Logo

Industri Mineral Bukan Logam

Industri mineral bukan logam merupakan segmen pertumbuhan yang penting disebabkan pelbagai kaitan silang industri. Pemain-pemain industri membekalkan bahan mentah dan bahan diproses kepada industri perkilangan domestik dan juga mengeksport produk-produk mineral dan berasaskan mineral bernilai tambah, menjadikan industri ini komponen penting bagi rantaian bekalan tempatan, serantau dan global.

Produk mineral bukan logam merangkumi alumina berketulenan tinggi (HPA), produk seramik dan berasaskan tanah liat, produk simen dan konkrit, produk kaca, komponen IBS, dan produk-produk mineral bukan logam lain seperti kapur tohor, barit, marmar dan granit.

Pemain-pemain industri dalam subsektor produk seramik dan berasaskan tanah liat menghasilkan seramik tradisional dan maju. Seramik tradisional termasuk (tetapi tidak terhad kepada) jubin dinding, lantai dan bumbung, lekapan bilik mandi, pinggan mangkuk dan batu bata. Seramik halus/maju masih baharu di negara ini, dengan aplikasi berteknologi maju dalam bidang elektronik, aeroangkasa, perubatan dan bidang lain.

Jenis-jenis simen yang dihasilkan oleh subsector produk simen dan konkrit di Malaysia termasuk simen Portland biasa, simen hidraulik, simen sanga, simen abu terbang, simen bercampur lain dan simen putih. Subsektor produk kaca merangkumi pengeluaran kaca apung, kaca keselamatan, barangan kaca, kaca seni bina, gentian kaca dan produk kaca presisi berteknologi tinggi seperti corong dan panel kaca, subtrat kaca cakera keras, dan kaca solar. Kaca solar ialah kombinasi teknologi solar dan kaca, dan selalu digunakan untuk permukaan atasan pengumpul haba dan modul fotovoltaik.

Subsektor ini dijangka akan berkembang untuk merangkumi bahan berfungsi, dan juga kaca emisi rendah, kaca berprestasi tinggi dan kaca bersalut khas, untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada industri pembinaan dan solar.

Menyediakan peluang menarik untuk pelabur tempatan dan asing dalam industri produk bukan logam merupakan penggerak Malaysia untuk meningkatkan kegunaan IBS, bertujuan untuk mengurangkan kos pembinaan dan meningkatkan kualiti. Bagi menyokong penggunaan IBS di Malaysia, MIDA menyediakan insentif dan kemudahan kewangan dan bukan kewangan. Khususnya, syarikat yang mengilang komponen IBS layak untuk memohon PS atau ITA daripada MIDA.

Non Metallic

Pelaburan berjumlah RM7.6 bilion bagi 45 projek mineral bukan logam telah diluluskan pada tahun 2017,Ini merangkumi lebih dua kali ganda daripada jumlah pelaburan sebanyak RM3 bilion pada tahun 2016.

Dari segi pecahan projek, 21 projek adalah untuk produk simen dan konkrit, 12 projek untuk komponen IBS, enam untuk produk bukan logam, empat projek untuk menghasilkan produk kaca, dan dua lagi adalah pelaburan untuk perkilangan produk seramik dan berasaskan tanah liat. Projek-projek yang diluluskan ini telah menjana 4,836 peluang pekerjaan, dengan 1,700 dalam kategori pengurusan, teknikal dan penyeliaan.

Seterusnya

Aeroangkasa

Tekstil dan Produk Tekstil

Tarikh Dikemaskini : Khamis 17 Oktober 2019