Logo

Jentera dan Peralatan

Industri M&E berfungsi untuk memangkinkan peralihan Malaysia menjadi negara teknologi tinggi, bersedia untuk Industri 4.0, disebabkan hubungannya dengan pelbagai sektor ekonomi berskala besar seperti perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan. Menurut IMP3, pelaburan dalam industri M&E disasarkan untuk berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 3.7 peratus. Menjelang 2020, pelaburan dalam industri ini dijangka mencecah RM30.8 bilion, manakala eksport dijangka berkembang pada kadar purata 6.7 peratus setahun, mencecah RM48.3 bilion.

Kini terdapat 1,418 syarikat dalam pelbagai saiz dalam industri M&E merentasi pelbagai bidang, termasuk penjanaan kuasa, kerja logam, proses khusus M&E untuk industri tertentu, M&E perindustrian umum, modul dan bahagian industri, dan pengilangan semula M&E. Ini termasuk 197 syarikat yang terlibat dalam pengeluaran M&E semikonduktor, dan 143 syarikat yang terlibat dalam robotika dan sistem automasi kilang. Malaysia ialah pengeluar utama jentera proses khusus bagi industri E&E dan peralatan automasi di rantau Asia Tenggara.

Syarikat-syarikat M&E Malaysia mampu menyediakan pelbagai perkhidmatan bertaraf dunia, berkualiti tinggi, termasuk reka bentuk & pembangunan, simulasi ujian dan pengaturcaraan perisian, fabrikasi struktur, pemasangan dan integrasi modul, serta penyelesaian automasi. Mereka mampu menghasilkan jentera maju dengan automasi penuh dan sistem pengendalian robotik, dan dengan mudah boleh menggabungkan diri mereka ke rantaian bekalan global, engeksport produk mereka di seluruh dunia. Syarikat-syarikat terkemuka dalam industri ermasuk Advantest, SRM, Vitrox, Muehlbauer, Pentamaster, UMS dan Multitest.

Didorong oleh trend industri termasuk Industri 4.0 dan perindustrian Objek Rangkaian Internet (IoT), syarikat-syarikat M&E kini sedang merevolusikan proses pengeluaran mereka, mengguna pakai teknologi utama Industri 4.0 bagi meningkatkan tahap automasi, kesambungan dan analisis data besar (BDA) yang diperlukan dalam persekitaran kilang pintar. Ini termasuk menyambung sistem siber dan fizikal melalui sistem perancangan sumber perusahaan (ERP), serta menggunakan pemantauan jarak jauh, komunikasi mesin ke mesin (M2M), dan saluran pemasangan automatik menggunakan robotic sepenuhnya di kawasan pengeluaran mereka. Sebuah syarikat tempatan telah berusaha untuk membangunkan perisian dan platform serta menyediakan ERP, pemantauan pengeluaran dan perkhidmatan pengurusan rantaian bekalan dan penyelesaian kepada syarikat perkilangan.

Inovasi dan R&D akan memangkin pertumbuhan M&E yang lebih canggih. Salah satu cabarannya adalah akses kepada pembiayaan yang mungkin sukar terutamanya dari sektor kewangan komersial, yang biasanya menilai permohonan pinjaman secara konservatif. Inovasi dan R&D boleh menjadi bidang yang menarik bagi bakal pelabur yang ingin memasuki pasaran dan membantu mengintegrasikan pemain industri ke dalam rantaian bekalan global menerusi kerjasama strategik.

Sebanyak 77 projek dengan pelaburan berjumlah RM2.2 bilion telah diluluskan pada 2017. Daripada jumlah ini, 39 adalah projek baharu (RM1.3 bilion atau 61.6 peratus) dan 38 adalah projek pembesaran/ pelbagaian (RM840 juta atau 39.4 peratus). Berbanding dengan 2016, bilangan projek yang diluluskan secara keseluruhan berkurangan sebanyak 11 projek, tetapi jumlah pelaburan bertambah RM650 juta - peningkatan sebanyak 42.3 peratus berbanding RM1.5 bilion pada 2016, dan merupakan petunjuk bahawa sektor M&E bergerak naik ke atas rantaian nilai dan menjadi lebih berintensifkan modal.

Sebelumnya

Industri Pemprosesan Makanan

Sokongan Kejuruteraan

Seterusnya

Peranti Perubatan

Farmaseutikal

Tarikh Dikemaskini : Khamis 17 Oktober 2019