This site
is mobile
responsive


Kerajaan rumus 6 langkah tingkat kemasukan pelabur asing

Kerajaan rumus 6 langkah tingkat kemasukan pelabur asing

Kerajaan melaksanakan enam langkah untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing ke negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong.

Langkah berkenaan termasuk memudahcara urusan pelabur melalui pengenalan inisiatif dan fasilitasi.

Katanya, untuk itu, kementerian menubuhkan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempercepat kelulusan permohonan dan pelaksanaan projek pelaburan di Malaysia.

“Antara komponen penting PACU adalah kelulusan Lesen Pengilangan secara ‘fast track’ melalui platform digital e-Manufacturing Licence (e-ML) untuk industri yang tidak sensitif dalam tempoh dua (2) hari bekerja.

“Kita juga membuat penambahbaikan proses permohonan untuk mendapatkan insentif cukai melalui platform digital ‘e-incentive’ bagi aktiviti pembuatan am dan syarikat berskala kecil yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasan Ariffin (BN-Rompin) yang mahu tahu langkah untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Ban Hong menjelaskan MITI juga menubuhkan Pusat Sehenti (OSC) Business Travellers pada 2 Oktober lalu yang dikendalikan MIDA bersama wakil dari Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan dan MITI untuk menilai permohonan dan memastikan kesahihan status kesihatan pengembara atau pelawat perniagaan sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia.

Kementerian juga memperkenalkan pakej insentif baharu bagi menggalakkan pelaburan langsung asing seperti pakej pengecualian cukai istimewa bagi menggalakkan syarikat asing memindah operasinya ke Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai pusat rangkaian bekalan antarabangsa.

Untuk itu, katanya syarikat baharu berkenaan akan menikmati kadar cukai 0 peratus selama 10 tahun untuk pelaburan baharu dalam sektor pembuatan dengan pelaburan modal antara RM300 – RM500 juta.

Mereka juga menikmati kadar cukai 0 peratus selama 15 tahun untuk pelaburan baharu dalam sektor pembuatan dengan pelaburan modal melebihi RM500 juta.

Kerajaan juga memberikan 100 peratus Elaun Cukai Pelaburan selama lima (5) tahun untuk pelaburan modal melebihi RM300 juta bagi syarikat sedia ada di Malaysia.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hasan mengenai insentif khas kepada pelabur asing yang melabur di kawasan yang belum dimajukan, Ban Hong menjelaskan keseimbangan pembangunan Pantai Timur dan barat amat penting, justeru kerajaan memberikan insentif untuk kawasan kurang maju kepada pelabur di bawah skim ini.

Bagi tujuan sama dalam Belanjawan 2021 juga kerajaan memperuntukkan RM780 juta bagi pembangunan lima wilayah ekonomi manakala RM15 bilion bagi pembangunan infrastruktur pengangkutan untuk menambah baik kesalinghubungan kawasan industri.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X