Logo

Aeroangkasa

Kerajaan telah mengenalpasti industri aeroangkasa di Malaysia sebagai salah satu sektor strategik '3 + 2' yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi. Sebagai mengiktiraf kepentingannya, Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 telah dilancarkan semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015, Kedah. Rangka tindakan ini mencatatkan pelan jangka panjang untuk pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia sehingga 2030. Sasarannya ialah menjadikan Malaysia sebuah negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara dan menjadi sebahagian daripada pasaran global menjelang 2030.

Malaysia merupakan pangkalan kepada lebih daripada 200 syarikat aeroangkasa yang terdiri daripada pemain-pemain industri tempatan dan antarabangsa. Ini termasuk 66 syarikat yang terlibat dalam aktiviti MRO, 33 syarikat dalam pembuatan aero, 25 syarikat dalam pendidikan dan latihan, dan 11 syarikat dalam integrasi sistem, serta kejuruteraan dan reka bentuk.

aerospacebm1

Dalam membuktikan keupayaan mereka dalam memenuhi tuntutan yang ketat daripada OEM global, pemain-pemain tempatan seperti SME Aerospace, CTRM Aero Composite, Airod, dan UMW Aerospace, telah berjaya melibatkan diri dalam rantaian bekalan aeroangkasa global. Menjelang 2030, industri ini diunjurkan akan menyumbang hasil sebanyak RM20.4 bilion untuk MRO, RM21.2 bilion untuk pembuatan aero dan RM13.6 bilion untuk perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk.

Menyedari keperluan untuk membangunkan tenaga mahir bagi industri aeroangkasa, Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD) telah menubuhkan satu rangka kerja pekerjaan dengan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Rangka kerja ini berfungsi sebagai rujukan kepada piawaian yang diperlukan untuk pensijilan kemahiran dan bagi membimbing pembangunan kurikulum latihan kemahiran supaya ia selaras dengan keperluan industri.

Untuk terus menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan dalam bidang ini, Malaysia menawarkan insentif cukai yang menarik kepada syarikat yang menjalankan aktiviti yang meliputi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pengilangan dan penyepaduan sistem bagi industri aeroangkasa.

Dalam industri aeroangkasa, kejuruteraan permukaan adalah antara bidang yang berpotensi untuk membolehkan transformasi Malaysia ke arah menghasilkan produk yang kompleks dan pelbagai. Proses kejuruteraan permukaan dipantau oleh National Aerospace and Defense Contractors Accreditation Program (NADCAP), yang dikendalikan oleh Performance Review Institute (PRI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Melalui PRI, NADCAP memberi pensijilan bebas bagi proses-proses pengilangan untuk industri, dan mewakili pendekatan piawaian bagi jaminan kualiti. Walaupun Malaysia sudah mempunyai syarikat yang mampu menawarkan proses sekunder penyalutan dan specialty istimewa yang iktiraf oleh NADCAP, masih ada banyak lagi ruang untuk pertumbuhan.

Pasaran aeroangkasa serantau Asia Tenggara yang dinamik semakin terkenal, sebahagian besarnya disebabkan oleh kemudahan seperti Taman Aeroangkasa Seletar Singapura, dan Taman Aeroangkasa berdedikasi di Malaysia seperti UMW High Value Manufacturing Park. Pembangunan rantaian bekalan aeroangkasa tempatan telah juga dipercepatkan oleh permintaan pasaran yang kukuh. Malaysia dilengkapi dengan semua bahan yang diperlukan untuk menjadi pemain penting dalam pasaran aeroangkasa global, dan usaha yang dijalankan bagi membangunkan kelompok tempatan dan kemudahan lain yang memupuk pertumbuhan industri aeroangkasa, seperti KLIA Aeropolis, mungkin akan mendatangkan keuntungan dalam masa terdekat.

aerospacebm2

Produk-produk aeroangkasa buatan Malaysia

Tags: aeroangkasa
Sebelumnya

Industri Mineral Bukan Logam

Seterusnya

Tekstil dan Produk Tekstil

Produk Logam Asas

Tarikh Dikemaskini : Khamis 17 Oktober 2019