Logo

Kaedah Menjalankan Perniagaan di Malaysia

 

1 Kedah Menjalankan Perniagaan di Malaysia

Di Malaysia, sebuah syarikat boleh diusahakan:-

  • Oleh seorang individu selaku pemilikan tunggal
  • Oleh dua orang atau lebih (tetapi tidak melebihi 20 orang) dalam perkongsian
  • Oleh perkongsian liabiliti terhad (LLP)
  • Oleh sebuah syarikat tempatan yang diperbadankan atau oleh syarikat asing yang berdaftar di bawah peruntukan Akta Syarikat 2016
2 Pemilikan Tunggal dan Perkongsian

Semua pemilikan tunggal dan perkongsian di Malaysia mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan, 1956. Bagi perkongsian, rakan kongsi bersama dan berasingan menanggung hutang-piutang dan tanggungjawab perkongsian itu seandainya aset syarikat tidak mencukupi. Satu surat ikatan perkongsian rasmi boleh disediakan untuk menetapkan hak dan tanggungjawab setiap rakan kongsi tetapi ini tidak diwajibkan. Sekiranya berlaku kematian seseorang pekongsi individu, perkongsian itu dibubarkan kecuali perjanjian perkongsian secara khusus memperuntukkan selainnya. Perkongsian tidak diperlukan untuk memfailkan penyata kewangannya dalam mana-mana pendaftaran awam atau untuk menyiarkannya dalam apa-apa cara lain.

3 Syarikat Tempatan Yang DiPerbadankan
Struktur Syarikat

Akta Syarikat, 2016 mentadbir urus semua syarikat di Malaysia. Akta itu menetapkan bahawa sebuah syarikat mestilah berdaftar dengan SSM sebelum menjalankan sebarang aktiviti perniagaan. Terdapat tiga (3) jenis syarikat yang boleh diperbadankan di bawah Akta Syarikat, 2016

  1. Sebuah syarikat berhad menurut saham adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan berdasarkan prinsip yang mana liabiliti ahli-ahlinya terhad oleh memorandum persatuan setakat jumlah, jika ada, yang belum dijelaskan bagi saham-saham yang dibeli oleh mereka.
  2. Dalam sebuah syarikat berhad menurut jaminan, liabiliti ahli-ahlinya terhad oleh Memorandum dan Tataurusan Persatuan setakat jumlah yang mana ahliahlinya telah memberi jaminan untuk menyumbang kepada aset-aset syarikat seandainya syarikat gulung tikar.
  3. Sebuah syarikat tidak terhad adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan berdasarkan prinsip tidak mempunyai had yang ditetapkan ke atas liabiliti ahli-ahlinya.
Syarikat Berhad Menurut Saham

Struktur syarikat yang lazim di Malaysia adalah syarikat berhad menurut saham. Syarikat itu boleh ditubuhkan sama ada sebagai sebuah Syarikat Sendirian Berhad (dikenalpasti dengan perkataan “Sendirian Berhad” atau “Sdn. Bhd.”) sebagai sebahagian nama syarikat atau sebuah Syarikat Awam (dikenalpasti dengan perkataan “Berhad” atau “Bhd.”) sebagai sebahagian nama syarikat.

Sebuah syarikat yang mempunyai modal saham boleh diperbadankan sebagai sebuah syarikat sendirian sekiranya Memorandum dan Tataurusan Persatuannya:-

  1. Membatas hak memindah milik sahamnya.
  2. Menghad bilangan ahlinya kepada 50, tidak termasuk pekerja syarikat itu atau anak syarikatnya dan sesetengah bekas pekerja syarikat itu atau anak syarikatnya.
  3. Melarang sebarang pelawaan kepada pihak awam untuk memohon beli saham dan debenturnya
  4. Melarang sebarang pelawaan kepada pihak awam untuk mendeposit wang dengan syarikat itu untuk tempoh tetap kena bayar apabila diminta, sama ada dengan faedah atau tanpa faedah.

Sebuah syarikat awam boleh dibentuk atau, sebagai alternatif, sebuah syarikat sendirian boleh ditukar menjadi sebuah syarikat awam tertakluk kepada Seksyen 26 Akta Syarikat, 2016. Syarikat itu boleh menawarkan sahamnya kepada pihak awam dengan syarat:-

  1. Ia telah mendaftar satu prospektus dengan Suruhanjaya Sekuriti
  2. Ia telah serah simpan satu salinan prospektus itu dengan SSM pada atau sebelum tarikh terbitannya.

Sebuah syarikat awam boleh memohon supaya sebut harga sahamnya dipaparkan di Bursa Malaysia dengan syarat ia mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh Bursa tersebut. Sebarang terbitan sekuriti berikutnya (misalnya terbitan secara hak atau bonus, atau terbitan berpunca daripada pengambilalihan, dan lain-lain) memerlukan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti.

Prosedur Pemerbadanan

Bagi menubuhkan sebuah syarikat, permohonan mestilah dikemukakan kepada SSM dengan menggunakan Borang 13A dan disertakan bayaran sebanyak RM30 (bagi setiap nama yang dipohon) untuk menentukan sama ada nama yang dicadangkan bagi syarikat berkenaan boleh digunakan. Permohonan akan diluluskan sekiranya nama berkenaan boleh digunakan dan nama yang dicadangkan akan dirizab selama tiga bulan. Dokumen pemerbadanan berikut hendaklah diserah simpan kepada SSM dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kelulusan nama syarikat:-

  1. Memorandum dan Tataurusan Persatuan
  2. Akuan Pematuhan (Borang 6)
  3. Akuan Berkanun oleh seorang sebelum dilantik sebagai pengarah, atau oleh seorang pengasas sebelum pemerbadanan syarikat (Borang 48A)
  4. Dokumen tambahan yang termasuk:
  5. • Borang 13A yang asal

    • Satu salinan surat daripada SSM yang meluluskan nama syarikat

    • Satu salinan kad pengenalan setiap pengarah dan setiausaha syarikat atau satu salinan pasport jika seorang pengarah asing dilantik.

Memorandum Persatuan mendokumenkan nama syarikat, objektif, jumlah modal dibenarkan (jika ada) yang dicadangkan untuk pendaftaran dan pembahagiannya kepada saham-saham jumlah tetap.

Tataurusan Persatuan menghuraikan peraturan yang mentadbir urus pengurusan dalaman hal ehwal syarikat dan perjalanan perniagaannya.

Tugas Modal untuk modal dibenarkan juga perlu dibayar kepada SSM

Setelah Sijil Pemerbadanan dikeluarkan, syarikat berkenaan akan menjadi sebuah badan korporat, berupaya melaksanakan fungsi sebuah badan diperbadankan dan boleh mendakwa dan didakwa. Ia adalah kekal turun temurun di bawah meterai perbadanannya dengan kuasa untuk memiliki tanah, tetapi ahli-ahlinya mempunyai liabiliti untuk menyumbang kepada aset-aset sekiranya syarikat gulung tikar, seperti diperuntukkan di bawah Akta Syarikat, 2016.

Keperluan bagi Syarikat Tempatan Yang Diperbadankan

Sebuah syarikat mestilah mengekalkan sebuah pejabat berdaftar di Malaysia di mana semua buku dan dokumen yang diperlukan di bawah peruntukan Akta disimpan. Nama syarikat hendaklah diperagakan dalam huruf abjad Roman yang mudah dibaca, bersama-sama nombor syarikat, pada cap mohor syarikat dan dokumen syarikat.

Sebuah syarikat tidak dibenarkan berurus niaga dalam sahamnya sendiri atau memegang saham dalam syarikat induknya. Setiap saham ekuiti sebuah syarikat awam melayakkan hanya satu undi dalam pengundian pada mana-mana mesyuarat agung syarikat. Bagaimanapun, sebuah syarikat sendirian boleh memperuntukkan hak undi berbeza bagi pemegang-pemegang sahamnya.

Setiausaha sebuah syarikat mestilah seorang yang benar, cukup umur dan mempunyai tempat bermastautin utama atau alamat kediaman hanya di Malaysia. Beliau mestilah menjadi ahli kepada sebuah badan yang ditetapkan atau dilesenkan oleh Pendaftar Syarikat. Syarikat juga mestilah melantik juruaudit syarikat beriktiraf sebagai juruaudit syarikatnya di Malaysia.

Selain itu, syarikat hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pengarah yang mempunyai tempat bermastautin utama atau alamat kediaman hanya di Malaysia. Pengarah syarikat awam atau anak syarikat kepada syarikat awam lazimnya mestilah tidak melebihi usia 70 tahun. Seorang pengarah syarikat tidak semestinya menjadi seorang pemegang saham syarikat. 

Penubuhan Cawangan Syarikat Asing

Pemohon mestilah terlebih dahulu menjalankan carian nama untuk menentukan sama ada nama yang dicadangkan untuk syarikat berkenaan boleh digunakan. Nama yang bakal digunakan untuk mendaftarkan syarikat asing itu hendaklah sama dengan nama yang didaftarkan di negara asal. Pemohonan hendaklah dikemukakan kepada SSM dengan menggunakan Borang 13A beserta bayaran RM30 bagi setiap nama yang dipohon. Apabila nama syarikat yang dicadangkan itu diluluskan oleh SSM, ia adalah sah untuk selama tiga bulan dari tarikh kelulusan. 

Setelah diluluskan, pemohon mestilah menyerah simpan dokumen berikut kepada SSM:-

  • Satu salinan sah sijil pemerbadanan atau pendaftaran syarikat asing berkenaan;
  • Satu salinan sah piagam, statut atau Memorandum dan Tataurusan Persatuan syarikat berkenaan atau instrumen-instrumen lain yang mengtakrif perlembagaannya;
  • Borang 79 (Penyata oleh Syarikat Asing yang Memberikan Butiran mengenai Pengarah-pengarah dan Perubahan Butiran).
  • Sekiranya senarai itu termasuk pengarah-pengarah yang bermastautin di Malaysia yang menjadi ahli-ahli lembaga pengarah tempatan syarikat itu, satu memorandum yang menyatakan kuasa-kuasa yang mesti dilaksanakan oleh mereka atau bagi pihak syarikat asing itu mestilah diserah simpan kepada SSM.
  • Satu memorandum perlantikan atau surat kuasa wakil yang memberi kuasa kepada seseorang (mereka) yang bermastautin di Malaysia untuk menerima bagi pihak syarikat asing sebarang notis yang dikehendaki disampaikan kepada syarikat asing itu.
  • Borang 80 (Akuan Berkanun oleh Ejen Syarikat Asing); dan dokumen-dokumen tambahan yang terdiri daripada Borang 13A yang asal serta satu salinan surat daripada SSM yang meluluskan nama syarikat asing itu.

Yuran pendaftaran perlu dibayar mengikut skala yang ditetapkan oleh SSM berdasarkan modal dibenarkan bagi syarikat induk. 

Proses pendaftaran pejabat cawangan mengambil masa satu (1) bulan bermula dari tarikh pendaftaran, SSM akan mengeluarkan sijil pendaftaran suatu syarikat asing (Borang 83). 

Tiap-tiap syarikat asing hendaklah  menyerahkan notis pendaftaran lokasi pejabat berdaftarnya di Malaysia, dengan menggunakan borang yang ditetapkan dalam tempoh sebulan selepas menubuhkan suatu tempat perniagaan atau memulakan perniagaan dalam Malaysia.

Sebuah syarikat diperbadankan di luar negeri mesti memfailkan suatu salinan penyata tahunan setiap tahun dalam tempoh satu (1) bulan mesyuarat agung tahunannya. Syarikat itu juga mesti memfailkan satu salinan kunci kira-kira ibu pejabat, suatu penyata yang telah diaudit dengan sempurna aset yang digunakan, dan liabiliti yang timbul daripada, operasinya di Malaysia, serta akaun untung rugi yang telah diaudit dengan sempurna dalam tempoh dua (2) bulan mesyuarat agung tahunan.

4 Dasar Ekuiti

Akta Syarikat, 2016 tidak menetapkan sebarang syarat ekuiti ke atas syarikat-syarikat yang diperbadankan di Malaysia. Walau bagaimanapun, untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam perniagaan, kerajaan menggalakkan usaha sama antara pelabur Malaysia dan asing. 

Garis Panduan Jawatankuasa Ekuiti Pelaburan Asing 

Kerajaan Malaysia telah meliberalisasikan dasar mengenai penyertaan ekuiti asing dalam perniagaan di Malaysia sebagai salah satu strategi untuk menarik pelaburan baru secara berterusan ke negara ini. 

Pada tahun 2004, Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) telah meliberalisasikan dasar mengenai penyertaan ekuiti asing untuk membenarkan warga asing memegang sehingga 70% ekuiti dalam sebuah syarikat Malaysia. Daripada baki yang tinggal, 30% telah diperuntukkan kepada Bumiputera. 

Walau bagaimanapun, untuk menggalakkan sektor-sektor perkhidmatan strategik terpilih, sehingga 100% penyertaan ekuiti asing dibenarkan dalam kes syarikat-syarikat yang diberikan insentif di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Ini termasuklah Perkhidmatan Sokongan Pasaran, Kemudahan Utiliti Berpusat dan perkhidmatan khusus yang lain, kecuali Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) di mana penyertaan ekuiti asing sehingga 40% dibenarkan. 

Walau bagaimanapun, sesetengah jenis operasi perniagaan di Malaysia dikehendaki mematuhi syarat-syarat ekuiti tertentu apabila memohon untuk mengendalikan lesen, permit dan kelulusan. Operasi perniagaan tersebut termasuklah di sektor logistik, perdagangan pengedaran dan latihan industri. 

5Lesen yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan
Lesen Premis Perniagaan dan Papan Iklan

Syarikat-syarikat yang bercadang untuk menubuhkan pejabat mungkin memerlukan lesen premis perniagaan dan lesen papan tanda daripada pihak berkuasa tempatan masing-masing, bergantung kepada jenis aktiviti perniagaan.

Terdapat 147 pihak berkuasa tempatan di Malaysia. Syarat-syarat untuk mendapatkan lesen premis perniagaan dan lesen papan tanda mungkin berbeza-beza mengikut setiap pihak berkuasa tempatan. Pemohon dinasihatkan untuk menghubungi pihak berkuasa tempatan mengikut lokasi syarikat masing-masing.

Sesuatu permohonan bagi lesen premis perniagaan dan papan tanda hendaklah disertakan dengan dokumen-dokumen berikut: -

  1. Sesalinan kad pengenalan pemohon
  2. Sekeping gambar berukuran pasport pemohon
  3. Sesalinan M & A syarikat, Borang 9, 24 dan 49
  4. Sesalinan memuat perjanjian sewa atau jual beli perjanjian premis perniagaan syarikat
  5. Sesalinan Sijil Kelayakan Menduduki premis perniagaan syarikat
  6. Sesalinan surat sokongan daripada Jabatan Bomba
  7. Sesalinan pelan lokasi premis perniagaan syarikat
  8. Gambar-gambar premis perniagaan
  9. Gambar-gambar yang menunjukkan lokasi papan tanda syarikat
  10. Sampel papan tanda yang menunjukkan warna dan reka bentuk
Seterusnya

Perkhidmatan Perakaunan, Pengauditan dan Percukaian

Perkhidmatan Pengiklanan

Tarikh Dikemaskini : Rabu 13 November 2019