Logo

Farmaseutikal

Industri farmaseutikal Malaysia telah berkembang dengan stabil sepanjang dekad yang lalu.

PengilangMalaysia telah menunjukkan kemampuan dan kapasiti mereka untuk menghasilkan produk farmaseutikal dalam hampir kesemua bentuk dos, termasuk sediaan steril, bahan suntikan dan ubat pelepasan masa, dan juga ubat-ubat generik yang telah dibuat dan dilancarkan, dan produk-produk herba dengan jenama mereka sendiri. Malaysia ialah ahli kepada Pharmaceutical Inspection Convention and Pharmaceutical Inspection Cooperation/ Scheme (PIC/S), yang membolehkan produk-produk farmaseutikal yang dikilangkan di Malaysia diterima di peringkat global, terutamanya di negara-negara ahli PIC/S lain.

Syarikat-syarikat besar tempatan dalam industry termasuk Pharmaniaga, CCM Pharmaceuticals, Kotra Pharma, Hovid dan Xepa-Soul Pattinson; beberapa pengilang milikan asing terkemuka seperti Oncogen Pharma, Y.S.P. Industries, GlaxoSmithKline (GSK), Ranbaxy dan Biocon juga bertapak di negara ini. Menyahut permintaan produk-produk sebegitu yang semakin meningkat di rantau Asia Tenggara, syarikat-syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia sudah bermula dengan pengeluaran biologi, ubat onkologi dan sebatian generik dengan nilai tambah yang lebih tinggi.

Setakat tahun 2017, sejumlah 251 kemudahan telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA), Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia dikategorikan sebagai 158 (63%) kemudahan yang menghasilkan ubat tradisional, 83 (33%) kemudahan yang menghasilkan bahan farmaseutikal dan 10 (4%) kemudahan yang menghasilkan produk veterinar. Sejumlah 23,650 produk farmaseutikal telah didaftarkan dengan DCA, termasuk produk tradisional (51.6%), ubat preskripsi (27.7%), ubat tiada preskripsi/dibeli di kaunter (13%), suplemen kesihatan (4.7%), dan ubat veterinar (3%).

Sektor halal patut dipertimbangkan oleh para pelabur yang mencari niche dalam industri farmaseutikal dengan potensi pertumbuhan yang besar. Industri farmaseutikal halal di peringkat global merupakan industri berbilion dolar dengan perbelanjaan sebanyak US$75 bilion pada tahun 2017, meningkat ke anggaran sebanyak US$132 bilion menjelang 2021. Malaysia kini dikenal pasti sebagai hab halal global terkemuka, dan juga pusat rujukan dan dagangan global bagi industry halal arus perdana. Ia juga telah menubuhkan standard farmaseutikal halal pertama dunia iaitu MS2424:2012 Halal PharmaceuticalGeneral Guidelines, dengan Bahagian Hab Halal JAKIM menjadi badan akreditasi pertama di dunia yang memberi akreditasi produk farmaseutikal halal.

Malaysia mempunyai infrastruktur yang maju, pihak berkuasa akreditasi yang boleh dipercayai, institusi dan produk kewangan Islam, taman, logistik dan makmal pengujian yang khusus untuk perdagangan dan industri halal. Ini dilengkapi dengan sokongan kerajaan yang telah menyediakan asas untuk kemajuan industri halal di Malaysia. Agensi kerajaan, seperti MIDA, Halal Industry Development Corporation, Malaysian Technology Development Corporation dan SME Corporation Malaysia menawarkan pelbagai kemudahan dan inisiatif, termasuk insentif cukai, bantuan pembiayaan, latihan dan khidmat perundingan dan program kemantapan kemahiran. Sebagai contoh, insentif cukai bagi syarikat industry halal yang beroperasi di taman halal telah diperluaskan untuk merangkumi pengilang produk nutraseutikal dan probiotik.

Sembilan projek farmaseutikal telah diluluskan pada tahun 2017 yang terdiri daripada pelaburan bernilai RM517.9 juta. Kelulusan ini menunjukkan kejayaan besar dalam ekosistem, kerana ia membolehkan produk-produk farmaseutikal yang lebih sofistikated, dengan nilai tambah yang lebih tinggi, dan produk farmaseutikal terbaharu dikilangkan di Malaysia.

Sebelumnya

Peranti Perubatan

Jentera dan Peralatan

Seterusnya

Industri Kayu

Menu Pantas
Tarikh Dikemaskini : Rabu 20 Mei 2020