan kilang pengeluaran Insulet dekat Gelang Patah disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Insulet, Charles Alpuche; dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman.

Pelaburan Insulet telah dibincangkan semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan ke AS yang diketuai Mohamed Azmin termasuk pertemuan dengan wakil Insulet di Washington DC.

Sementara itu, Arham berkata, kemasukan pelaburan Insulet membuktikan daya tarikan Malaysia dalam membawa masuk pengeluar produk peranti perubatan premium dan berteknologi tinggi.

Katanya, ia selaras dengan aspirasi MIDA untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan peranti perubatan serantau dan yang akan memberi sumbangan kepada ASEAN dan dunia.

“Kami mengalu-alukan pengembangan global operasi Insulet dan tambahan kepada ekosistem industri peranti perubatan negara yang sentiasa berkembang.

“Kami berharap Insulet dapat membuka peluang perniagaan baharu untuk pemindahan teknologi dan mengintegrasikan vendor tempatan ke rangkaian bekalan globalnya,” katanya.

Mengulas mengenai pengembangan Insulet, Alpuche berkata, Johor menawarkan lokasi strategik di rantau ASEAN dengan akses yang sangat baik kepada pelabuhan selain memiliki tenaga kerja berkelayakan bagi melancarkan proses pengeluaran syarikat.

“Kami didorong oleh misi untuk meningkatkan kehidupan penghidap diabetes di seluruh dunia. Itulah sebabnya keutamaan kami adalah untuk memastikan pelanggan mempunyai akses berterusan kepada produk Omnipod,” katanya.

Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab pembuatan bagi industri peranti perubatan di Asia.

Pada masa ini, Malaysia menempatkan lebih 200 pengeluar, dengan lebih 30 syarikat multinasional (MNC) peranti perubatan mengeluarkan peranti perubatan bernilai tambah tinggi.

Untuk 2021 sahaja, MIDA meluluskan 38 projek pembuatan bernilai RM7.68 bilion (AS$1.84 bilion), yang dijangka mewujudkan 12,498 peluang pekerjaan kepada negara.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon