B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Gentari, syarikat Thailand teroka kerjasama tenaga bersih

Gentari, syarikat Thailand teroka kerjasama tenaga bersih

13 Jan 2023

Penyedia penyelesaian tenaga bersih Malaysia, Gentari Sdn Bhd (Gentari) menjalin kerjasama strategik dengan pembekal infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang berpangkalan di Bangkok, Evolt Technology Company Limited (Evolt) bagi meneroka kerjasama menawarkan penyelesaian tenaga bersih.

Bagi tujuan berkenaan, penyedia penyelesaian tenaga bersih Malaysia itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Evolt.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk mengembangkan infrastruktur dan penyelesaian pengecasan EV di seluruh Asia Tenggara, serta meneroka bidang kerjasama lain yang berpotensi dalam tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian mobiliti hijau.

Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli, berkata MoU dengan Evolt menandakan usaha sulung pihaknya dalam pembangunan infrastruktur serantau di Asia Tenggara.

Beliau berkata, Gentari menyasarkan untuk mewujudkan pangkalan di Thailand, dan kerjasama dengan Evolt itu akan menyaksikan pihaknya mensinergikan kepimpinan pasaran Evolt di Thailand dan kepakaran serantau dengan matlamat Gentari untuk mengembangkan rangkaian mobiliti hijau merentasi pasaran utama di Asia Pasifik.

Katanya, secara bersama, Gentari dan Evolt akan meneroka potensi pelaburan dalam pembangunan bersama infrastruktur pengecasan serantau bermula di Thailand, dengan tumpuan pada lokasi komersial seperti pusat beli-belah, hotel dan pejabat, serta hab transit trafik tinggi.

“Sementara itu, apabila rangkaian jalan raya serantau menjadi lebih bersepadu, kami juga melihat potensi dalam meneroka perkhidmatan perayauan dalam infrastruktur pengecasan yang akan menawarkan pemandu EV pengalaman pengecasan yang lancar walaupun ketika memandu merentasi sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Evolt, Poonpat Loharjun, berkata perkongsian strategik dengan Gentari menandakan satu peristiwa penting bagi syarikat itu mempercepatkan pengembangan stesen pengecas EV.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai kepakaran untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi setiap gaya hidup pengguna akhir, riadah dan di tempat kerja, yang menawarkan kemudahan untuk mengakses, perjalanan yang lancar untuk penumpang dan liputan yang mencukupi.

Katanya, Gentari berjaya melancarkan lebih 250 tempat pengecasan di India dan Malaysia serta semakin popular dan memperoleh kepercayaan pengguna di rantau ini.

“MoU ini akan menyaksikan kami bekerjasama dalam pelaburan dan pengembangan stesen pengecas di Thailand, sekali gus meningkatkan keupayaan dan kesediaan untuk peluang perniagaan pengecasan EV di Asia Pasifik,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada Jun 2022, Gentari mencapai kemajuan pesat dalam mengembangkan rangkaian mobiliti hijau.

Sehingga 5 Januari 2023, Gentari melalui entiti bersekutunya, mempunyai 151 titik pengecasan di 32 lokasi di Malaysia dan sejumlah 132 titik pengecasan di India.

Dengan misi untuk menjadi penyedia penyelesaian mobiliti hijau pilihan Asia Pasifik, Gentari menyasarkan untuk menguasai 10 peratus bahagian pasaran iaitu kira-kira 25,000 tempat pengecasan berdasarkan anggaran semasa merentasi pasaran utama di Asia Pasifik menjelang 2030.

Dalam jangka sederhana, Gentari menyasarkan untuk memasang 9,000 tempat pengecasan awam menjelang 2026, dengan kehadiran kukuh di Malaysia dan India.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon