B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


GML bekal 190 kit badan bas ke Uzbekistan

GML bekal 190 kit badan bas ke Uzbekistan

23 Feb 2022

Pengeluar bas dan badan bas yang berpangkalan di Johor, Gemilang International Limited (GML) memperoleh tempahan tunggal terbesarnya dari Uzbekistan bagi membekalkan 190 kit badan bas.

Tempahan diterima kurang sebulan selepas kumpulan itu memenangi dan memenuhi tempahan terbesarnya untuk menghantar bas sekolah elektrik ke California, Amerika Syarikat (AS).

GML dalam satu kenyataan berkata, kontrak terbaharu dari Uzbekistan bakal meletakkannya sebagai peserta yang lebih kukuh dalam pasaran baharu di Asia Tengah dan akan membantu kumpulan untuk meneroka negara jiran seperti Belarus dan Kazakhstan.

“Kontrak untuk menghantar 190 kit badan bas secara pemasangan tempatan (CKD) ini diperoleh bulan ini dan dijangka akan disiapkan pada Oktober ini.

“Sejak 2015, GML menghantar lebih daripada 160 kit badan bas ke Uzbekistan, menjadikan negara itu pasaran pertumbuhan penting bagi Kumpulan Gemilang. GML menjangkakan kontrak terbaharu ini akan menjadi penyumbang pendapatan utama tahun ini,” katanya.

Uzbekistan sedang giat menaik taraf infrastruktur dan kesalinghubungannya, termasuk pengangkutan dan GML, firma yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong itu menjangkakan lebih banyak tender pada masa depan dari negara berkenaan.

Kumpulan Gemilang optimis bahawa ia akan terus mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur di Uzbekistan, memanfaatkan rekod prestasinya yang terbukti sebagai salah satu pengeluar bas dan badan bas terkemuka di Asia.

“Kontrak terbaharu ini diperoleh melalui pembidaan tender kompetitif yang dijalankan bersama rakan kongsi GML termasuk pembekal casis dan pembina badan bas tempatan. Faktor utama pemerolehan tender ini ialah keistimewaan kit badan aluminium rekaan GML yang menggunakan teknologi dari Switzerland.

“Material yang digunakan untuk struktur badan bas keluaran Gemilang terdiri daripada aloi aluminium siri 5000 hingga 6000 berketahanan tinggi (setanding dengan piawaian untuk kenderaan pengangkutan udara dan kereta api).

“Inilah intipati kejayaan pengalaman industri Gemilang selama tiga dekad dan GML bertekad untuk menghasilkan penyelesaian pengangkutan mesra alam yang mudah, mampan, konsisten dan berkualiti,” katanya.

GML berkata, kontrak itu membuktikan kredibiliti GML dalam menghasilkan bas dan badan bas yang menepati piawaian keselamatan pengangkutan di negara destinasi.

Mengulas mengenainya, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML, Pang Chong Yong, berkata Uzbekistan adalah antara enam pasaran tumpuannya tahun ini, selain AS, Australia, Singapura, Malaysia dan Hong Kong.

“Kontrak terbaharu ini adalah pesanan berulang dari Uzbekistan dan menjadi batu loncatan untuk kami berkembang dengan lebih jauh di rantau ini. Kami berbesar hati kerana pesanan berulang dengan kuantiti yang lebih besar ini secara tersirat menunjukkan kepercayaan negara luar terhadap kepakaran dan kualiti produk Malaysia.

“Kami merancang, bergantung kepada tender dari Uzbekistan di masa akan datang, untuk terus menghasilkan produk berkualiti secara konsisten, dan seterusnya membina kehadiran yang kukuh dan berdaya saing di dalam pasaran.

“GML sedang berusaha dengan aktif untuk mendapatkan projek baharu di enam negara terbabit. Walaupun banyak penawaran tender ditangguhkan dalam tempoh dua tahun yang lalu kerana pandemik, dengan situasi ekonomi yang semakin pulih, kami ingin melihat lebih banyak pembukaan tender dari pasaran sasaran kami tahun ini,” katanya.

Berpangkalan di Johor, GML mereka bentuk dan menghasilkan badan bas, serta terbabit dalam pemasangan bas selama lebih 30 tahun.

Projek terbaharunya dalam pasaran domestik termasuklah bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro serta projek perintis bas elektrik untuk pengangkutan awam oleh kerajaan Sabah.

GML juga dikenali sebagai pembekal bas untuk bas Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun yang lalu.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X