B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Industri E&E di Malaysia perlukan bakat tempatan

Industri E&E di Malaysia perlukan bakat tempatan

07 Jan 2022

Malaysia memerlukan pembangunan bakat yang komprehensif bagi menampung permintaan yang semakin meningkat dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan Pelaburan dan Pemudahcara) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja, berkata lonjakan industri E&E, terutama semikonduktor di Malaysia memberi impak kepada permintaan yang berterusan kepada tenaga kerja.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai hab utama sektor semikonduktor global turut menyebabkan banyak syarikat antarabangsa mengembangkan serta membuka kemudahan mereka di negara ini.

“Apabila kedudukan semakin kukuh sebagai hab pelaburan E&E dengan pembukaan lebih banyak kemudahan di Malaysia, ia turut membuka peluang kepada penciptaan pekerjaan.

“Sudah semestinya, pembangunan bakat itu elemen yang penting kerana kita mahukan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

“Persediaan awal juga perlu sedari dari peringkat universiti lagi bagi memastikan bakat tempatan kita mempunyai kemahiran yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Micron Technology Inc dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Yang turut hadir ,Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman; Naib Presiden Korporat dan Pengurus Negara Micron Malaysia, Amarjit Singh Sandhu dan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Sivasuriyamoorthy berkata, kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah sangat diperlukan terutama dari firma antarabangsa seperti Micron dengan universiti atau agensi kerajaan.

Beliau berkata, kerjasama ini perlulah merangkumi pembangunan modal insan untuk tenaga kerja masa hadapan, kerjasama penyelidikan dan pembangunan, pengembangan sumber tempatan, memacu penggunaan Industri 4.0 oleh pemain ekosistem E&E serta pelaksanaan pelbagai program lain yang berkaitan.

Katanya, MIDA juga melaksanakan pelbagai program bagi pembangunan serta peningkatan bakat di Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

“Program pembangunan serta peningkatan bakat ini adalah satu keperluan ketika ini. Kita perlu memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia melangkah ke arah yang lebih baharu,” katanya.

Mengulas mengenai MOU antara Micron dan USM, Naib Presiden Korporat dan Pengurus Negara Micron Malaysia, Amarjit Singh Sandhu, berkata syarikat menyedari kepentingan dalam pembangunan bakat dan penyelidikan.

Lantaran itu, katanya Micron melaksanakan pelaburan bernilai RM1 juta bagi mengukuhkan kerjasama, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam tempoh lima tahun akan datang dengan universiti tempatan.

Beliau berkata, pembiayaan serta geran itu akan menyokong penyelidikan dalam bidang semikonduktor, pembuatan pintar dan kepintaran buatan, yang menjadi kunci utama kepada kemajuan industri pembuatan teknologi Malaysia.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon