Kerajaan bertindak tangani isu aeroangkasa

LANGKAWI - Kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah bagi menangani isu berkaitan industri aeroangkasa, seperti merapatkan jurang antara input akademik institusi pendidikan dan kehendak industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud berkata, usaha itu termasuk penubuhan Asia Aerospace City (AAC), yang diterajui M-AeroTech Sdn Bhd.


"AAC menyasarkan sumbangan Keluaran Negara Kasar (GNI) RM1.1 bilion dan RM1.16 bilion pelaburan, yang menjurus kepada pewujudan 3,368 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2020.

"Beberapa institusi sudah memulakan aktiviti latihan berkaitan aeroangkasa, bagi menyediakan sokongan langsung kepada industri itu, dengan membekalkan latihan yang diperlukan serta pekerja mahir.

"Ini termasuk UniKL, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia, yang menyediakan kursus berkaitan di peringkat diploma dan ijazah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada forum MIDA mengenai industri itu di sini sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA'15), hari ini.

Menurutnya Malaysia kini mengeluarkan pekerja mahir untuk keperluan Rantau ini menerusi lebih 300 jurutera setahun dan lebih 2,000 separa profesional.

Azman berkata, terdapat 56 penyedia pendidikan dan latihan terlibat dalam sektor aeroangkasa.

"Penyedia pendidikan dan latihan ini perlu meningkatkan program ijazah pertama masing-masing dengan menjajarkannya dengan teknologi dan trend terkini industri serta memudahkan program kerjasama untuk penempatan kerja dengan pantas.

"Bagi separa profesional, wujud kekurangan serius dalam subsektor perkilangan aerostruktur yang memerlukan pelaburan lanjut oleh penyedia pendidikan dan latihan," kata Azman.

Beliau berkata, walaupun MIDA dapat mengenal pasti permintaan lebih awal, platform perkongsian perlu diwujudkan dengan pihak pembekal, agensi dan institusi berkaitan.

MIDA ialah agensi utama kerajaan dalam mempromosi sektor perkilangan dan perkhidmatan dalam negara. – Bernama

SINAR HARIAN : 19/03/2015

Posted on : 19 March 2015
//
Last Updated : Thursday 17th October 2019