Logo

Pendidikan dan Perkhidmatan Latihan Industri

Bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020, negara memerlukan lebih ramai lagi pekerja mahir. Di dalam konteks ini, pendidikan memainkan peranan penting dalam proses transformasi ekonomi negara dengan memberi penekanan ke atas pembangunan modal insan. Bagi mempercepatkan proses dan menjadikan Malaysia sebagi hab pendidikan serantau yang unggul, Kerajaan menggalakan penglibatan sektor swasta untuk memacu sektor ini.

Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi Pendidikan memberi tumpuan kepada empat segmen utama berdasarkan pasaran sedia ada dan potensi untuk pertumbuhan di masa hadapan:

  • Penjagaan kanak-kanak dan pendidikan awal;
  • Pendidikan asas (rendah dan menengah);
  • Pendidikan teknikal dan vakosional; dan
  • Pendidikan tinggi (bagi pelajar tempatan dan antarabangsa).

Sektor pendidikan swasta di Malaysia telah memberi sumbangan besar di dalam kesemua segmen dengan melengkapi usaha Kerajaan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada rakyat.

Segmen penjagaan awal kanak-kanak (umur 0 sehingga 4 tahun) masih belum diterokai sepenuhnya, dengan kadar pendaftaran yang rendah iaitu sebanyak empat peratus sahaja. Walaupun penglibatan sektor swasta di dalam pendidikan pra-sekolah (umur 5 sehingga 6 tahun) semakin ketara, permintaan untuk mendapatkan pendidikan pra-sekolah yang lebih berkualiti terus meningkat.

Sementara itu, kadar pendaftaran ke sekolah antarabangsa semakin meningkat sejak 2006, selaras dengan langkah liberalisasi yang diambil oleh Kerajaan dalam pengambilan pelajar Malaysia. Pelajar Malaysia membentuk hamper 56 peratus daripada jumlah pelajar yang mendaftar di sekolah antarabangsa.

Bagi pendidikan tinggi pula, sebanyak 46 peratus pelajar yang meneruskan pengajian tinggi telah mendaftar di institusi pengajian tinggi swasta. Aspirasi negara untuk menjadi destinasi pilihan utama bagi pelajar-pelajar antarabangsa dikukuhkan lagi dengan penawaran pelbagai program serta penubuhan kampus cawangan oleh institusi pendidikan antarabangsa yang diiktiraf seperti Universiti Newcastle, Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Monash and Universiti Nottingham. Dengan wujudnya sistem pendidikan bertaraf dunia dan mempunyai reputasi antarabangsa yang kukuh, Malaysia terus menjadi destinasi popular di kalangan pelajar yang berminat untuk meneruskan pengajian tinggi di luar negara.

Pendidikan teknikal dan vakosional telah dikenalpasti sebagai satu pemangkin kritikal untuk kejayaan Program Transformasi Ekonomi negara, dengan sasaran sebanyak 1 juta pekerjaan memerlukan sijil/ diploma vokasional pada 2020.

Beberapa inisiatif telah diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti pendidikan teknikal dan vakosional dan memastikan program yang ditawarkan selari dengan keperluan dan kehendak industri. Dana tambahan juga telah diperuntukkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk memberi peluang kepada pelajar menjalani program pendidikan teknikal dan vakosional di institut latihan kemahiran swasta.

Sehingga hari ini, terdapat 20 universiti awam, 41 universiti swasta dan 406 kolej swasta di negara ini yang menawarkan pelbagai disiplin di setiap tahap pendidikan termasuklah kursus jangka pendek, sijil kursus-kursus professional, diploma, ijazah, sarjana dan PHD.

Sektor swasta juga telah menubuhkan institusi pendidikan untuk menyokong usaha kerajaan bagi menambah bilangan professional dan separa-profesional. Antaranya adalah institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan oleh syarikat-syarikat besar ini adalah seperti Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Petronas yang menawarkan kursus peringkat ijazah. Selain daripada penubuhan kampus cawangan oleh institusi pendidikan antarabangsa, kolej-kolej swasta di Malaysia juga menawarkan pelbagai program ijazah secara berkembar dengan institusi pendidikan tinggi luar negara.

Sebelumnya

Teknologi Bersih dan Pengurusan Alam Sekitar

Seterusnya

Penjagaan Kesihatan

Penubuhan Serantau dan Pengurusan Rantaian Bekalan

Tarikh Dikemaskini : Khamis 10 Oktober 2019