Logo

Philips

Royal Philips Electronics dari Belanda adalah salah satu daripada syarikat-syarikat elektronik terbesar di dunia, dan juga yang terbesar di Eropah, dengan 159,709 pekerja di lebih 60 buah negara dan jualan sebanyak Euro 30.4 bilion pada tahun 2005.

Philips telah beroperasi di Malaysia sejak lewat 1930-an. Aktiviti perniagaan Kumpulan Syarikat Philips di Malaysia pada masa itu termasuk perkilangan, eksport, jualan dan pemasaran tempatan. Pada tahun 1960, Philips Malaysia Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada mulanya, menjual mentol cahaya melalui ejen yang dilantik. Menjelang tahun 1970-an, Philips telah mengambil alih operasi pemasaran dan memperluaskan rangkaian produk. Hari ini, setelah mengukuhkan namanya sebagai jenama yang boleh dipercayai dan bereputasi dalam pelbagai industri termasuk lampu, semikonduktor, sistem perubatan, rangkaian digital, peralatan rumah dan penjagaan diri dan elektronik pengguna, aktiviti perniagaan syarikat itu terdiri daripada pembuatan, jualan, pemasaran, teknikal dan khidmat sokongan.

Pada Julai 1992, Philips dan Motorola telah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama dipanggil Semiconductor Miniature Products (Malaysia) Sdn Bhd. Terletak di Taman Perindustrian Tuanku Jaafar, Seremban, kilang ini menghasilkan surface mount discrete semiconductors untuk kegunaan global dan menggabungkan pemasangan dan pengujian berteknologi tinggi. Hari ini, syarikat tersebut dimiliki sepenuhnya oleh Royal Philips Electronics of Netherlands dan menggaji tenaga kerja lebih 900 pekerja di kilangnya.

Pada Ogos 2005, Royal Philips Electronics of Netherlands telah memperoleh 47% saham Agilent Technology dalam Lumileds Lighting Int B.V. Ini telah menyebabkan Philips mendapat kawalan pemilikan dalam Lumileds, yang mengeluarkan solid-state lighting. Melaluinys, Philips akan memperluaskan profil kepimpinannya dalam lampu dengan pengembangan perniagaan solid-state lighting. Terletak di Pulau Pinang, Lumileds mempunyai nilai pengeluaran tahunan sebanyak RM700 juta. Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, pasaran dunia untuk LED kecerahan tinggi diramalkan berkembang sebanyak kira-kira 25% setahun dan Philips berada dalam kedudukan yang terbaik untuk meraih manfaat dari sini, Malaysia adalah satu-satunya kilang pengeluaran untuk Lumileds dan menggaji 1200 pekerja daripada jumlah 1760 pekerjanya di Amerika Syarikat, Belanda dan Asia.

"Dasar-dasar kerajaan Malaysia adalah pro-perniagaan dan saya percaya ini akan memastikan daya tahan ekonomi yang berterusan dan menarik pelabur asing. Sistem pendidikan terus menghasilkan tenaga kerja yang berbakat dan mahir. Kerajaan sudah mencapai kemajuan dengan menjadikan Malaysia hab pendidikan serantau dan menyediakan insentif bagi pembangunan pekerja berpengetahuan, kata Encik Rajah Kumar, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kumpulan Syarikat Philips, Malaysia. "Peningkatan persekitaran infrastruktur untuk memastikan semua orang dihubungkan secara dalam talian, luar talian, dan pembangunan landskap ICT adalah penting. Ini akan membolehkan firma-firma besar menggunakan khidmat syarikat-syarikat tempatan bagi aktiviti berasaskan transaksi dan juga menyokong perniagaan syarikat-syarikat yang lebih kecil yang tidak mampu untuk mendapatkan talian sewa, dengan adanya keupayaan jalur lebar yang maju," tambah Encik Kumar.

Berazam untuk mengekalkan pertumbuhan yang menguntungkan, Philips memberi sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia dengan perolehan kira-kira RM3 bilion setahun. Matlamat Philips adalah untuk meningkatkan kedudukannya di rantau Asia Pasifik dan memastikan rantau ini menyumbang kira-kira satu pertiga daripada pendapatan global Philips. Kunci kepada kejayaan Philips adalah keperluan untuk berkembang di China, India dan negara-negara ASEAN. Philips melihat ASEAN sebagai pasaran yang bersepadu di mana Malaysia memainkan peranan yang penting. Philips Malaysia menduduki tempat kedua dalam menyumbang kepada jualan keseluruhan kumpulan syarikat. Philips ASEAN.

"Kami amat gembira dengan pelaburan kami di Malaysia. Ukuran kejayaan yang kita dapat adalah dalam bentuk manfaat yang ketara dan tidak ketara. Faedah tidak ketara adalah asas penting bagi pertumbuhan ekonomi jangka panjang firma ini. Sementara manfaat ketara boleh terus diukur dari segi pertumbuhan jualan, keuntungan dan ROI, manfaat yang tidak ketara adalah lebih mendalam, mewujudkan hubungan emosi kepada firma, rakyat, dan perniagaan," kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Philips di Malaysia.

Sebelumnya

Petrofac Malaysia

Panasonic Industrial

Seterusnya

Produk Petroleum termasuk Petrokimia

Tarikh Dikemaskini : Khamis 17 Oktober 2019