Logo

Peranti Perubatan

Ekonomi Malaysia dijangka menerima impak positif daripada industri peranti perubatan yang telah ditetapkan sebagai salah satu subsektor pertumbuhan tinggi ‘3+2’ di bawah RMK-11. Subsektor ini merupakan salah satu bidang pertumbuhan di bawah NKEA Penjagaan Kesihatan, dan termasuk produk-produk tambah nilai yang lebih tinggi dan berteknologi canggih seperti perentak jantung, stent, peranti implan ortopedik, elektro-perubatan, terapeutik dan peranti pemantauan.

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), sebuah badan kawal selia di bawah Kementerian Kesihatan (MOH), akan memastikan bahawa peranti perubatan yang dikeluarkan oleh Malaysia mempunyai kualiti antarabangsa dan diiktiraf di atas kepatuhan terhadap piawaian antarabangsa dan juga sistem pematuhan kawal selia global. Lebih 90 peratus peranti perubatan yang dikilangkan di Malaysia dieksport.

Industri ini mempunyai lebih 200 pengilang dengan jumlah pelaburan yang telah dilaksanakan sebanyak RM14.2 bilion, menjadikan Malaysia sebuah hab pengilangan peranti perubatan yang sedang meningkat maju. Lebih 30 syarikat multinasional (MNC) telah menubuhkan kemudahan pengilangan luar pesisir mereka di Malaysia seperti Abbott, Agilent, B. Braun, C.R. Bard, Symmetry Medical, Teleflex, Resmed, Ciba Vision, Ambu, Toshiba Medical Systems, dan Haemonetics. Syarikat-syarikat multinasional ini telah menyumbang kepada kemajuan rantaian bekalan tempatan yang komprehensif, dan memberikan faedah kepada banyak syarikat domestik. Selain itu, lebih 50 syarikat dikategorikan sebagai Syarikat Besar Tempatan (LLCs), seperti Vigilenz, Straits Orthopaedics, Ideal Healthcare, Top Glove, Hartalega dan Kossan Latex Industries.

Industri peranti perubatan Malaysia berpotensi besar untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjana nilai eksport yang lebih besar dan memantapkan ekosistem rantaian bekalan domestik. Bukti potensi ini terdapat dalam Medical Device Industry Outlook Report 2017 oleh Association of Malaysian Medical Industries (AMMI) yang dilancarkan pada Ogos 2017. Laporan tersebut menyerlahkan nisbah nilai tambah sebanyak 57 peratus, suatu yang luar biasa dalam pengilangan peranti perubatan di Malaysia.

Industri ini telah menarik pelaburan yang diluluskan pada tahun 2017 berjumlah RM2.2 bilion. Ini adalah bagi enam projek baharu bernilai RM69.4 juta, dan 19 projek pembesaran/pelbagaian bernilai RM2.1 bilion. Berbanding angka pelaburan tahun 2016 sebanyak RM2.9 bilion dalam 41 projek yang diluluskan, ini merupakan petanda bahawa industri peranti perubatan berjaya menarik lebih banyak pelaburan strategik, dengan pelaburan yang lebih tinggi bagi setiap projek secara putara. Pelabur asing melabur sebanyak RM1.6 bilion (72.7%) dalam nilai pelaburan untuk menunjukkan keyakinan mereka dalam masa depan industri ini. DDI membawa masuk pelaburan sebanyak RM600 juta (27.3%).

Sebelumnya

Jentera dan Peralatan

Industri Pemprosesan Makanan

Seterusnya

Farmaseutikal

Industri Kayu

Tarikh Dikemaskini : Khamis 17 Oktober 2019